Jujur Itu Raksasa Emosi

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Kautahu, dalam fikiran saya ini, selalu terdetik - khususnya setelah selesai mendirikan solat - yang jika Tuhan memberikan kehidupan kedua (selepas pertama yang serba bersandiwara ini), saya berjanji akan hidup selaku seorang manusia yang jujur dan ikhlas. Sebanyak mana ia menyakitkan hati sendiri, saya sedar sandiwara yang saya pancarkan sebagai personaliti berjaya menyakitkan orang lain juga, apalagi yang rapat dan saya letak dekat dengan hati.

Kautahu, saya cemburu dengan orang yang punya kehidupan dan perangai yang boleh ditoleransi - atau, paling kurang pun, cocok - oleh tatapan masyarakat. Jujur dan ikhlas bagi mereka sangat mudah untuk dilakukan. Namun, orang seperti saya ini - aduh, maaf agak klise dan perasan special snowflake! - dua perkara ini bukan saja suatu cabaran yang sukar, terkadang ianya suatu masalah yang menjerumuskan kami ke kerunsingan yang membunuh.

Jujur punya syarat ketat

Tadah tanganmu; saya bakal menghamburkan "ilmu". Hahaha.

Definisi ortodoks dan klasik, kalau menurut Kamus Dewan itu adalah "lurus hati, tulus, ikhlas". Kalau pada saya, ianya adalah "berperasaan tanpa menyelindungkannya dengan niat berbeza". Panjang kata, kejujuran adalah sikap yang patuh pada perasaan sendiri, apalagi dalam mengekspresikannya. Lagi panjang kata, ia adalah tidak menyembunyikan perasaan/fikiran sebenar terhadap sesiapapun, walau dalam apapun jua keadaan.

Tapi kau dan saya tahu, dunia tidak beroperasi sebegitu. Masyarakat tidak berjalan dengan kejujuran semata-mata. Kalau semua orang jujur, maka kebencian sudah lama menghanguskan manusia. Sebabnya? Kita semua hidup dengan tujuan dan cara yang oh-hanya-Tuhan-Tahu berapa banyak. Setiap tujuan ada berjuta cara mencapainya, setiap cara ada berjuta tujuan boleh dipasangkan padanya. Di sinilah kita belajar untuk memendam, menyimpan dan meredam "diri sebenar" kita - Raksasa Emosi, label seorang ilmuwan.

Hooray! For all of us, liars and manipulators.

Saya fikir kau, dan semua orang tahu inilah hakikat toleransi. Saya fikir semua sudah faham benar,  bahawa setiap dada yang sedang kembang-kempis bernafas, menyembunyikan sesuatu yang sangat gelap dan busuk. Tapi kita tidak mendesak mereka memberanakkan semuanya kepada pengakuan, kerana berempati, kerana kita pun tidak mahu didesak untuk meluahkan semua yang kita genggam dengan jemari hati. Iya, inilah sandiwara manusia.

Tindakan telus ikhlas akan menjadi berlipat kali ganda lebih sukar apabila perasaan, fikiran dan diri kau tidak cocok dengan mentaliti masyarakat (sewaktu saya mula-mula mendengar lagu 'Ku Anta' beberapa tahun lepas, saya cuma tersenyum sini sendiri sambil berbisik "Haha, katakan itu kepada Hitler"). Untuk menepati citarasa masyarakat pun perlu bergelut, apalagi menentang standard itu demi berlaku jujur. Mereka akan memberantasmu.

Raksasa Emosi

Eee... buruknya ini kaiju. Kirara pula namanya tu, namanya comel.

Ada suatu episod dalam siri televisyen 'Ultraman Leo' yang mungkin boleh menerangkan hal ini (secara simbolik, kerana manusia sukakan simbolisme). Suatu hari, setelah 15 tahun Puteri Bulan bernama Kaguya berpindah ke planet Bumi, Kirara - seekor kaiju - menghendakinya pulang ke bulan. Kaguya menolak, setelah berasa damai di samping keluarga angkatnya di Bumi. Kirara apalagi, tanpa soal-soal, mengamuk dengan mencetuskan gempa bumi. Mula-mula Kaguya memilih untuk menyebelahi Leo, namun setelah pergelutan yang epik, akhirnya Kaguya pulang ke bulan bersama Kirara.

Maksud perlambangan ini, dalam kita berkeras menyatakan apa sebenarnya yang kita rasa/fikir, terkadang perasaan orang lain - dan, uhumm, masyarakat - adalah seperti Kaguya dan pekan kecilnya itu. Tanpa kita sedar, sejumlah kepercayaan dan perasaan akan terguris, sejumlah kepercayaan akan terguris. Ultraman Leo - akal-budi - akan berusaha mengekang hal itu. Leo menghalang Kirara adalah rasional menghalang kejujuran, ini poin yang saya cuba sampaikan. Sekarang, kau mahu Leo menang, atau Kirara menculik Kaguya pulang?

Kalau saya jujur, tahankah hatimu mendepani apa saja ia? Beginilah representasinya.

Pengumuman Am

Kalau kau tidak perasan, saya telah memutuskan hampir semua hubungan maya dengan hampir semua orang yang saya kenal melalui internet. Alasan saya pelbagai; untuk menghapuskan jejak elektronik (terpengaruh dengan beberapa siri pembongkaran jenayah siber)(mengaburi mata pihak berkuasa), untuk menyatakan bantahan terhadap Instagram dan Facebook yang sudah terang-terang menjadi jurubantu kempen Zionisme/Trumpisme, dan lebih utama, untuk memulihkan semula hubungan dengan orang terdekat.

Saya masih boleh dihubungi dengan nombor 011XXXXXXX itu. Jangan risau, kalau ada apa-apa, mesej saja ke nombor itu (atau e-mel: svenmedyona@gmail.com). Saya masih di sini, masih sedang membuat pertimbangan. Masih berharap ada kehidupan kedua di dalamnya kita boleh jujur-sejujur-jujurnya. Mudahan Kirara tidak perlu menggunakan kuasanya, lagi.

Ada masa, kita jumpa juga, okay?

Comments

Popular Posts