Pikiran-pikiran Kecil

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


1. Mutual

Bagaimana pendapatmu, jika sebenarnya kita saling mendiam dan tak bertegur sapa, adalah kerana kita menghormati privasi masing-masing? Bagaimana jika sunyi yang merunut perbualan, sebenarnya suatu diktasi bahawa orang yang kita erat serta dampingi sejak dulu, sebetulnya meletakkan sepenuh kepercayaan yang kita bisa mandiri? Adakah diam itu, boleh dikira sebagai suatu suara? Ataukah bisu itu petanda matinya hubungan?

2. Azali

Kau tahu apa itu azali? Ia adalah suatu keadaan di mana sesuatu itu telak tertakdir sejak awal kewujudannya untuk bersifat dengan sifatnya. Dan dalam benak manusia ada suatu rasa yang azali, tak boleh dipangkas, ditebas, dihiris, dikikis, dibuang, ditanam atau diapapun. Ia akan terus hidup, bernafas dan tatkala menghantui meski dari latar belakang hidup yang sibuk lagi hiruk-pikuk. Tamsil: kerinduan yang dikongsi.


3. Desolasi

Orpheus itu, adalah dewa seni muzik. Petikan harpnya bisa menenangkan Cerberus, memujuk Hades dan Persephone sehingga mereka mengizinkan Orpheus untuk membawa isterinya Eurydice kembali dari alam barzakh. Namun cintanya yang bersangatan membuatkan dia lupa syarat diletakkan atas penyatuan mereka, maka kedua-duanya terpisah semula. Akhirnya, Orpheus berkabung sehingga mati, dan mereka bersatu semula.

Terkadang perpisahan kita bukan kerana ketiadaan rasa lagi. Terkadang, runtuhnya hubungan kerana rasa yang tak dipandu rasional, sehingga kita melakukan hal-hal yang salah. Kita selalu terkeliru dengan keinginan, sehingga apa yang betul-betul diperlukan terlerai dari pegangan. Benar, perasaan itu subjektif, namun sangkin subjektifnya itulah ia harus dikawal waras akal. Buat apa punya harp kalau dipetik ketika isteri sedang lena?

Kalau kau sudah tak boleh dipandu waras, berkorbanlah dengan berpisah.

4. Merosot

Perkara hanya mampu menjadi lebih baik dari sini. Kau gusar dengan persediaanmu hari ini, namun kau lupa untuk menikmati keselesaanmu hari ini (yang sebetulnya hasil usahamu kelmarin juga). Jadi, kalau hari ini medan hempas-pulas bagi hari kemudian, semalam bukanlah medan hempas-pulas semalam? Jadi, bila kita boleh rehat? Keselesaan ini memang sekadar untuk direnung dari jauh saja, kah? Tidak boleh dinikmati langsung?


Comments

Popular Posts