Ibu

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Semalam ibu saya sudah berusia 42 tahun. Cukup-cukup 42 tahun. Saya terlambat menghantar pesanan, namun buatkan beliau menangis dengan SMS ringkas saya. Semoga Allah SWT terus redha dengan redha berpanjangan, dan berikan beliau kebahagiaan dunia serta akhirat. Semoga kami sekeluarga dimasukkan ke syurgaNya setelah mati nanti.

Alang-alang menyebut 'ibu', teruslah menulis tentangnya

Beliau wanita luar biasa. Kadang-kadang bila saya menonton televisyen dengan adik-beradik, saya ternampak beliau dengan sebakul pakaian yang baru dibilas dan perlu disidai. Saya tegur adik-adik perempuan untuk bantu ibu masukkan pakaian dalam hanger, atau ampai kain pada talinya. Dalam pada itu, saya kehairanan; bagaimana seorang wanita punya kudrat melakukan rutin yang sama selama 21 tahun?

Ibu saya orangnya sabar. Walau apapun terpaksa beliau lakukan, akan dilakukannya demi mengisi anak-anak yang mencicip-cicip dalam keluh, meminta dibuatkan makanan. Pernah menebalkan muka pinjam beras jiran, pernah suruh adik lelaki panjat betik muda untuk digulai, pernah hutang keliling pinggang. Saya tidak malu akui ini, dengan beginilah saya membesar.

Bila saya cuba sembunyikan sakit, beliau akan tegur, "Kalau sakit, telan Panadol". Tanpa perlu tuam telapak tangan pada dahi, tanpa perlu semak kadar nadi atau picit hujung ibu jari kaki seperti yang dibuat kebanyakan doktor pakar dalam diagnosis penyakit, serta-merta beliau tahu anaknya perlukan dia. Menononglah beliau membasahkan tuala kecil untuk dihampar di atas dahi anaknya. Usap perlahan-lahan supaya senang tidur mereka, kemudian balik ke mesin basuh.

Bila adik saya sakit, beliau biasanya akan ambil cuti untuk bawa ke klinik. Kami semua tahu betapa pentingnya kerjayanya sebagai pendidik, namun pengetahuan kami ini tidak sebesar kesanggupan kami untuk tidak melakukan demikian. Mujur saya sudah besar, bolehlah ganti peranan usung adik ke rumah sakit.

Peribadinya, saya sangat akui: entah siapalah saya jika tanpa ibu sebaik beliau. Biarpun dikecam 'anak emak', tidak bisa berdikari dan lain-lain lagi, saya tetap rasa begini. Sampai ke jodoh pun, saya habis-habisan minta pandangannya (beliau adalah cadangkan beberapa nama; nanti saya pertimbangkan ;)). Orang lain sudah boleh buat keputusan-keputusan besar dalam hidup, saya masih begini. Biarlah.

Bila membayangkan saya kini jika tanpa beliau- tidak! Saya terlalu takut untuk membayangkan kenyataan ini, walaupun tidak akan ada cara ia boleh jadi benar; kerana bila memikirkan ini, ingatan akan kefana`an dunia akan datang. Mulalah gugup takut terpisah. Tapi saya kira, kalau terpisah pun (akan, suatu hari nanti), harap jumpa di syurga, seperti mana yang saya selalu mimpi dan doakan.

P/S: Bu, semoga Allah sayang ibu sebagaimana aku sayangkan ibu dan sebagaimana ibu sayangkan aku, bahkan lebih. Tiada apa yang aku mahu selain kita semua selamat dunia akhirat untuk selama-lamanya. Aamiin.

Comments

hetty said…
Awwh can I have a son like you? *weep my tears*

Dear makcik Linda (betul kan ?),
Tahniah kerana berjaya membentuk seorang manusia yang indah peribadinya. Semoga Allah merahmati anda sekeluarga, dunia akhirat.
linda said…
thanks anak ibu yang dirindu.rindu serindunya...
Hm..dear Hetty, mau x di calonkan untuk anak macik???joke
Anonymous said…
Alhamdulillah..!! Satu anugerahNYA yg tktrhingga utk kta, itulh IBU & Ayah jga brsyukur mndpt seorg isteri yg amt baik utk seorg suami..

Popular Posts