FIKSYEN: PERMAFROS

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
 

Aku tahu dia sedang menungguku di luar. Berdiri tegak, menanti aku menguak pintu itu, menjemputnya masuk. Menghidang segelas minuman hangat - biasanya teh kamomil, kerana itu dapat menenangkannya - dan memulai bicara. Tentang cuaca yang kebelakangan ini tidak menentu. Tentang pengajiannya yang belum habis oleh kerana keruwetan SI profesor. Tentang kawan kami Cecil yang baru selamat melahirkan seorang anak lelaki yang sihat montel bernama Devon. Kemudian dari cerita orang, kami akan beralih kepada cerita masing-masing, beralih ke sofa, pintu bilik, katil. Teh kamomil kami yang tinggal separuh akan menyejuk diusap musim dingin yang baru kami bahaskan sebentar tadi. Akhirnya, aku pasti akan melupakan sekali lagi, betapa besar kesilapannya terhadapku, terkulai dalam dakapannya yang tak kunafikan aku damba dan rindu.

Maka aku kaku di situ, di pertengahan koridor rumah, membaling-baling syiling pertimbangan dalam kepala. Menebak bahagian mana yang menghadap ke atas; adakah peluang melepaskan rindu atau peluang untuk semakin mengusirnya jauh, paling tidak pun, jauh dari hatiku yang bengkak biru. Loceng rumah berbunyi lagi, kali ini tiga kali, menandakan keterdesakannya. Aku dapat mendengar bunyi sepatunya beberapa kali, barangkali kesabarannya semakin teruji, atau mungkin cuaca di luar sejuk sekali sehingga dia bergerak-gerak untuk menjana haba badan. Itu pun satu hal; sanggupkah kuhukum dia dengan berdiri di luar lama-lama, dalam keadaan malam bersalji serta angin kuat? Bolehkah egoku begitu akbar sehingga kemanusiaanku tercalar?

"Buat apa kau ke sini, Susan?"

"Aku perlu menjelaskan sesuatu," jawapnya dalam suara menggeletar.

"Kau tahu apa akan terjadi jika aku membuka pintu ini.."

"Biarkan. Biarkan apa saja jadi."

Deru angin semakin kuat menyelinap masuk dari bawah pintu dan celah tingkap. Loceng berbunyi lagi. Badanku semakin ringan untuk ke depan, tanganku mencapai tombol, hatiku mempelawa. Kelelakianku pula berusaha menahan diri daripada maju dan menjunam ke penyesalan semula. Tidak untuk kali keenam. Rindu ada tempatnya. Kasih ada tempatnya. Di manapun itu, ia bukan di sini, kini. Ia harus disimpan buat yang lebih berhak dan lebih menghargai, bukan buat yang suka-suka datang dan pergi.

Kami dua tubuh berdiri di situ, dipisahkan oleh sebuah pintu, tapi jiwa kami masih bersatu. Aku dapat merasakannya. Tetapi, padaku syarat cinta tidak semestinya bersama, cukup sekadar saling mengingati dalam doa. Di kediaman itu, menerpa-nerpa segala macam memori; dari musim panas ke musim bunga, dari langit biru bertukar kelabu - dua kali pusingan lamanya kami saling membina harapan seperti membina orang salji, lalu musim berubah dan orang salji itu lebur. Dia berperasaan-perasaan dengan Charles di belakangku.

"Corey!"

"Pulang!"

"Corey!!"

"Pergilah, Susan."

"COREY!"

Bercinta tidak semestinya bersama. Terkadang hanya saling menumpangkan tempat meluah, menghadap cabaran-cabaran usia bersama. Bercinta terkadang hanya menghantar satu jiwa kepada pasangannya, atau menjaganya sampai siapapun yang sebenarnya diputuskan Tuhan untuk bersama dengannya untuk mengambilnya, dan tidak salah jika ia diakhiri dengan perpisahan. Seperti kukatakan, kekasihmu akan sentiasa hidup dalam doa yang kautitipkan untuknya setiap hari. Biar jasadnya beku tersembam di halaman rumahnya sendiri, semangatnya hangat dalam bilik hati yang kaurizabkan hanya untuk dia, dan dia sahaja sampai habis jangkahayat dunia.

Masih kuingat detik kutemukan jasadnya yang mengeras di anak tangga rumahnya saat bergegas melawatnya dengan peti kecemasan. Melalui telefon kudengar esakan pedih dan rayuannya untuk aku lekas-lekas datang membantu. Charles tak kelihatan di mana-mana, kereta sport sedan yang selalu dia bangga-banggakan di media sosial pun tiada. Hanya ada sekujur tubuh kaku yang pucat biru. Abdomennya kubekam dengan telapak tangan, ada beberapa bukaan besar yang menampakkan organ dalam yang turut mengeras. Di depan tangga rumahnya aku memekik dan berteriak, meminta pertolongan sambil memangku sang kekasih yang sudah tiada. Sampailah seorang peronda yang kebetulan melalui kejiranan yang sangat sunyi itu, lantas kami dibawa ke hospital.

"Corey, sayang!"

Aku takkan membuka pintu itu lagi, seperti semalam. Apabila kubuka pastilah Susan tak akan ada situ, dan aku akan depres lagi hanya dapat mendengar dia berbisik, tanpa tubuh hangat yang boleh kudakap erat. Kemudian aku akan meneguk whisky sebanyak-banyaknya, cuba melemaskan memori kami dalam selautan alkohol. Dari sofa ke pintu bilik lalu ke katil, aku akan meraung dan memukul-mukul dada, mahu membunuh perasaan rindu yang telah berumah terlalu lama dalam bilik hati yang kukhaskan hanya untuk Susan. Akhirnya, aku pasti akan melupakan sekali lagi, betapa jauh jarak antara dunia kami -  aku di dunia, dia di alam barzakh - terkulai dalam kerinduan terhadapnya yang tak kunafikan akan sentiasa menghantui sampai aku dengannya kembali bersatu.

"Corey.."

Bahuku ditepuk.

"Siapa di luar?" soal ibu.

"Tiada siapa-siapa."

Dalam kegelapan ruang tamu kukesat kebasahan rindu.

Bersemadilah dengan aman, Susan.

Comments

Popular Posts