Lahir Semula (Orang Putih Kata, 'Reborn')

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

"Setiap hari, aku bangun seperti seorang bayi; bukan sebab aku suci, namun sebab aku rasa telah dimaafkan, dan sebab aku seperti baru tahu dunia."
Selamat pagi. Pertama kali untuk beberapa hari (minggu, mungkin) kampus ini kembali dilitupi kabus. Terbiasa dengan jerebu, disangkakan awal-awal pagi sudah ada kebakaran hutan. Rupa-rupanya Tuhan masih sayangkan maktab ini; barangkali awa wali Allah di dalamnya. Siapa tahu?

Alhamdulillah, KOT sudah berakhir. Semester empat kini tinggal cuti seminggu, kerja kursus yang bertimbunan dan praktikum (!). Jujur, saya takut. Saya tidak suka mendekati kanak-kanak sebagai guru, lebih suka sebagai kawan (yang tua bangka) atau abang (yang kacak segak bergaya). Jadi, kegusaran itu berkumpul dan berpusar di atas kepala. Macam ini --> ._.*

Selain mengungkapkan "Alhamdulillahilladzi", satu kaedah baharu telah saya pelajari hari ini untuk menjadikan sisa hari lebih bermakna. Bangun seperti kau tidak tahu apa-apa. Bukan dari sudut rutin (berus gigi, solat, kemas katil) tapi dari segi pengisian. Seperti bayi. Hakikatnya kalau bukan kerana Tuhan, pasti keadaan kita lebih teruk. Bayangkan kau bangun menjadi ungka.
"Semuanya adalah sementara"
Betapa kalimat ini kalau kita semua fahami pastilah kita akan berasa kerdil lagi hina; pastilah bangun kita seperti hambaNya, meletakkan pada lantai, dahi yang kita bangga-banggakan sebagai takhta mahkota, sebagai puncak jasad, sebagai tempat menyarung serban. Syeikh Nuri Farahi berkata, "Hiduplah di dunia dengan membawa pengalaman bersolat, kau akan melihat wajah Yang Tercinta di mana-mana".

Kita jatuh di dunia berkeadaan sesat, mencari jalan pulang ke Kampung Halaman. Hanya iman dan takwa-dan bukan harta, dan bukan intelektualisme, dan bukan darjat, dan bukan pangkat, dan bukan portfolio, dan bukan pengaruh, melainkan ia digunakan ke arah ketakwaan-yang boleh menerangi jalan kita. Kita semua hidup dalam dunia yang diimpikan yang telah mati, maka hidupilah ia sebaiknya.

Eh, ter-tazkirah pula. Apapun, semoga berjumpa semula di syurga.

Comments

Popular Posts