Deux Ex Machina

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
Langit masih indigo. Bumi, yang selamanya terhukum untuk memakai apa yang dipakai langit, juga masih indigo. Matahari sahajalah yang mampu merubah senario segenap pergunungan dan lembah, jurang dan curam seisi alam. Namun, seperti kebiasaan, ketaatannya kepada aturan Sunnatullah tidak membenarkannya untuk merampas posisi di dada langit yang belum miliknya. Yang termampu dilakukannya adalah untuk memanjangkan jemarinya pada setiap celah bumi Mat Salleh itu.

Sebuah kereta Mini Cooper berwarna merah dengan dua jalur hitam memanjang, beratap putih berhenti pada bahu jalan. Kedengaran bunyi kerikil dan tayar berseret dengan tanah yang berdebu. Bunyi mekanikal enjin yang sedaya-upaya menghentikan sistem. Debu tidak naik bergulung seperti selalunya, kerana teradun dengan padu udara pagi. Si pemandu kereta keluar pantas sebaik sahaja brek ditekan. Rokok dihunus keluar dan dinyalakan. Si pemandu dengan air mata bergenang melangkah ke hadapan kereta, memandang bentangan landasan berbitumen yang menganjur panjang dan lurus. Seorang penumpang yang masih berada di tempat duduk penumpang hadapan, hanya mampu tunduk memandang kaki.

Menarik nafas dalam kesakitan. Menelan liur bersama kepahitan. Dia terkelu sekarang, setelah mendengar pengakuan dari Yadar sebentar tadi. Landasan Lapangan Terbang Kota Kinabalu itu direnungnya dalam. Bunyi pengumuman penundaan penerbangan, panggilan terakhir dan urusan-urusan lainnya yang bersangkut-paut dengan fungsi lapangan terbang itu sendiri sebagai alam perpindahan satu negeri ke negeri lain, kedengaran sayup-sayup dari di mana Afzan sedang berada, menyandarkan buntutnya pada bonet depan Mini Cooper. Rokok Marlborro dihisap dalam-dalam, sebelum kepul-kepul asap berebut keluar dari paru-paru terus terapung ke langit. Dua kali hisap dan dua kali hembus, habis; puntung direjam ke bumi dan dihinjak mati.

Kedua belah tangan digosok bersama dan dimasukkan ke dalam baju kot berbulu tebal. Nyata kedinginan udara Kota Kinabalu ketika awal pagi belum terbunuh sepenuhnya oleh modernisasi dan tahi-tahi industri yang rakus memamah sedikit demi sedikit hutam rimba Borneo Utara ini. Yadar yang sejak dari tadi melayan rasa kesal yang dikongsi bersama duduk di tempat duduk penumpang depan kereta mewah Afzan dengan berlunjur kaki keluar, hanya mampu membuang pandanganya ke landskap seberang jalan raya. Laut gelap hitam. Tiada cahaya. Seakan ianya simbolik harapan yang sudah mati kegelapan.

"Jadi, kau rasa apa yang patut aku lakukan?" Afzan bertanya tiba-tiba, setelah menghadap Yadar. Yadar bisu.

"Entahlah, Am.... buat masa ni, aku belum berjaya memikirkan apa-apa solusi, melainkan kau tinggalkan dia dan lupakan kehidupan lama kau dengan dia."

Afzan mengeluh. Dia berpaling, merenung laut renungan Yadar sejak dari tadi. Melupakan dia? Meneruskan hidup dengan meninggalkan kehidupan lama? Itu seperti membunuh diri dan berharap untuk hidup semula selepas itu. Siapa yang punya kekuatan sedemikian? Wajahnya, senyumannya, ketawanya, diamnya, kedip matanya; ah! Bagaimana seorang lelaki normal boleh melupakan dia, Dayrani? Siapa--yang setelah mencintai dia dan berjanji bernikah dengannya dengan dia menyetujuinya--sanggup meneruskan hidup tanpa menunaikan janji itu?

"Dar, kau telah menjadi sahabatku lebih separuh dekad. Kau tahu aku lebih dari sesiapapun. Takkanlah kau pun berfikiran seperti pembenci-pembenciku? Melupakan apa yang sekian lama aku idam-idamkan?"

"Am, sesekali kau terpaksa menerima untuk kalah. Untuk mengalah. Pembenci-pembencimu itu benar; mengapa harus kauingat dia sedangkan dia telah mengkhianati perjanjian kamu berdua?"

"Bagaimana jika dia dipaksa keluarganya!?" Tiba-tiba Afzan membidas.

"Itu aku tidak tahu Am," jawab Yadar. "Namun jika betul begitulah, apa yang kau mampu dan mahu lakukan? Melarikan dia dari pernikahan yang tidak dia redhai?"

"Dia cintakan aku!"

"Dia lagi sayangkan ibu bapanya, Am."

Bayu darat berpuput, meniupkan rambut Afzan  Air matanya yang mengalir ketika menyebut Dayrani cintakan dia dikesat dengan hujung baju T-shirt lengan panjangnya. Rambut disisir ke belakang, muka dihadap ke langit. Mata ditutup. Oh Tuhan, dugaan apakah ini, bisiknya sendiri. Yadar bangkit memegang bahu kawannya itu. Kawan yang--sejak pertama kali dia bertemu--dia berjanji untuk bahagiakan. Dia tahu, saat-saat begini, belai seorang sahabat amat dibutuhkan. Ditariknya bahu si kawan, disilangkan tangan sebelah merentasi bahu dan dipeluk erat. Afzan hanya mampu mendaratkan dagu pada bahu Yadar, masih menutup mata, dan menangis.

"Tuhan itu Adil, Am. Kalaupun diambilnya kau dari aku, aku percaya itu untuk kebaikan kita berdua. Mengapa perlu menangis atas perkara yang tidak mampu kita ubah? Tumpahkanlah air mata itu saat kau mendoakan dia agar sentiasa bahagia dengan pasangan hidupnya. Barulah kau boleh isytiharkan dirimu pencinta sejatinya."

Afzan membalas pelukan Yadar dengan lebih erat. Air mata mengalir dengan lebih lebat. Rambut ditiup bayu, titisan perasaan yang gugur pecah menjadi udara. Sungguh dia merasakan hangat seorang sahabat itu, adalah hangat seorang abang, seorang mentor, seorang penasihat. Namun kesakitan jiwa yang ini, Yadar sendiripun tidak mampu bebat. Yang termampu dia lakukan adalah untuk mendidik jiwa Afzan untuk bersabar.

"Dar, bantu aku harungi ini, ya?"

"Sudah tentu, Am."

Tiba-tiba, telefon bimbit Afzan berbunyi. Pelukan diusai. Afzan menyeluk poket depan kotnya, air mata dikesat. Ternampak balam-balam merah kesan kesatan yang entah berapa kali. Yadar berjalan ke belakang kereta. Beberapa saat selepas itu, kelihatan asap nipis halus berkepul bergulung melawan tiupan angin dari sana. Pada skrin iPhone 5 Afzan  tertera nama Nur Dayrani dengan perkataan 'zawjati, inshaAllah' dalam kurungan. Punat bersimbol surat ditekan.
"Salaam. Am, saya tggu kamu di lapangan. Pkhwinan saya sudah dbatalkn. Ayah n ibu syukur mmahami. Kapal saya mdarat dlm sejam. Saya hrp kamu maafkn saya, n sggup tggu dsana. Sorry 4 evrything."
Subhanallah.

Comments

Popular Posts