Berkenaan Khauf Terhadap Kematian

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Bila kita bertanyakan fasal kematian, atau apa-apa perkara yang bersangkut-paut dengannya kepada seseorang, selalu akan kita dapati mereka dalam keadaan tidak senang. Ada yang mungkin akan bertanya, "Eh, kenapa tiba-tiba kau tanyakan begini?", ada yang merenik keringat dan ada yang tersenyum hambar. Simptom-simptom begini tidak lebih dari suatu peringatan bahawa kita umat penakut. Tidak kira sasa sekalipun badanmu, kau akan rasa tidak suka bercerita hal kematian.

Rasa kurang selesa, berpeluh, badan menggeletar, pucat, et cetera adalah tanda-tanda ketakutan. Persoalan cepumasnya, mengapa perlu kita takut? Bukankah selepas 'pintu' kematian itu, kita bertemu Tuhan? Menikmati keIndahan wajahNya yang Maha Sempurna? Bukankah selepas terhelahnya nafas terakhir itu, kita bakal menjenguk pintu syurga dari lubang kubur yang sempit? Dan, bukankah kita akan dihiburkan oleh Malaikat Rakib dan Atid yang, mungkin saja, melagukan harpa syurgawi? Menapa perlu takut, jika ianya hanya suatu transisi alam?

Mungkin persoalan itu boleh diterangkan dengan merungkai fenomena ketakutan manusia di dunia. Sekarang. Jika kita boleh menyenaraikan seberapa banyak mungkin punca-punca ketakutan, lalu menginkorporasikan generalisasi umum berdasarkan senarai yang tersedia, maka kita boleh menjawab persoalan terlontar. Saya telah melakukan sedikit proses penaakulan, dan tidak logik untuk menyenaraikan senarai fobia-fobia manusia yang mengaruh kepada perasaan takut semuanya di sini.

Walau bagaimanapun, kesemua fobia yang saya fikirkan, saya generalisasikan dengan melihat kepada ciri-ciri sepunya yang semua punca ketakutan kongsi. Generalisasi saya terangkum kepada tiga; kengerian, sejarah lampau dan ketidakpastian masa depan, yang saya rangkumkan lagi kepada satu: persiapan.
Jika ada persiapan, baik; mental, fizikal, spiritual, dan emosi, maka apa yang perlu ditakutkan? Masa lalu tidak akan mampu menggugah andai jiwa sudah bersedia, dan masa depan tidak akan mampu menggegar jiwa andai persiapan zahiriah dan minda sudah ada. Mengenai kengerian, apakah mampu kengerian lakukan jika hati sudah tebal dengan persiapan?

Jika kita substitute persoalan kurangnya persiapan sebagai punca ketakutan kepada kematian, jiwa meronta untuk bertanya: apakah persiapan yang dimaksudkan? Sebelum itu, apa yang kita takutkan sangat dengan kematian, sehingga lahirnya keperluan untuk mempersiap diri? 

Mudah: kerana mati ada dua cabang. Hanya DUA cabang, iaitu syurga atau neraka. Neraka itu--subhanallah--Tuhan saja yang tahu siksanya. Bila kengerian imaginasi neraka, pengalaman lampau mengenai kesakitan dan ketidakpastian nasib kita antara dua cabang ini mengatasi kerinduan terhadap faudzul aziim (Jannah), maka ketakutan akan timbul. Seandainya persediaan ada untuk mengatasi kesemua di atas, ditambah kerinduan kepada Jannah, maka ketakutan sirna sendiri.

Tujuan saya menulis entri ini hanya untuk menjawab persoalan "Mengapa kita takutkan mati?" yang bercolang-caling dalam kotak fikir. Mengenai persediaan, kamu (kita) carilah sendiri dalam kitab-kitab atau taipkan pada kotak Google. Bermiliyar jawapan mengenai persiapan menghadapi kematian. Cuma dua yang paling saya ingati: sentiasa mengingatinya, dan sentiasa memperbaiki amal. Kita sama-sama  mencuba, inshaAllah.
"Dan bagi tiap-tiap umat ada tempoh ajal (yang telah ditetapkan); maka apabila datang tempohnya, tidak dapat mereka dikemudiankan walau sesaatpun, dan tidak dapat pula mereka didahulukan." 
~Qur'an Mulia, al-A'raaf, 7:34

Comments

Popular Posts