Hero Yang Pergi Terlalu Awal

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

           Apakah yang lebih hina;
          Untuk hidup dalam tipudaya
          Atau mati mengejar cahaya?


Kawan-kawan, hari ini saya mahu berkongsi serba sedikit mengenai perasaan saya terhadap seorang lelaki, yang pada saya, antara hero kembara yang harus dijulang. Malangnya, dia disyaki telah mati, hanyut dan tenggelam dalam sungai di Lembah Parvati, India. Kisah ini amat menyayat hati saya kerana dialah seorang pencari Hakikat dan Diri sejati - meskipun barangkali tak dia temukan apa yang dia cari, malah menemukan apa yang dia ingin jauhi.

Justin Alexander Shetler

Kalau kita diberi hidup sebaik Alexander, mampukah kita meninggalkan semuanya demi Kedamaian?

Sejak kecil, dia punya semangat kembara yang tinggi. Ibunya yang penyayang malah mengeluarkan dia dari persekolahan konvensional untuk menyertai sebuah sekolah kesedaran kehidupan liar. Membesar menjadi berbagai-bagai perkara; daripada menjadi tukang urut profesional, ahli teknik kecemasan dan bekerja di sebuah sekolah alternatif di Palo Alto, California. Malah, dia juga pernah menjadi vokalis sebuah band, ''PUNCHFACE' yang telah membuat persembahan sejauh Jepun. Akhirnya, dia bekerjasama dengan seorang rakan, memulakan bisnes teknologi mewah, yang membolehkannya untuk hidup kaya-raya dan mendapatkan hampir apa saja. Dunia dalam tangan Alexander.

Namun, lama-kelamaan, dia berasa kosong. Lohong dalam dirinya tidak dapat ditutup oleh apapun kejayaan dan kekayaan yang telah dia capai selama ini. Pada Disember 2013, dia mengumumkan untuk bersara. Dalam blognya, dia mengadu, "I am running from a life that isn't authentic...", lantas memulai pengembaraan dua tahun setengah ke seluruh pelosok dunia; dari Amerika Utara, ke Indonesia, Filipina, Thailand dan merentasi Amerika dengan motorsikalnya. Dua tahun itu, dia mengumpul pengalaman juga sahabat, nilai dan erti kehidupan, maksud bahagia di luar rangka sekular dan kemodenan. Dia 'hidup'.

Pengkhianatan?

Sat Narayan Rawat, sadhu yang penuh keraguan... kenapa, Baba, kenapa? :(

Pencariannya itu akhirnya membawa dia ke Himalaya, tempat di mana manusia dari serata dunia - khususnya dari Barat - mencari ketenangan hidup. Dia berteman dengan sesiapapun yang dia jumpa, selalu merendah diri yang akhirnya membuatkan dia tampak tinggi pada mata orang yang disapanya. Pada Ogos 2016, dia berkenalan dengan seorang sadhu - golongan yang meniru carahidup Shiva, salah-satu dewa dalam pantheon Hindu - yang padanya murni dan kudus. Walaupun diberi amaran oleh Gapon, kawannya yang berbangsa Rusia, yang turut berkelana di Himalaya, dia tetap mahu mengikutinya.

Sadhu itu, yang bernama Sat Narayan Rawat, dikenali orang sekeliling sebagai bukan sadhu sejati, namun yang berniat bisnes dan disyaki mencuri pengunjung dan menipu mereka. Pun, Alexander melihatnya sebagai seorang yang boleh dipercayai dan harus diikuti. Maka, seusai pelukan rakannya Gapon, Alexander memulakan eksodus bersama Rawat ke Tasik Mantalai untuk dimentor oleh Rawat dalam menjalani hidup seperti Yogi Pertama - Shiva - dan mencapai pencerahan mutlak. Tidak lama kemudian, Alexander dilaporkan hilang.

Altar yang didirikan oleh keluarga Alexander untuk memperingatinya.

Ramai mengagak -  termasuklah ibu Alexander sendiri - yang Rawat bertanggungjawab atas kehilangan anaknya itu. Di samping kenyataannya yang selalu berubah-ubah, tindakannya membunuh diri sewaktu dalam tahanan membuatkan orang bertambah syak kepadanya. Mana tidaknya, sewaktu berhadapan kawan Alexander bernama Christofer Lee, dia menuduh Alexander gila kerana meninggalkannya setelah bertemu dengan beberapa orang pengembara lain untuk mendaki lebih tinggi. Sampai kini, kehilangan Alexander tak terungkai, dan mayatnya masih belum ditemukan, meskipun dengan pencarian yang tekun.

Cerita lebih lengkap Alexander boleh dibaca di sini. Luahan perasaan dan pengakuan ibunya, Suzie berkenaan misi pencarian mereka yang buntu boleh dibaca di sini. Saya beri amaran, ia adalah kisah yang amat menyedihkan. Tidak tahu kenapa ia menghibakan saya, seperti kehilangan teman rapat. Apapun, semoga Alexander, telah menemukan apa yang dia cari-cari selama ini. Doakan saya juga untuk menemukan apa yang saya cari.

Hidup = Kembara


Kisah hidup Alexander mungkin pilu. Bayangkan, kau meletakkan sepenuh kepercayaan kepada seseorang untuk membimbingmu ke arah pencerahan, hanya untuk dikhianati oleh orang itu. Bukanlah saya katakan Rawat yang membunuh Alexander, namun tindak-tanduknya selepas insiden kehilangan Alexander, bagi saya, merupakan suatu bentuk pencabulan amanat. Kenapa tak dia laporkan kehilangan Alexander sejurus insiden itu? Kenapa kenyataannya berubah-ubah? Kenapa menohmah dia gila? Banyak lagi persoalan lain yang sepatutnya boleh diajukan kepada Rawat. Namun, malangnya, jawapan kepada soalan-soalan itu, telah Rawat bawa ke kubur (juga Alexander, ke persemadian airnya).

Iya, saya ulang, kisah hidup Alexander amat pilu. Namun hidupnya yang pendek itu jauh lebih bermakna berbanding hidup sebahagian kita yang panjang dan selesa. Dia tak lagi terdiktasi oleh kekayaan materi, tak lagi tergoda oleh kejayaan dunia (Buddhisme memanggilnya 'seruan Maya'), apalagi oleh tuntutan nafsu haiwani seperti makanan dan wanita. Dia hidup seadanya, namun sepenuhnya. Matinya mungkin atas pengkhianatan, namun setidaknya pada cara yang dia firasatkan, malah mungkin amat dia inginkan.

What a place to finally rest :(

Pada saya, kalau ada yang boleh kita pelajari daripada riwayat Justin Alexander Shetler, ia adalah untuk menjadi hero kepada hidup kita. Mendiang juga mengajar kita untuk saling membantu, merendah diri dan menyahut seruan Kebenaran. Ramai mengenali beliau sebagai inspirasi untuk mencari kembara sendiri, lantas makna hidup, yang mana ini telah menyelamatkan mereka daripada rutin hidup yang mendera lagi memperhamba.

Setelah saya meneliti artikel-artikel, video-video dan rakaman-rakaman suara berkenaan lelaki majestik ini, saya berkongsi perasaan dengan Lee, kawan Alexander; bahawa dia masih hidup, berkelana di Himalaya, masih mencari kedamaian abadi, seperti seorang yogi. Barangkali suatu hari nanti, dia akan melangkah keluar dari hutan tebal dan dingin di Lembah Parvati, seraya mengemaskini Instagramnya, menyatakan bahawa dia selamat dan telah menyatu dengan Kesejatian. Barangkali jua, dia telah menemukan apa yang dia cari-cari, dan tak lagi mahu berpisah dari perkara itu dengan kembali ke dunia moden.

Justin Alexander Shetler adalah penjasadan kembara, pencarian dan kehilangan - dari seorang yang berjaya dan hidup kaya-raya, kepada seorang yang hidup sederhana namun puas. Ini adalah ode lambat empat tahun buat Alexander, manusia yang tak mungkin saya dapat jadi, namun akan selalu anggap seorang hero yang berani, dan hidup-mati dengan termanya sendiri. Bersemadilah dengan aman, perwira :)

Coretan Alexander sewaktu kecil

Comments

Popular Posts