Jangan Gali Semula, Tapi Pacakkanlah Nisan!

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Selalu dalam hidup, kita bertembung dengan suatu peringatan yang akhirnya membuatkan kita pilu dengan "keberadaan" kita sekarang ini. Tidak kisahlah dalam bentuk apa peringatan itu -- kepingan gambar, masukan blog, tiket-tiket wayang yang terkumpul -- ia menjadi seakan batu nisan bagi perkuburan dirimu yang lalu, yang kaubunuh dengan kerjaya dan kedewasaan, kemudian kausiram dengan cita-cita yang lebih besar dan jauh ke depan.

Patutkah kita bersedih?

Tidak.


Bahkan kita patut meraikannya kerana ia pernah hidup dalam diri kita (atau kita hidup di dalamnya). Pengalaman menjadi kanak-kanak dan remaja sememangnya indah tapi fikiran semacam itu hanya timbul setelah kita membandingkannya dengan realiti hidup kini. Pada saya, memori harus dihormati dengan menciptakan lebih banyak lagi. Bila kita berhenti -- maksud saya, bila kita putus asa untuk hidup dengan kembara, pembaharuan dan gemuruh -- masa itulah kita sedang menyimbah minyak hitam ke pusara masa lalu. Ekstrim pula~


Dalam semua kejadian yang telah berlaku, pastilah ada yang perit. Tetapi, yang perit itu tidak kita ceritakan kepada awam; kita perihalkan yang indah-indah saja. Perit itu hanya singgah untuk meninggalkan nama kepada keindahan itu, lebih kurang tukang letak judul untuk sebuah wayang. Nama itu adalah 'Pelajaran' atau 'Teladan', dan kalau kita mahu, bila-bila masa saja kita boleh keluarkan daripada lipatan kenangan.

Justeru, saya sedang berfikir untuk aktif semula dalam penulisan blog (-blog) saya, blog ini dan blog bergambar saya, khususnya. Mudah-mudahan ianya menjadi projek yang tiada orang kesalkan, apalag saya yang mulai merindui saat-saat di mana saya boleh membebel kepada audiens yang tidak mendengar serta pembaca yang tidak betah singgah, duduk lama-lama. Mudah-mudahan juga, jualan buku saya laris, lalu memanfaati ramai orang.


Sampai ketemu :)

Comments

Popular Posts