Si Abang Fasilitator

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Malam beransur-ansur menenggelamkan bumi dengan selapisan kegelapan yang sememangnya sudah menjadi aturan. Lampu-lampu neon, lampu-lampu jalan, lampu-lampu bangunan dan lampu-lampu kenderaan silih berganti menyala. Kalau boleh diperhatikan dari angkasa lepas, pasti nampak indah. Meskipun pandangan kelihatan sunyi, namun jeritan trafik masih kedengaran. Dalam buta, telinga adalah mata manusia.

Dia memperjalankan bola deodoran 'Nivea'-nya pada bawah kedua belah ketiak. Penyangkut baju dikeluarkan dari sehelai baju yang baru kering, berlengan pendek serta berwarna putih. Dua garis seakan-akan emas yang menganjur dari bahu ke hujung lengan kelihatan bersinar di bawah lampu kalimantang. engikut sunnah, tangan kanan dimasukkan sebelum tangan kiri mengekori, masuk ke dalam lubang baju. Seluar balapan hitam yang turut berjalur emas di sisi dikenakan. Lagak seperti seorang atlit dan agak melucukan berpakaian sedemikian ke rumah Tuhan, namun kekangan bilangan baju yang dibawa dari rumah nun di Sabah memaksanya untuk memilih berpersalinan begitu.

Eau de perfume disembur pada kedua-dua bahu dan dada. Mengaut sedikit krim rambut dengan hujung jari telunjuk dan jari hantu, mencoletnya pada telapak tangan, mengolesnya dengan kedua tapak tangan dan menyapunya pada rambut yang masih separuh basah. Sisir pula menjalankan tugas; memastikan rambut berbaris pada garis-garis tentu walau tidak lurus. Pintu loker ditutup. Suis lampu dan kipas diketik mati. Daun pintu dirapatkan dan kedengaran gigi-gigi kunci bergusti dengan mekanisme pada slot tombol. Menyarungkan selipar jepun, Yassin bergerak ke surau (alah, bajet budak surau HAHAHA). Di luar, langit sudah benar-benar kelam.

Dalam perjalanan ke surau, ternampak dia si abang fasilitator masih bertuala menjinjing timba penuh peralatan mandi. Malas menceritakan secara teliti berkenaan ini, kamu boleh bayangkan sendiri, barangkali. Sabun cecair berbotol, syampu, ubat gigi, berus gigi dan lain-lain. Apabila yang diperhati ternampak yang memerhati, senyuman lantas berbalasan. Perjalanan diteruskan ke surau. Azan berkumandang.

Selepas habis solat Maghrib dan Isyak, dan kuliah agama antara kedua fardhu itu, Yassin berjalan ke dewan. Ketika itu, yang dikenal hanyalah abang fasilitatornya. Izzuddin, Razvi, Ardie, Arif dan Ooi masih belum dirapatinya. Sebagai seorang introvert, dia tidak menyukai menjadi pemula bicara kerana hasilnya pasti suasana kekok. Semasa tiba, hampir seratus guru pelatih sudah duduk di atas lantai dewan dalam keadaan berbaris. Mulanya Yassin keliru berbaris mengikut faktor apa, namun si abang fasilitator mendekati dan memberi referensi. "Mengikut kelas, ya". Membalas bantuan dengan senyuman, Yassin duduk. Dia perasaan beberapa pasang mata sedang memerhatikannya. Entahlah, lucu benar kali, busana yang dia pilih.

Tidak pula dapat diingat semula apa yang berlaku selepas itu. Memorinya hanya bersambung balik kepada saat Yassin dan rakan-rakan sekursus duduk dalam bulatan, namun menghadap abang fasilitator. Penerangannya pun, kurang jelas. Tahu-tahu saja, dia duduk bersebelahan dengan si abang fasilitator, berbual.

"Biasanya paling banyak failed adalah dari dalam kalangan guru pelatih Sains", ulasnya ketika ditanya apa kursus paling sukar. Hanya bait ini yang Yassin boleh ingati, katanya pada saya. Huhu~apalah kau neh Yassin. Selebihnya tidak dia ingat, mungkin kerana yang lain itu tidak ada kena-mengena dengan dirinya. Perkataan 'failed' itu ada.

Dulu.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

"Yassin, Abang Hafiz mau jumpa kau tu," pesan Arika Wira, rakan sebilik Yassin. "Oh," balas Yassin, mudah. Pada kotak fikirannya, dia akan berjumpa dengan yang tersebut apabila petang mampir. Katanya, dia bergerak pulang dalam pukul tiga petang. Melihat melalui telefon bimbitnya ada sejam lagi sebelum perjumpaan terakhir itu, Yassin memutuskan untuk istirehat sebentar. Ada katil, ada bantal; hmmph--tidurlah jawabnya.

"Dik!" Buka mata. Tutup balik.

"Dikk!" Buka mata. Buka luas-luas, tidak dipejam semula. Kelihatan si abang fasilitator sedang berdiri di sisi katil, tersenyum. Berbaju t-shirt kuning, berkaca mata. Yassin berikan senyuman hambar. Kantuknya, mamainya belum habis terbayar. Namun dilayannya juga tetamu ini, kerana inilah pertentangan mata di IPG Teknik yang terakhir bersamanya (kejam gila Yassin. KEJAM!). Dia bangkit dari perbaringan, duduk. Abang fasilitator duduk mengambil tempat.

"Oh, mau jalan sudah?" Soalan cepumas (saya hairan kenapa si abang fasilitator tidak menempeleng muka Yassin ketika itu).

"Ya."

"Awalnya~"

(ketawa sedikit) "Okelah, abang nak balik sudah. Abang nak kamu jaga diri, jaga sikap. Jangan gaduh-gaduh. Abang tau, kamu neh lain. Kawan kamu yang lain hebat, tapi kamu special sikit. Kalau kawan mintak tolong, tolong diorang. InshaAllah, kita jumpa lagi kalau ada rezeki. Kalau kamu ada apa-apa masalah, kamu contact jaa abang."

"Kalau masalah duit?"

"InshaAllah, abang boleh tolong. Kalau perlu, jangan malu-malu," jawab si abang fasilitator.

Abang fasilitator menghulurkan tangannya. Yassin menyambut, lalu ditujukan ke dahi. Rasa dingin sedikit kepala yang panas dan berat. Selepas itu, abang fasilitator keluar menutup pintu dan memberi salaam. Selepas itu juga, Yassin menyambung tidur. Katanya, bila dia teringat itulah sikapnya yang terakhir terhadap abang fasilitator kesayangannya, dia seperti ingin menghentak kepala ke dinding. Hahaha. Taklah sehingga ke tahap itu. Itu saya tambah-tambah.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

Yassin meletakkan kaca mata. Mata ditekup dengan hujung jari dan ditenyeh. Pening mengajarkan budak-budak kelasnya konsep peredaran planet dalam Sistem Suria. Mungkin kerana ia non-observable, (meskipun boleh disimulasikan), sukar untuk membuatkan muridnya percaya bahawa Bumi sedang berputar pada paksi condong 23.4 darjah dan beredar mengelilingi Matahari dalam masa 365.26 hari. Mereka berseloroh, "Kenapa manusia, kereta dan rumah tidak berhambur (bertaburan) sebagaimana manusia ketika berada dalam bas yang bergerak laju?". Kalau diterangkan inertial speed dan keseimbangan daya serta peranan ruang vakum di luar Bumi, lagi banyak persoalan yang mereka timbulkan. Maka, dia berfikiran untuk menghentikan kelas bagi membuat persiapan awal Alat Bantu Mengajar (ABM) untuk hari esok. Azamnya, biar sampai budak-budaknya faham.

Setelah bingung memikirkan perangai anak-anak muridnya yang terlalu kritis, dia mencari aktiviti untuk riadah minda. Telefon bimbit pintar Sony Xperia Ultima diambil dan dibuka. Terpampang gambar isterinya Fatimah pada halaman utama. Diusap sebentar, sebelum dia bergerak ke bahagian permesejan. "Dien, apa berita? Jadi kaa?" bunyi mesejnya. Dihantar. Telefon dietakkan semula, dan lamunan tiba-tiba terbang ke masa lalu apabila terpandang sekeping foto lama berbingkai di atas mejanya. Ada dua lelaki (salah seorangnya, dia) dan dua wanita, dalam sebuah kereta. Semua tersenyum memandang lensa kamera. Memandangnya sekarang.

Seronoknya dahulu boleh ke Times Square, boleh ke Tesco, boleh ke Jusco dan menjilat sundae. Haha, teringat pula dia bagaimana mereka berempat bertelagah, atas sebab-sebab yang Yassin sendiri sebabkan. Bagaimana, gembiranya dia apabila mendapat kad jemputan kahwin oleh dua orang wanita dalam gambar, sebelum sekeping lagi dari kawan lelakinya, sebelum dia sendiri mengutuskan kad kahwin kepada tiga orang kawannya. Habis dia diejek, "Laa, kata nak membujang~". "Saya manusia, bro", jawabnya ketika itu.

Telefonnya berbunyi. Dari jeritan peranti itu, diketahuinya bahawa yang masuk adalah mesej, bukan panggilan. Mesej dibuka.

"Of course-lah jadi. Tanggal 14 ya, bln neh. Skrg tanggal 10, kan?"

Mengangguk Yassin, mengiyakan tarikh. Kekok bila mendapati bahawa dia mengangguk sendirian. Nasib sendirian. Lalu mesej dibalas.

"Bha, mesejlah yang lain." Sent.

"OK." Mesej berikutan sampai.

(sampai tanggal empat belas)

"Wah, tahniah Bang Hafiz. Sudah yang ketiga, kan? Untung sangat. Saya satu pun belum ada. Hahaha."

"Ya," si abang fasilitator membalas pertanyaan mesra Fatimah, isteri Yassin (serius, geli kot masa menulis neh). "Alah, nanti esok lusa adalah tuu. Mintak je banyak-banyak dekat Tuhan."

"Mintak doanya banyak-banyak ke, mintak anaknya banyak-banyak?" Izzuddin mencelah.

Mereka ketawa berdekah-dekah. Izzuddin tidak pernah kering idea menceriakan suasana, sejak dari bangku maktab lagi (sebab ketika di bangku sekolah katanya, dia pendiam). Farahida yang sedang memeluk tangan suami menutup mulut dengan belakang tangan, menahan gelak. Suaminya segak tegap berdiri dengan tangan di poket seluar hanya tersenyum melihat reaksi isterinya itu. Tidak sangka, dia pula yang 'menyangkut' dengan Farahida. Nadiah pun begitu. Suaminya putih melepak dan tinggi, bermata coklat muda. Semuanya ditakdirkan dengan jodoh yang tidak disangka-sangka, kecuali Izzuddin. Penat lelahnya terbayar.

"Semoga anak yang ketiga ini membawa kebahagiaan, kemeriahan dan kekuatan yang lebih besar kepada keluarga abang. Aamiin~"

Setelah mengucapkan itu, mereka mengambil makanan dan duduk berdekatan, di sisi pasangan sendiri. Sambil menjamah juadah, mereka berbincang mengenai hal-hal pendidikan khususnya Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR). Kelibat Arif dan Ardie baru muncul dengan zawjah masing-masing. Begitu juga dengan Aizat Akram, Amer Aizuddin, Wira, Ooi dan ramai lagi. Majlis kenduri kesyukuran sempena kelahiran anak ketiga si abang fasilitator sememangnya meriah. Yalah, Tokoh Guru Kebangsaan, kan.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * * *

P/S: Semua watak adalah benar dan wujud, berdasarkan kisah benar. Babk ketiga adalah imaginasi <nakal> penulis semata-mata. Andai mengguris hati, harap dimaafkan. Semoga semua mereka diberikan kemudahan dalam berjuang sebagai pendidik. Jika tentera menjunjung senjata, kita menjunjung wacana. Hidup pendidikan! (Amboi, semangatnya~". Assalaam.

P/S/S: Abang Hafiz, kalau abang terbaca entri ini, saya ingin memohon maaf atas kelakuan tempoh hari, bergambar pun tak sempat. Serius saya mamai. :S Kalaulah boleh diputar balik waktu :|

Comments

NadJoliey said…
HAHAHHAHAHAHHA! Macam orang gila sy ketawa sorang2 d airport neh! Tumbuk ko nanti baru tauuu!
Sven Medyona said…
Eleh, padahal suka partner mat salleh. Hahaha.

Popular Posts