Cikgu Borek, Anak Rintek

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Apa sebenarnya pendidikan? Adakah ianya suatu proses agar manusia mudah ingat sesuatu ilmu melalui mnemonik atau akrostik tertentu? Adakah ianya sekadar proses 'knowledge emesis'? Atau adakah ia, secara aslinya pendedahan kepada nilai-nilai insaniah, tanpa menghiraukan keperluan duniawi atau materi?

Sukar menolak bahawa saya, dalam jangkauan tertentu, turut bergantung kepada keupayaan guru/pensyarah mempermudahkan kerja pelajar untuk mendapatkan gred yang tinggi, serta upaya didik diri serta rakan-rakan (seperti 'APPLE' dan PPAA FET Hyman dalam teknik penyoalan) untuk mencapai aspirasi jangka pendek itu. Yang ditakutkan, apabila guru berdiri kencingnya, murid lari pecut, menjejerkan air kencing ke serata masyarakat.

Kerisauan itu berganda-ganda apabila guru sendiri seakan ragu-ragu berkenaan apa sebenarnya pendidikan. Apa yang hendak dicita-citakan, andai yang hendak dicapai pun tidak diketahui. Terjamin masa depan sendiri, sudah kira settle. Oh, bukan semuanya begini. Saya rasa terpanggil untuk berkongsi citra saya berkenaan apa sebenarnya pendidikan (dan inilah kupasan awal/asal entri ini).

Takrif indah pendidikan

Tidak perlulah didefinisikan maksud literal pendidikan, kerana itu membuang masa. Menurut Herbert Spencer, pendidikan adalah suatu cara hidup sempurna. Pestalozzi pula berujar, pendidikan itu adalah pembangunan semulajadi, harmoni dan progresif keupayaan dalam manusia. Kautilya pula mencadangkan pendidikan sebagai suatu latihan nasional untuk negara. Terlalu banyak definisi, sampai pusing kalau ditulis semuanya.

Bagi saya, pendidikan adalah proses menginsankan manusia, atau dalam Bahasa Inggeris, 'humanizing human'. Kita tahu setiap manusia adalah Homo Sapiens; makhluk bermata dua, bermulut satu, berkaki dan bertangan dua. Kita melabel seseorang sebagai manusia apabila ia mempunyai ciri-ciri fizikal manusia. Insan adalah makhluk yang berjiwa, berfikiran hebat sebenarnya, berkehendak, bernafsu dan bersikap.

Menginsankan manusia bermaksud membantu manusia mencapai hakikat insaniah. Selagi mana seorang guru gagal, walaupun secubit, membantu anak didiknya menjadi manusia yang lebih baik, maka selagi itulah dia belum dikira memberi pendidikan. Kalau anak didiknya pandai, itu namanya pandai dan tahu (atau mungkin sampai amal). Ini, tanpa pendidik pun, boleh dilakukan murid sendiri.

Sepanjang saya menjadi anak didik, ramai jugalah cikgu saya yang mempunyai sifat kependidikan ini. Mereka bukan sahaja mengajar saya sesuatu ilmu, tetapi mengajar bagaimana ia boleh memberi manfaat kepada saya dan dunia. Mereka tidak ambil kisah pasal peperiksaan. Ambil contoh Sir Shamsul Haque. Beliau walaupun menderita sejenis penyakit terkait sum-sum, buah didikannya tersebar ke seluruh dunia (secara kasarnya, guru Sains paling mampu memberi inspirasi)

Bagaimana menjadi pendidik?

Melalui pengalaman, saya bukanlah orang yang berhak berkongsi. Praktikum pun belum tentu bagus. Namun melalui pemerhatian terhadap guru yang saya rasa menepati definisi saya, mereka biasanya dekat dengan pelajar. Dengan hati dahulu, baru akal mereka. Dari dalam, mereka timbul rasa sedar dan rasa kagum akan subjek mereka, sampai kanak-kanak malah minta diajarkan lagi. Sebegitu sekali guru-guru KBSR saya dulu (uhumm).

Mereka tidak lupa sematkan ilmu dengan penceritaan dalam dunia sebenar, sebagaimana Sir Haque berjaya men-"doktor" kereta Perodua kesayangannya dan litar di rumahnya, sehingga kos hidupnya minima. Dia ajarkan bagaimana ilmu boleh menular ke dunia luar dan memberi manusia yang mencari serta mencintainya manfaat yang wangi. Salutasi untuk Cikgu Lamsin dan Cikgu Shahril, juga. Dua-dua masing-masing guru - maaf, pendidik - Bahasa Melayu dan Sains untuk UPSR saya.

Hipotetikal

Buat masa sekarang, saya hanya boleh berteka-teki tentang apa sebenarnya yang ideal dan praktikal untuk pendidikan. Tunggulah bila keluar untuk posting nanti, matilah kau, Yassin! Buat masa kini, pendedahan banyak, khususnya buku 'Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang' yang dipinjamkan Hetty banyak, melalui izinNya, memberikan saya pandang sarwa yang indah. Ayuh para guru; mulai kencing dalam tandas mencangkung!

Comments

Popular Posts