Pemuda Yang Bakal Mati Di Umur 40 Tahun

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Di luar senyum, di dalam muram. Kenapa manusia diciptakan untuk mempunyai fakulti dikotomik sebegini? Kenapa perlu ada hujan baru muncul pelangi? Kenapa selepas siang, perlu datang malam? Kenapa satu hari kita riang, keesokannya kita muram? Hari ini adalah antara hari-hari begitu, di mana saya terbuang dalam lembah perasaan yang selalu saya lupa wujud. Tolong jangan pujuk atau cakap 'it's going to be alright'. Menulis mengenainya sekarang adalah cara saya merawat hati, lah. Teruskan membaca :)

Saya rasa antara perihal yang selalu diremehkan dalam menjadi dewasa adalah dalam mencari bimbingan. Alam pekerjaan tidak seperti zaman remaja/belajar, di mana kau masih boleh dilentur, masih ada teman-teman yang boleh memandumu. Di usia ini impresimu tentang hidup masih boleh diperbaiki. Sampai saja stesen kedewasaan, kau terpaksa keluar dari gerabak sendirian, mencari haluan masing-masing. Kawan-kawanmu ada tanggungjawab mereka sendiri. Ada yang fokus bekerjaya. Ada yang sibuk mengurus rumahtangga. Tidak adil untuk kau masih menumpang budi serta panduan.


Di fasa ini kau sudah mempunyai ego yang bulat dan kental terhadap diri-sendiri; darihal imej, pemakaian, pemakanan, jenis rumah yang ingin dibeli, kenderaan yang mahu disetir, malah pasangan yang diharapkan. Sebahagian besar egoisme ini terbit daripada jangkaan masyarakat yang kau sudah boleh berdiri atas kaki sendiri. Soalnya, tidak semua bersedia untuk hal ini, meskipun jambangnya semakin tebal dan rambut semakin banyak putih. Setidak-tidaknya inilah maklumat yang saya dapat kumpul melalui perbualan internet.

Koen

Ini membawa saya kepada kisah Joey (bukan nama sebenar). Saya mengenali dia melalui suatu laman sosial yang mengumpulkan lelaki-lelaki depresif (jumlah bunuh diri dalam kalangan lelaki di Malaysia adalah 2.4 kali ganda berbanding wanita). Dari gurauan dan bertukar meme, kami perlahan-lahan masuk ke daerah lebih serius. Saya tidak menyangka Koen seorang pemuda yang dalam dan tajam pemikirannya (orang kata, kebolehan bermain meme petanda kebijaksanaan). Kami berbual berbagai topik; sosial, ekonomi, keTuhanan dan akhirnya.. identiti diri. Krisis yang bagaimana, tidak relevan di sini. Namun ia serius.

"Bila aku mencecah usia 40 tahun, aku akan membunuh diri."

Teks penyudah perbualan itu diakhiri dengan emoji senyum.


Saya keliru. Koen 8 tahun lebih muda berbanding saya. Bagaimana kami boleh sampai kepada kesimpulannya itu, saya tidak ingat. Tapi saya masih boleh tidak boleh lupa pengakuannya yang dia tidak boleh hidup lama dalam masyarakat sekelilingnya yang pasti menjauhkan diri daripada orang sepertinya, khususnya keluarganya. Saya memujuk agar dia belajar elok-elok, cari kerjaya yang boleh menampung dirinya, tinggal jauh-jauh di mana dia boleh jadi diri-sendiri (apapun maksudnya, asal tidak mengganggu hidup orang lain).

"I've made up my mind."

Koen pintar, saya jamin. Cara dia melihat dunia dan berkongsi pendapatnya mengingatkan saya kepada beberapa orang pengucap awam yang saya kenal. Namun mungkin kerana pandangannya yang tirus menikam realiti itulah dia bertembung dengan apa yang orang panggil sebagai 'wall of values'; kebuntuan yang tidak boleh dirawat oleh cita-cita, ditutup dengan tawa, malah tak boleh diselesaikan dengan diskursi filsafah. Di sini barangkali, fakulti pemikiran Koen tumpul dan akhirnya itu membuatkan dia berkonklusi demikian.

Mulai detik Koen menuturkan konviksi itu saya membilang hari. Perbualan terakhir kami adalah pada November 2018. Dia sudah berumur 21 tahun. Dia hanya ada 19 tahun lagi, sama ada untuk mengubah pendirian atau menamatkan hidup. Untuk semua itu mengenainya, saya yang murung. Bulan lepas saya menghubungi nombor telefonnya, bukan dia lagi yang menggunakan nombor itu. Di hujung talian, teks panjang-lebar saya yang menanyakan khabar dijawab dengan "siapa ni, maaf tak kenal". Semakin saya runsing tentang Koen.

Persimpangan

Anehnya perkenalan kami terjadi sewaktu depresi besar melanda saya pula. Tuhan dan teman serumah saja yang tahu betapa kroniknya keadaan saya ketika itu. Dalam satu badan ini seperti ada dua, tiga jiwa. Bilik saya sunyi, tetapi suara-suara mereka saling menjerit dalam kepala buatkan saya tidak tentu arah. Saya tidak malu berkongsi pengalaman ini kerana bersyukur mengharunginya. Saya rasa lebih ramai lelaki perlu terbuka berkongsi rasa. Ubah stereotaip lelaki perlu berlagak kuat, pendam rasa (stereotaip ini faktor risiko utama kes bunuh diri dalam kalangan lelaki). Kita manusia sebelum kita lelaki.

Mengenali Koen, walaupun dia jauh lebih muda, memberikan saya sedikit humane guidance. Setiap kali mahu mengamuk, saya akan memulai perbualan dengannya dan meme-memenya yang betul-betul kena situasi menggamit ketenangan. Hampir-hampir suatu keajaiban kehadirannya serentak dengan kemunculan fasa krisis eksistensial saya. Itulah sampai sekarang saya berhutang budi dengannya, si pemuda yang bakal mati di umur 40 tahun. Entah di mana Koen sekarang ini. Marilah kita sama-sama doakan kesejahteraannya.

Jangan ambil remeh

Saya ada dua pesanan saja:

  1. Buat remaja: Carilah kawan-kawan yang boleh motivasikan, didik, bimbing, tegur kau kalau kau buat salah, galakkan kau kalau kau cemerlang. Hubungan dengan keluarga, kau jaga baik-baik, rapat manapun kau dengan manusia, merekalah lebih mengenalimu. Buat yang punya kepercayaan, rapatkan diri dengan-Nya. Terkadang kawan dan keluarga tak mampu mengusir gundah hatimu, dan kau hanya ada Dia.
  2. Buat dewasa: Ianya okay untuk berasa depres/sedih. Jangan anggap ianya tidak normal, asal saja kau boleh berkawan dengan dirimu. Persoalan kenapa harus ada sedih untuk setiap kegembiraan tidak menyangkal kenyataan bahawa bahagia tetap wujud. Malah, seperti pujuk Heraklitus, sangkin kesedihan itu muncullah, kau kena ambil kesempatan setiap kali peluang untuk senyum, untuk tersenyum.
Ahh, saya lega sekejap dapat meluahkan semuanya di sini. Inilah antara sebab blog ini dapat bertahan sepuluh tahun lamanya; walaupun jarang dikemas(kini), tapi seperti teman rapat ia sentiasa ada untuk saya mengekspresi pelbagai kerisauan saya. Saya kira umurnya lebih panjang lagi. Segala bebelan dan luahan saya di sini  harap berguna untuk sesiapa, pula. 
 

Comments

Anonymous said…
COOL COOL COOL

Popular Posts