25% Bersedia, 75% Esok Lusa

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Setelah hampir tiga bulan terperuk di kampung halaman, dalam rumah sendiri, akhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilonggarkan kepada Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP). Apa maksudnya? Maksudnya, kebanyakan penjawat awam dikehendaki untuk bersedia bagi memulakan semula tugasan mereka yang lama tergendala. Saya, selaku seorang guru, tidak terkecuali daripada implikasi polisi ini. Setiap hari, rasa bersalah makin menebal, duduk rumah saja :D

Jadi, sejak kelmarin, saya telah memulakan perjalanan kembali ke stesen bertugas - tempat saya mengajar - iaitu di SK Cenderawasih, Lahad Datu. Sejujurnya, memandu jauh serasa agak canggung (sudah berbulan-bulan tidak menyetir kereta sejauh ini), dan hati penuh dengan berbagai-bagai kecurigaan (sampai termimpi-mimpi). Pun, saya selamat menamatkan perjalanan. Terdapat tiga hentian jalanraya terpaksa saya lepasi, syukur semuanya lancar. Sambil melimpasi kanopi yang didirikan para petugas keselamatan, saya rasa amat terhutang budi kepada mereka. Semoga Tuhan membalas setimpal-timpalnya.

Tiga bulan ditinggalkan; apa jadi?

Sudah lebih tiga tahun duduk sini. Ada antara hari-hari PKP, saya merindui juga rumah ini.

Rumah yang kami diami kelihatan sangat semak! Rumput tumbuh tinggi dan tebal, malah ada yang menjalar memenuhi jerigi jendela dan melata pada dinding. Saya hanya mampu menggeleng kepala melihat keadaan rumah sewa yang sangat banyak perlu dibereskan. Sesawang labah-labah menghias penjuru siling, debu tebal pada lantai dan barang-barang yang terdedah. Di dapur, terdapat kerak tanah/lumpur yang entah dari mana datangnya (saya syak pernah berlaku hujan lebat sehingga melimpah ke dapur). Lampu luar dan bilik air tidak menyala bilamana diketik suisnya, dan menambah berat lagi, bekalan air terputus.

Apa-apaan ini hahaha.

Di bilik tidur, tilam lapan inci tebal yang dikurniakan oleh pihak Felda kelihatan sangat berhabuk dan dipenuhi hama (kau tahukan, bau hama, yang hapak lagi mengecurkan bersin). Buku-buku saya semuanya berdebu, ada yang menguning. Berbalik kepada tilam; alangkah terperanjatnya saya -  sebaik saja saya merentap cadarnya yang kotor dan mahu menterbalikkan tilam itu - ribuan semut dan anak-anak lipas bertempiaran memenuhi lantai. Perasaan geli dan jijik menyebabkan saya kelam-kabut lari ke ruang tamu.

Nampak ini, ringan saja tangan merentapnya.

Pening! Tapi selesai 25%

Melihat keadaan rumah, saya pusing mahu mula dari mana. Saya meninjau sekali lagi status setiap ruang, duduk termangu di ruang tamu, berfikir panjang sambil melayan YouTube. Setelah lama mempertimbangkan, saya memulai dengan membersihkan mesin basuh, dan membasuh cadar tilam, tuala dan pakaian terpakai. Kemudian saya membinasakan koloni semut yang bertempat di bawah tilam tadi, hanya dengan penyapu dan penyodok debu. Debu pada perabot dan buku, saya lap, sampah-sarap saya hamburkan di luar rumah (untuk diuruskan di lain hari). Lantai dimop dengan sabun, barang baru dipunggah masuk.

Pintu dapur dicerobohi fauna.

Ada banyak lagi yang perlu diusaikan. Lantai dapur masih berkerak. Lampu belum berganti. Ruang tamu baru separuh berjaya diuruskan. Saya berhenti bukan kerana penat, namun memikirkan saya berpuasa hari ini, maka saya jedakan dulu kerja pemulihan kediaman kami. Sepanjang baki hari menunggu Maghrib, saya bermalasan di atas tilam yang sudah saya pasangkan cadar yang bersih, melayari internet dan bermain PUBG. Kemudian, diiringi hujan dan kelam mendung, saya terlena. Seronok sebenarnya tidur sangkin penat ini.

Abaikan botol-botol. paket rempah dan kotak telur. Kami pulang tempoh hari tergesa-gesa.

Esok mungkin lusa saya akan menyambung pembersihan tertunda ini. Oh iya, petang tadi mencari makanan untuk dibuat sungkai, sengaja saya memandu limpas rumah murid kesayangan saya, ternyata mereka sudah ada di rumah (kereta ibunya bersidai di depan rumah). Saya menurunkan tingkap, memanjang-manjangkan leher mencari kelibatnya yang biasanya petang-petang begini bermain di siring parit jalan. Tiada. Bila saya fikir semula, serupa penghendap pula. Terus mengambil selekoh kiri ke pekan kecil Cenderawasih. Saya berdoa agar cepat-cepat dapat ketemu dengan murid-murid. Kangen, kata orang Indonesia.

Hari ini Malaysia mencatatkan hanya tujuh kes baharu. Lega. Semoga kita pulih sepenuhnya.

Comments

Popular Posts