"Tragedi" Ecce Homo

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Sensasi internet

Ini adalah Cecilia Gimenez, seorang penganut agama Kristian yang gemar mengunjungi gereja komunalnya yang bernama Gereja Sanctuary of Mercy yang terletak di Borja, Zaragoza, Sepanyol. Suatu hari, dia terkerling sebuah fresko yang terpampang pada dinding gereja itu, dan berasa terkilan melihat keadaan karya Elias Garcia Martinez (1858-1934) yang merapuh dan terurai. Maka, Gimenez terpanggil untuk melakukan proses pemulihan terhadap lukisan itu. Di bawah adalah perbandingan fresco bernama 'Ecce Homo' itu dalam keadaan asal, semasa reput dan setelah di"pulih"kan oleh Gimenez. Bagaimana?


Mula-mula pihak berkuasa menganggap lukisan itu telah dirosakkan oleh pelaku vandalisme. Namun, ternyata ia di"rosak"kan oleh penduduk pekan itu sendiri, malah seorang yang selalu menekuni gereja. Apabila disemukai, dia mengatakan bahawa pihak gereja telah memberikannya kebenaran untuk menjalankan pemulihan itu. Dia berasakan bahawa tidak ada yang salah pada apa yang telah dia lakukan. Dia dikeji, hasil kerjanya itu tersebar di Internet sekitar Ogos 2012, menjadi antara topik memeologi (bidang kajian meme) terhangat pada tahun itu. Ini membawa kita berfikir: adakah tindakannya salah?

Kesan yang tak terdugakan

Saya rasa fresko ini nampak tulus :)

Sebelum kau membuat keputusan untuk mengutuknya, pertimbangkan ini: disebabkan "kesalahan"nya ini, pekannya mendapat jumlah pelancong yang berlipat kali ganda berbanding sebelumnya, hanya untuk bergambar di sisi fresko itu. Selain itu, tragedi ini telah berjaya mempopularkan Elias Garcia Martinez, yang sebelum ini namanya tak dikenali sangat pun dalam arena seni global. Yang lebih mengagumkan, dialah penyebab penyiasatan terhadap gerejanya berjalan, yang mana ini mendedahkan jenayah penggelapan duit yang telah dilakukan paderi gereja itu. "God works in a mysterious way," gurau seorang netizen.

Cecilia dan adik-beradiknya. Kau nampak lukisan-lukisan pada dinding itu? Itu hasil tangan Gimenez!

Bodegas Aragonesas, sebuah syarikat wain telah terinspirasi oleh "kesilapan" Gimenez ini, mereka
menghasilkan suatu produk wain yang memenangi anugerah perak dalam Mundus Vini Grand
International Wine Award Spring 2016.

Pada saya, keseluruhan insiden ini tidak patut dilihat dari segi humor dan kesensasian yang ia cetuskan. Benar, Gimenez ketika melakukan proses pemulihan itu seharusnya melakukan rujukan kepada waris Elias, atau siapa-siapapun yang lebih pakar. Namun, di sini terserlah sesuatu yang sangat manusiawi; keimanan. Apa maksud saya? Gimenez tak melakukan pemulihan itu melainkan atas dasar ingin menghindarikan pereputan daripada terus merosakkan karya ruhaniah itu. Dia tak terduga akan bayaran/populariti yang dia perolehi sekiranya berjaya. Gimenez adalah kita, pada saat keimanan kita dibalut kenaifan.

Saya mahu percaya, antara masa keimanan kita paling kukuh adalah ketika kita naif terhadap ketaatan sendiri. Kita fikir diri kita betul dan telah melakukan sesuatu yang diredhai Tuhan, akan tetapi manusia pula mempersendakan kita atas tindakan itu. Inilah nilai yang paling besar Gimenez telah sumbangkan kepada dunia (di samping pendapatan pelancongan dan pasaran dagangan meme Ecce Homo). Kini, setelah lapan tahun, fresko "buruk" Ecce Homo masih terpampang pada dinding Gereja Sanctuary of Mercy, di sebuah pekan kecil bernama Borja, Sepanyol dan terus mengundang pengunjung.

Elias menghasilkan Ecce Homo atas dasar keimanan; Gimenez memulihkannya atas dasar yang sama;
bukankah itu menjadikan mereka setanding?

Kata Doreen Carvajal, dalam rencananya mengenai insiden ini, "Sebuah pekan - kalau tidak pun sebuah lukisan - telah berjaya dipulihkan". Untuk itu, kudos, Nek Gimenez!

Comments

Popular Posts