Ngeri > Sakit > Harapan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Entah bila wabak ini akan berhenti. Vaksin yang dijanjikan nampaknya bakal tidak cukup, atau pengedarannya bakal tergendala. Saya selaku penerima vaksin fasa terakhir mungkin hanya akan mendapatkan dos tersebut menjelang hujung tahun. Sehari-hari saya semak statistik, baik negeri mahupun yang kebangsaan, mengharap angkanya dari empat berkurang satu menjadi tiga. Namun sepertinya saya perlu menunggu lebih lama lagi.

This is a sorry state we are living in. Anak-anak tidak boleh bersekolah; para penjaja dan pengusaha tidak boleh meneruskan bisnes; industri seni terbantut. Komplikasi wabak menerpa sejauh emosi, kerana emosi difaktorkan kecukupan-kecukupan fizikal (kewangan, makanan, perubatan, jaminan keselamatan, dsb.), dan buat masa ini kecukupan-kecukupan itu semakin terjerut. Saya tidak hairan membaca kes-kes bunuh diri dalam kalangan barisan hadapan mahupun penghidap virus ini. Terguris jantung saya melihat keadaan bilik tidur seorang lelaki warga emas yang didapati mati di situ, pergelangan tangannya dikelar (oleh dirinya sendiri). Tumpahan darah kering ada di lantai dan terpalit di mana-mana.

 
Beberapa minggu lalu, saya 'disentuh' oleh sakit yang aneh rasanya. Badan rasa letih, dengan suhu tidak stabil, tekak serta hidung sentiasa tersumbat dan mengalami kerengsaan. Hendak mandi pun berkira-kira, terlalu dingin air paip saat ia menyentuh kulit. Selama empat hari saya bersidai atas katil, baju dua lapis dan sentiasa berkemul dalam selimut. Ia sampai kepada suatu saat saya fikir, "Hello COVID19, akhirnya kita bertemu". Tapi saya benamkan naluri itu dalam-dalam dan saya usahakan untuk sembuh. Saya tidak mahu ke rumah sakit. Saya takut disaring dan didapati positif. Saya tidak cukup tabah.

Akhirnya, saya dalam keadaan sediakala. Rasanya seperti berjaya keluar dari sebuah terowong yang sempit dan lembap. Seharusnya ia boleh berakhir dengan penghujung berbeza: demam saya semakin parah dan saya perlu terlantar di katil hospital, tidak boleh dilawati oleh sesiapa. Lalu, ia boleh jadi jauh lebih memilukan: jangkitan pada paru-paru saya terminal dan tidak ada cara untuk merawatnya melainkan diet serta doa tawakal, bahkan itu pun tidak cukup dan akhirnya saya terpaksa meninggalkan dunia sendiri.

 
Kalau kau positif, apa akan kaubuat? Saya mungkin tidak akan sampai ke satu detik sehingga saya mengelar nadi atau terjun dari tingkat tiga hospital tempat saya terlantar, namun tidak akan jaminan itu tidak akan berlaku. Barangkali hal jauh lebih buruk akan saya lakukan, mengetahui yang saya tidak akan sembuh dan hanya menjadi beban buat orang lain. Ia situasi yang tidak mungkin saya rela untuk hadapi, dan saya harap kita semua terhindar daripadanya. Saya harap kita sempat mendapatkan dosej vaksin COVID19.

Saya merindukan suasana sebelum pandemik ini meletus. Saya rindu keramaian, kesibukan, kehingaran dan kebisingan warga bandar. Saya rindu kenakalan anak-anak murid saya, gelak-tawa kawan-kawan sepejabat, gurau-senda Kak Mariamah dan sekutunya selaku pekerja pembersihan sekolah. Segala majlis, jamuan, solat Jumaat, keraian saya harap tidak menjadi perkara masa lampau saja. Saya mahu kebebasan untuk ke Kuala Lumpur, menelusuri kedai-kedai kraf di Pasar Seni atau merenung artifak-artifak prasejarah di Muzium Negara dengan panduan Uncle Kelvin. Selaku manusia, saya kira ia universal.

Tidak tahu ini boleh membantu sesiapa atau bagaimana ia membantu, namun saya harap yang positif COVID19 terus tabah. Yang pendapatannya merosot dek wabak ini, dibukakan pintu rezeki lain untuk menyambung keberterusan hidup diri dan keluarga. Saya tahu manusia sebenarnya jauh lebih kuat berbanding daripada apa yang ia tanggung. Saya mahu kamu percaya, sebaik saja wabak ini terhapus dari muka bumi, kita akan jauh menghargai kehidupan ini. Saya cuma mahu kamu janji untuk terus kuat dan bersemangat.

Kalau bosan, mari main PUBG/ML sama-sama haha. Saya noob nih. Kamu carry, boleh? Saya malas main solo/sendiri-sendiri ^.^

Comments

Popular Posts