Lelaki Yang Lebih Baik

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Saya sangat tersentuh. Saya cuba mencuri pandangan, tapi saya tak berani. Bukan sebab takut kepadanya, tapi kerana saya segan. Hendak menjadi sepertinya bukan jihad main-main. Balik ke maktab, saya bincangkan hal berkenaan dia dengan Arif. Kami berdua sepakat, yang dia lebih baik daripada lelaki biasa yang (kononnya) berbadan atlit dengan rutin lima kali seminggu ke gimnasium.

Ingat semula

Memandangkan jarum jam sudah melepasi waktu Zuhur, maka sebelum kami bermain ice skating, saya dan Arif yang sudah kenyang menyumbat Carl’s Jr. mengambil keputusan untuk menunaikan solat terlebih dahulu. Agak pening jugalah simpang-siur Sunway Pyramid, dengan orang ramai yang sekejap ke kiri dan sekejap ke kanan. Saya rasa, patut buat lampu trafik manusialah di sini.

Selesai ketemu musollanya, saya melompat daripada capal dan terus berwuduk. Meletakkan beg di sebuah meja putih supaya mudah berwuduk, tidaklah basah begnya. Sambil-sambil menyiram tangan ke siku, mata berulang-kali menjeling beg. Takut dilarikan orang. Ada jugak yang mati kalau itu berlaku. Solat berimamkan Arif seperti biasa. Usai solat, jadilah hal tersebut.

Tidak jauh dari tempat saya bersimpuh, ada seorang lelaki yang betul-betul kelihatan seperti wanita. Dengan mekapnya, dengan lentikan tangannya yang mengangkat takbir, dan bajunya yang agak ketat, saya mula-mula ingatkan dia tersalah tempat bersolat. Tapi ramai lelaki kot di situ, masakan silap. Kalau pun dia tersalah, dan dia wanita, mana baju yang sepatutnya menutup aurat untuk solat?

Kemudian, saya cepat-cepat berdiri dan berkemas di depan cermin yang kebetulan berhadapan dengannya yang kelihatan khusyuk bersemuka dengan Tuhan. Saya cuba mencuri pandang, menyerap kekaguman dan saya keluar dari bilik tersebut dengan hati yang mekar. Malu campur terharu campur gembira campur kagum (paling besar).

Saya berfikir panjang mengenai ‘lelaki istimewa’ ini. Mungkin di luar sana, dia dihina dan dicerca. Namun siapa tahu di dalamnya dia sedang bermati-matian berjuang melawan deruan hormon berlebihan? Siapa fikir dia sedang memperbaiki masa silamnya? Siapa yang mungkin dapat meneka derita setiap hari yang terpaksa ia hadapi yang masyarakat lemparkan tanpa usul periksa?

Ramai lelaki di luar sana, pada ketika itu, dengan dada bidang dan lengan besar sedang mensia-siakan bahkan meninggalkan solat. Mereka ini di sisi masyarakat, dilihat sebagai lebih jantan. Akan tetapi di suatu sudut kompleks beli-belah, sedang menadah tangan memohon keampunan Tuhan atas pilihan lampau dan harapan untuk disembuhkan, seorang ‘lelaki sejati’ dihinakan.

Comments

Popular Posts