Perjuangan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
"Orang tidak akan faham perjuangan kita. Mereka hanya akan selalu berkata, namun hakikatnya mereka tidak faham."
Menyelak lembaran Rancangan Pengajaran Harian (RPH) dengan jemari yang separuh ketar. Memastikan ia sudah tersusun dengan baik. Beberapa jam lagi, sejam yang paling memenatkan akan tiba. Mengelus rambut ke belakang cuping telinga. Mencicip kopi yang suam. Memandang ke luar tingkap seakan-akan dipujuk terjun melaluinya.

Pengajaran makro adalah perkara paling dia takuti untuk semester ini. Berdasarkan pengalamannya dalam beberapa siri School-Based Experience dahulu, dia memang kurang cerdas dalam menyampaikan ilmu. Mulalah kotak fikir memutarkan kekuncinya, memainkan bersama-sama muzik sentimental dan segalanya yang dia kepingin jadi.

Sedar tidak sedar, tangan jam yang pendek sudah singgah ke nombor dua. Bermakna adalah kurang lebih sejam lagi. Penumpuan kepada segala teguran pensyarah kepada dua orang kawan yang membentang diambil dan disumbat dalam kepala. "Hei Yassin, jangan kau buat!". Gentar ditekan ke dalam perut, berharap mudah-mudahan asid laktik boleh mencernanya.

Dengan alasan tertinggal kabel di Tawau, dia sedar dia telah menampakkan penampilan orang yang kelam-kabut, cepat binasa dan huru-hara. Dia sudah dapat merasai saat pena pensyarah menggarit angka sifar pada kotak pemarkahan sikapnya. Tidak lama kemudian, alasan untuk ber-Asar menghentikan pengajaran makro, balik kepada Tuhan memohon kekuatan.

Sejam yang berjalan terasa sangat jauh. Sepuluh minit pertama, aduh! Kepala panas semacam seolah-olah ini pecah bersepaian di ruang makmal. Kawan-kawan yang sentiasa memberi sokongan, pensyarah penuh inspirasi yang tekun menilaikan, memamahi kekuatan. Keadaan kucar-kacir sebentar apabila fasa terlepas, tersilap laksana. Nasib baik pandai sembunyikan.

Alhamdulillah, markah yang diberikan agak memuaskan. Yang diperkatakan pensyarah, memang tidak terkiralah banyaknya, namun semua diambil buat antologi rujukan. Jangan sombong dalam belajar, nanti ilmu menyusup lari. Kata-kata hikmat dari seorang pengejar ilmu, kepada pengejar ilmu yang lain. Uhh, poyo sekejap.

Refleksi sebenar

Refleksi sebenar saya diterbitkan otak lambat. Sewaktu sedang berduduk-duduk dekat gerai dengan Zudien Jiwang, menunggu pesanan burger nan sebiji, sempat berkeluh kepada kawan sampai akhirat yang dok sedap menghancurkan keropok dalam rahang. "Dien, ini baru satu slot macro teaching. Bayangkan, tiga puluh lima tahun macro teaching." Dien dan diri-sendiri ditinggalkan pada persoalan tersebut. Menyambut bungkusan burger yang dihulur, membalas dengan uang dan usai.

Saya selalu merasakan perjuangan saya bukan di sini sebenarnya. Perjuangan saya di dalam pusat sumber, di dalam bilik berpendingin hawa menanti para penuntut siswi datang menanyakan kepada saya atau meminta ulas opini anti-monolingualisme Bahasa Melayu hasil pemikiran Abdul Rahman Embong dalam 'Negara-Bangsa'. Berhadapan murid ini, getus saya, perjuangan orang lain.

Jujur mahu jadi seorang pensyarah, atau ahli sejarah, atau paling kurang sosiolog. Membentang tesis demi tesis. Menghurai kajian demi kajian, di hadapan ratusan intelegensia dan intelektualis. Mendebat isu kedudukan Ahlul Bayt dalam sudut pandang Ahlus Sunnah. Bukan mahu mengangkat diri (oh, mentang-mentanglah), tetapi benar-benar telus merefleksi.

Permudahkanlah jalan kami, ya Tuhan. Aamiin.

Comments

Popular Posts