Tersalah Letak

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Dalam bahasa Arab Fushah, tersalah meletakkan sesuatu perkara disebut sebagai 'dza-lim' atau  dalam bahasa kita, zalim. Tersalah meletakkan perkara di sini bermaksud kita tidak memberikan hak yang sepatutnya pada orang yang sepatutnya atas kadar yang sepatutnya dengan cara yang sepatutnya. Mencuri untuk menderma dikira menzalimi juga, sebab tersalah meletakkan cara demi melaksanakan niat. Tidak bersyukur pada Tuhan adalah suatu bentuk kezaliman kerana kita tidak memberikan hak pada yang Satu-Satunya berhak.

Tidak kiralah berdebat dengan siapapun, pasti ditemukan bahawa kezaliman sebagai pucuk-pangkal kemusnahan, kerosakan dan kebejatan. Kaum Nuh, Kaum Tsamud dan 'Ad serta pengikut Fir'aun laknatullah adalah golongan terdahulu yang tidak meletakkan Tuhan pada posisi sepatutnya dalam jiwa dan fikiran mereka-lantas mereka zalim-lantas mereka dimusnahkan. Mujur untuk umat Muhammad SAW, kezaliman itu tidak ditebus serta-merta dengan azab, tetapi diberikan ruang untuk bertaubat.

Namun, konsekuensi menzalimi hak-hak Tuhan ini masih kekal sebagai ipso facto tindakan tersebut. Sekarang, balasan lebih bersifat jangka panjang, menyakitkan dan penuh kepedihan. Lihatlah seluruh dunia kini; negara-negara Islam kebanyakannya sedang ditindas, malah dinafikan hak mereka. Apabila orang lain menuding jari pada Zionis dan Amerika, saya menelunjuk umat Islam itu sendiri.

Umat kita sekarang sudah tidak yakin dengan kuasa barakah dan rahmat, malah bergantung pada usaha-usaha fizikal semata-mata. Takwa mereka disandarkan pada usaha yang langsung, sedangkan hal-hal yang kononnya tiada kena-mengena dengan hal yang diperjuangkan tidak diambil berat. Mereka kadang-kadang tersalah letak keutamaan; yang tidak perlu dilihat wajib dan vice versa.

Dalam maktab
Kita tidak perlu pergi jauh untuk melihat situasi ini. Di maktab saya, hal ini terjadi sangat kerap. Saya berikan contoh:- beriadah versus beribadah. Saya tidak melarang aktiviti beriadah- subhanallah, saya sangat menyokong. Ianya bagus untuk badan, menjadikan kita lebih kuat dalam mendirikan amalan-amalan agama. Ia juga bagi menunjukkan Islam benar-benar agama syumul.

Namun malangnya, dalam ramai-ramai atlit, dalam ramai-ramai ahli sukan yang punya badan berketul, berapa sangatlah yang berkemampuan untuk ke surau. Bahkan untuk mendirikan lima waktu pun bagi mereka bagai mengambil dumbell seribu kilogram. Lalu, melalui reduksionisme, apa maksud sebenar aktiviti riadah mereka? Kalau bukan untuk menjadikan mereka 'abid yang lebih baik pada jalan Allah SWT, bukankah itu memancing kepada hilangnya barakah?

Terdapat juga situasi di mana kezaliman terhadap Tuhan dan hak-hakNya berlaku selain dari itu. Bahkan dalam kalangan manusia yang saya angkat topi hormat keluhuran mereka turut terperangkap. Contoh: pergi bermain catur sehingga ke jam empat pagi, lalu tidur dan tertinggal solat Subuuh. I'm asking: bidaah apakah ini? Bagaimana pula kita, dengan ini, mengisytiharkan bahawa kita pencinta Allah?

Mungkin contoh ini tidak cukup, jadi kita bergerak kepada contoh lain: berpasangan dua manusia heteroseksual tanpa ikatan yang sah dan keduanya ajnabi antara satu sama lain. Kelakar bila tengok golongan-golongan ini menge-'Like' halaman-halaman seperti 'Sayang Allah & Rasul', 'Couple is Haraam', dan 'Kempen Mencintai Islam', kerana tindakan mereka jelas-jelas mengelar urat-urat nadi umat Islam. Kesalahan mereka bukan kerana bercinta, tetapi kerana kesalahan menggunakan jalan yang zalim.

Banyak lagi kezaliman-kezaliman lain yang berlaku di maktab ini, dan di dunia ini khususnya dalam masyarakat Islam itu sendiri. Dan kita pula, asyik tergaru-garu kepala mencari mangsa yang boleh dituduh atas kejatuhan kita, sedangkan parang yang gunanya mencantas agama ada pada kita sendiri.

Comments

Popular Posts