Ulti Seperti Tigreal (Kehidupan Adalah Selena, Claude dan Fanny)

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Memori itu hal yang ghaib. Metafizik. Abstrak. Apa-apalah. Yang anehnya, ia boleh memberi kepedihan nyata terhadap diri. Saya tempoh hari bertiarap atas katil merenung satu-persatu gambar sendiri tujuh, lapan tahun yang lalu. Perasaan rugi, tidak puas, kekurangan, sesalan dan macam-macam meluncur menendang dada. I feel the pain. Saya yakin ada penjelasan saintifik bagaimana fenomena ini tercetus, yang saya terlalu malas mahu buat selidikan. Tetapi kenapa? Kenapa badan kita menghasilkan sensasi pedih ini?

Tempoh hari kepedihan itu hampir membuatkan lelaki berusia 29 tahun ini menangis. Segala kemanisan lampau tak lagi boleh diulangbuat, justeru dinikmati. Ia telah kita letakkan dalam bilik kebal yang diperbuat daripada kaca tebal. Kita hanya mampu memperhatikannya, sambil membina satu lagi bilik kebal untuk masa kini. Semua peluang untuk bergembira dengan cara lalu lebur di renungan kedewasaan yang menyajikan cara lebih baharu untuk bahagia.


Ah, pergi mampus dengan kekinian!

Anehnya sewaktu kecil dan di bawah seratus-peratus lindungan ayah serta suapan ibu, kita mengharapkan untuk lekas-lekas besar dewasa. Kita mahu ada rumah sendiri, kenderaan sendiri, hidup bergaji sendiri; boleh belanja bagaimanapun kita hendak, makan apa saja kita kepingin. Menjelang lewat remaja prospek itu semakin muram dan tak menyelerakan - di samping trigonometri dan perihal Perang Dunia Kedua kita mulai belajar wujudnya hutang-piutang, busuk hati orang, cabaran tempat kerja, birokrasi dan bermacam-macam lagi.


Kita duduk termangu memandang betapa tingginya gunung di depan dan betapa landai dan selesanya lembah yang telah kita tinggalkan. Akan tetapi kontrak 'hidup berdikari' mewajibkan kita untuk terus mendaki separuh mati, setengah nyawa, dengan sesuku nafas dan kudrat yang semakin sikit. Kita mentertawakan Sisyphus yang menolak bongkah batu menaiki Gunung Olympus - "Hey Sisyphus, lepaskan saja bongkah itu!" kita bilang - akan tetapi bebanan di atas bahu sendiri selaku manusia moden, Sisyphus sendiri takkan sanggup pikul.

Ganjil bilamana secuplik ingatan - kau duduk atas pelepah daun pisang dan kakakmu menariknya, sahabatmu mengajakmu ponteng kuliah demi merebut peluang ke taman tema air separuh harga; menatap dunia dari atas awan di ketinggian 4,095 meter - bisa menyebabkan kau tidak duduk senang dalam kamar kaca yang hampir siap ini. Ganjil bilamana hal sejauh zaman kecil bisa menembus berpetala-petala usia demi menggundahkan tidurmu.


Dan, kau tahu satu perkara? Sewaktu mula-mula menerima surat penjawatan lima tahun lalu, saya berharap dapat satu sekolah dengan mana-mana teman rapat supaya boleh disambung-sambung memori sewaktu kolej. Entah kehidupan mengejek atau memang beginilah realiti, saya dihantar bekerja di sebuah tempat yang jauh dari mereka yang bernama Felda Sahabat. Iya, di situ saya membuat kawan juga, masih berhubungan juga. Akan tetapi rasanya manalah sama; kau cuba jadi introvert sekejap dan berpisah dari sahabat-sahabat eratmu.

Saya belum bertemu lagi siapa-siapa yang boleh menidakkan keghaiban sakit memori ini (malah kalau saya tanya mereka mulai membuka cerita dan mahu berkongsi). Saya kira ia wujud sebagai perasaan universal demi memberikan generasi akan datang sedikit didikan, mungkin juga peluang, untuk hidup saksama dengan Masa. Untuk kita tidak terlalu cepat menghakimi orang lain lantas fokus pada memperbaiki pentas yang di atasnya kemanusiaan boleh menari dan menyanyi.


Atau ini semua nihil, saya cuma merasionalkan yang tak rasional dan kita tertakdir untuk tidak pernah sembuh daripada kesakitan ini. Jangan risau, saya bukan menulis pos ini untuk bergenang dalam sesalan; saya cuma mahu kita semua menghargai setiap apa yang telah berlaku. Khusus buat kawan-kawan: sepanjang kalian ada di sekeliling, saya rasa berani untuk hidup, buat ulti seperti Tigreal, dan ketakutan saya kerdil dibandingkan dengan sokongan kamu semua. Atas kemanisan kenangan, hanya Tuhan mampu membalasnya.

Saya harap perasaan ini tidak satu hala. Bila saya buat ulti, saya harap kamu tidak tinggalkan saya.



*Que 'I Wont Give Up' song :)

Comments

Popular Posts