Mungkin Sedikit, Tetapi Tidaklah Sebetulnya

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Jujur saya katakan, kematangan dalam berkomunikasi, saya selalu sandarkan pada persoalan: kepada siapa saya bercakap? Saya akan pastikan luhur budi yang saya gunakan, di samping darjah ketegasan berpatutan dengan personaliti yang sedang menghadap saya. Namun sebagai penderita introvert, dalam kebanyakan senario, apatah lagi berhadap semuka dengan orang asing, saya diam.

Kadang-kadang, saya cuba menjadi pseudo-intelektualis; membincangkan hal-hal pengetahuan yang sebelum ini, tidak pernah saya kisah. Menuruni lembah keilmuan untuk mengecap sesaat rasa bahagia memiliki ilmu sendat di dada. Sebagaimana pantas impian itu datang, sebegitu pantas jugalah ia bergulung dengan kabus malam, naik ke bintang.

Kadang-kadang, saya sekadar melayan rasa tidak enak dengan menaip apa saja yang saya suka. Bila jiwa sudah tenteram, sedih sudah hilang, saya bangkit dari perdudukan menyapu punggung, dan melihat bekas badan ini pada pasir tempat saya berbaring tadi. Lalu mempersoalkan apakah benar posisi tidur saya begini dan begitu.

David H. Thoreau pernah menyebut, dunia ini indah buat yang tahu memberikan ia penerangan yang indah serta puitis. Thoreau mungkin tidak melihat bahawa gemaan suaranya, hampir tiga ratus tahun kemudian, menggempa jiwa kecil seorang anak Borneo. Bersipongang, masih.

Mari lupakan Thoreau dan menjungkit pula ideologi Taylor Dundler. Katanya, setelah kita hilang segala-galanya, barulah bebas. Mungkin kerana dia nihilis sejati, 'tidak mempunyai apa-apa' itu seakan-akan kembali kepada fitrah. El Ferdowsi yang ajarkan saya kalimah-kalimahnya. Kesannya 'tiada' dan itu adalah afirmasi sebahagian mesejnya.

Bila saya mencerna bait-bait perkataan manusia dan menggubah ia jadi sesuatu yang orang boleh berikan saya kredit untuknya, hati saya berbunyi "Yassin, kau serius. Kau sudah tua". Entahlah sama ada kerana selalu disamakan 'falsafah' dengan imej 'seorang lelaki berjanggut menggenggam segulung skrol tua', atau hakikatnya saya sudah tua, saya sendiri berteka-teki.

Namun, di atas segala keindahan ini, saya katakan bahawa saya mungkin sudah tua sedikit, tetapi tidaklah sebetulnya. Tua dan muda itu kan, ayat Allah, seperti malam dan siang. Tidak kiralah sekuat mana perasaan agape kau kepada Tuhan, kita semakin tua.

Comments

Popular Posts