Langgar Perlahan-lahan, Sampai Kenal

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

'Canggung' lebih dikenal dalam masyarakat kita dengan istilah 'awkward'. Ia adalah keadaan di mana kita berasa kurang selesa, bukan atas dasar teknikal, tetapi atas dasar ketidaksamaan minat dan kecenderungan. Ia perasaan aneh yang kadang-kadang mematikan butir bicara dan punca berbual, sehingga terkadang kita cuba melarikan daripada perasaan itu, biarpun ia tidak membawa apa-apa ancaman bahaya yang ketara.

Adakah ianya tidak bagus?


Ada satu kajian yang dilakukan di Universiti Oxford yang hasilnya menyatakan bahawa orang yang canggung (secara sosial) adalah daripada jenis orang fokus. Mereka lebih suka mencerakinkan sesuatu perkara, menelitinya secara obsesif lalu meletakkan semula bahagian-bahagian tersebut dalam cara yang baharu. Terdapat juga kajian yang membuktikan bahawa minat unik yang ketara lebih banyak dimilki oleh golongan ini.

Mungkin sesetengah orang kerap berasa canggung kerana mereka tidak yakin bahawa orang lain mempercayai mereka (dan bakat yang mereka ada). 'Tidak percaya' di sini bukan bermaksud secara negatif, melainkan kerana mereka tahu orang lain 'belum cukup kenal latar belakang serta sejarah mereka'. Dari sini, juga bisa difahami yang mereka sebenarnya bukan bersangka buruk, namun cuba memahami orang lain (biarpun caranya aneh).

Sesetengah orang menggelar ini 'strawman's social cue'; pendekatan [anti]sosial dalam bergaul. Mungkin pada golongan canggung ini cara mereka betul atau tepat, namun pada orang lain (apatah lagi yang cuba memahami mereka), ia tindakan yang berniat membentuk benteng sosial. Pandangan kedua-dua pihak memang betul dan seharusnya boleh difahami, tiada yang lebih betul dan lebih salah. Oleh itu, penting untuk kita melonggarkan pentafsiran sosial kita terhadap orang lain, dan pentafsiran orang lain terhadap kita.

Sekarang, bergerak kepada hal lebih subjektif


Dalam ramai-ramai kenalan kita, mustahil tiada yang tidak bersifat canggung. Paling kurang, pasti ada satu orang yang kelihatan tersisih dan berbeza daripada yang lain. Penyataan normatif ini, sekali lagi, bukanlah penilaian baik-buruk seseorang. Ia hanyalah penyataan deskriptif mengenai seseorang, seperti menyatakan seseorang itu ketawa kerana dia berasa lucu. Kepada golongan begini, pendekatan diskriminatif (sikap membeza-beza kerana sikap berbeza-beza) boleh jadi salah dan boleh jadi betul; terpulang kepada situasi terlibat.

Bilamana menggunakan perkataan 'terpulang' pula, kita sedang meletakkan segala-galanya dalam pertaruhan; makna kata, tidak dapat dipastikan sama ada tindakan yang akan diambil betul atau tidak. Barangkali ianya betul untuk kita dan tidak sesuai untuk mereka, atau ianya cocok untuk mereka namun tidak pantas untuk kita. Baru-baru ini, saya tanpa sengaja mengikuti sebuah kelas informal berkenaan melanggar benteng antara canggung-tidak canggung ini. Kelas murah-murah saja, dalam bilik saya sendiri, mengenai saya juga.

Jujur


Kalau ada suatu konteks yang mana pihak canggung-tidak canggung dalam berdamai, ia adalah dalam keadaan di mana kedua-duanya mengorbankan sesuatu daripada diri mereka (atau, lebih sopan lagi, keadaan mereka saling menunjukkan kelemahan): berlaku jujur. Dalam situasi ini, golongan prososial terpaksa mempertaruh imej mereka, manakala golongan canggung terpaksa memperjudi zon selesa yang di dalamnya berlaku operasi bakat dan fokus mereka. Keadaan 'win-win'/'lose-lose' ini memberi keadilan buat semua.

Memang mula-mula kita akan berasa tidak selesa, berasa -- canggung -- terhadap diri-sendiri dan orang lain. Tetapi, bila kita sedar jiwa kita sedang bertelanjang dan begitu jua jiwa mereka, kita akan menghargai saat itu dengan menyatakan kebenaran saja, kerana apapun yang kita perkatakan pada ketika itu adalah perwakilan kepada jiwa yang sedang terlondeh pakaiannya itu. Langgarlah benteng itu, biar perlahan-lahan, sampai kenal.

Comments

Popular Posts