Terjemahan Cinta Kepada Babak

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
* * * * * * * * * * * * * * *
Ayah baru pulang dari laut dengan memikul jala dan menjinjing sebakul ikan, lalu ibu mengelapkan peluh masam ayah yang bercampur dengan masin air laut. Ayah melihat saya sedang berbaring mewarna buku lalu melintasi dan mengusap kepala kecil ini. Langit makin merah, bunyi ombak masih memukul pantai seolah-olah ada suatu dendam yang tidak akan terbalas kedengaran sayup. Yalah, jarak rumah dengan gigi air bukannya jauh, dalam dua ratus meter saja.

Setelah menyidai kain lap peluh ayah di pangkin rumah, ibu dengan hasil tangkapan ayah bergegas ke dapur menyiapkan makan malam. Ayah keluar semula ke muka pintu, duduk pada pembahagi ruang tamu dan beranda rumah dengan lututnya sebelah memangku tangan yang mengunjur ke depan, memegang rokok tembakau gulungan sendiri. Hujungnya bernyala sejingga langit di ufuk. Saya lihat asapnya bergulung dan meruap ke dalam bayu laut, namun aromanya kekal.

Lalu bila malam sudah berlabuh sepenuhnya, bintang-bintang sudah mula berani bersinar, ibu memanggil "Sayang," dan "Siin" dan "...jum makan!" berturutan. Lampu kalimantang yang seakan terlalu sakit untuk bernyala, diserang bertubi-tubi serangga malam (menjadi misteri buat saya selama yang saya mampu ingat) mewarnakan rumah kayu kecil ini dengan nyalaan kelam. Ayah ambil tempat duduk dahulu di lantai. Saya mengekori, melihat ayah menyendukkan nasi untuk ibu dan kemudiannya untuk saya. Maka kami makan bersama-sama. Setelah itu bersolat jemaah di lantai sama tempat kami makan.

Setelah usai Isyak, ayah memanggil saya. Dipegangnya saya di ketiak, diletakkannya tubuh kecil ini pada pangkuan, lalu dihadapkannya wajah saya ke laut. Maka berceritalah dia tentang laut; bagaimana dia juga tumbuh hasil pemberian laut (dengan kuasaNya), betapa bagaimana kadang-kala dia terpaksa bergusti melawan lengan-lengan samudera dengan bot kecilnya, dan bagaimana dia pernah diganggu ruh-ruh lanun yang tidak aman. Bersaksikan bintang, menghadap senggora, hati ini tidak pernah gagal untuk dilenakan dengan buaian suara ayah dan ibu yang kadangkala menyampuk (sambil melipat kain).

Sesekali saya terbangun, terdengar ibu ayah berbincang masa depan saya. Sesekali itu juga, saya terdengar ibu dan ayah mengerang dan sesekali, saya terbangun sendiri; menguak pintu rumah dan merenung dalam-dalam langit kalau-kalau benar ruh-ruh lanun yang tidak aman mengganggu ayah. Pasti tidak lama selepas itu, ibu bangkit dan memujuk saya. Menyanyikan untuk saya lagu "Aku Sayang Kamu" (entah karangan siapa) sambil menepuk-nepuk buntut. Hangatnya masih terasa.
* * * * * * * * * * * * * * * * * * *
Mengerling iPhone 4S saya, mengerling jam Rolex emas saya dan mengerling Menara Berkembar: saya tidak temukan hangat yang sama dan lembut bayu yang serupa. Ah, sudah pukul dua pagi. Banglo saya kosong tidak berpenghuni. Lalu memecut pulang ke mahligai dua tingkat yang tidak mampu -- walau dengan apa cara sekalipun -- menandingi rasa enak menjadi anak pelaut.

* * * * * * * * * * * * * * * * * * * * 
Inilah mungkin rasanya cinta sejati. Tidak perlukan televisyen, tidak perlukan iPhone dan Xperia S. Tidak perlukan tilam empuk dan rumah bertingkat tingginya. Semakin sedikit manifestasinya dalam bentuk materi, semakin bebas cinta mengekspresi diri. Wassalaam~

(P/S: Semua yang tertulis dalam babak di atas adalah fiksyen tulin. Namun saya tidak menolak kemungkinan wujudnya kehidupan sebahagia ini).

Comments

Popular Posts