Keyakinan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Dalam dada seorang pemikir, ada persoalan-persoalan yang selalu ia fikirkan dan ingin luahkan. Kebijaksanaan semacam suatu bebanan. Ilmu yang dimilikinya bertukar menjadi suatu amanah yang terpikul di pundak, memberati setiap langkah menuju akhirat. Dengan begini, kedengaran tidak masuk akal menjadi seorang yang berakal, memandangkan dengan akal itu ia jadi bertanggungjawab, dan berdosa andai tidak menggunakannya dengan sehabis baik. 

Akal perlu ada formulasi untuk dipandu, atau ia akan sesat menerbangi langit tidak rasional dan langsung melayang entah ke infiniti mana. Ada orang memformulasikan sains sebagai rumus itu, namun kemudian ianya tentatif, selalu berubah dari masa ke masa, dan lantas terdedah kepada kesesatan. Benar, sains praktikal pada deria masa kini, masa kontemporer yang serba-serbi canggih dengan bangunan tumbuh melata seperti kulat atas roti. Namun, mampukah ia berikan kamu ketenangan abadi, sebagaimana tenang nelayan balik dari laut dengan tangkapan lumayan.

Formulasi falsafah muncul. Formulasi ini lebih santai, tanpa perlu pengiraan-pengiraan rumit, tenang, subjektif dan relatif. Namun hakikatnya inilah yang menyebabkan falsafah tidak valid. Ia tidak lebih dari produk fikir persepsional manusia, dari dahulu hingga sekarang. Ertinya, kalau hendak jadikan ini panduan dalam berfikir, haruslah berhati-hati agar tidak jatuh dalam jurang yang dalam. Akan tetapi, risikonya masih terlalu tinggi. Tambahan, hasil diskusi dengan seorang agamawan, falsafah rupanya sekadar menimbulkan persoalan, bukan menjawapnya.

Bangkit pula agama. Ianya ditolak majoriti golongan saintis dan sebahagian golongan filsuf. Menurut mereka, agama tidak boleh diukur kebenarannya, agama itu sombong dalam berhadapan argumentasi akli, dan Tuhan itu suatu wujud yang egois; minta disembah dan dipohon doa. Seperti kata Auguste Comte, "Agama itu ilusi keanak-anakan, yang bisa mati dengan pendidikan yang elok". Malang bagi Comte, ketidakpercayaan inilah yang membuangnya ke lembah pemikiran kotor, mengatakan, "Struktur sosiologi keluarga bergantung pada jantina dan usia". Hilang cinta.

Bagi saya? Saya pilih agama. Saya belajar sains pun, saya 'jumpa' Tuhan. Saya belajar falsafah, saya turut tertuju ke penemuan Tuhan. Kenapa? Saya tidak boleh menjelaskan rasa ini, rasa berTuhan dan beragama. Saya cuma tahu inilah kebenaran yang saya cari. Untuk setakat ini, saya masih kekal dengan agama. Walaupun tahu dan yakin saya berada dalam kebenaran (Islam), saya suka untuk tahu pandangan orang lain berkenaan kebenaran. Mana tahu, ada lampu yang lebih terang.

P/S: Allah itu Maha Benar.

Comments

Popular Posts