Sedikit Drama

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Saya tidak melepaskan pandangan mata dari terus melihatnya. Biarlah dia tidak selesa, memang itu tujuan saya, supaya dia akur dengan permintaan saya utuk berkongsi kisahnya. Namanya Nushrunah; gempal sedikit, kulit Melayu dan suka tersengih. Bahkan penidakannya terhadap pelawaan saya pun, dia buat dengan sengih yang menampakkan barisan gigi yang sebahagiannya coklat diresami pengambilan makanan bergula yang banyak.

Saya menyapu-nyapu bangku di sebelah saya, sekali lagi, mempelawanya untuk duduk. 

"Cikgu janji cikgu nda* rakam"

Tersengih. Di balik tiang pondok cendawan di bawah tempat kami beristirehat, dia berusaha menyembunyikan wajahnya. Inferensku, dia minta diberi perhatian kerana jika tidak, kenapa dia tidak mikut serta saja kawannya yang lain yang sedang bersukan.

"Kamu mau jadi apa, Nushruna?"

"Ndatau~"

"Hah!? Masak kamu ndatau mau jadi apa besar?"

Dia tunduk dalam sengih. Lagi. Mukanya saling tak tumpah dengan rakan saya dahulu di Tuaran, Amy namanya. Kalau tidak silap saya, Amy anak guru sains dan kami jarang bersuara secara berhadapan kerana sudah kecil-kecil begitu saya sudah berjaya nampak sempadan kaya-miskin dalam masharakat. Saya yang miskin, dia yang kaya; seperti minyak dan air. Saya tidak nampak bayang-bayang Amy dalam Nushruna, mungkin kerana dia pun miskin.

Dia akhirnya akur duduk di sebelah saya, tertarik mungkin dengan topik yang saya utarakan. Tapi apapun sebabnya, dia yang masih tersengih sudah mahu bergaul (selesa) dengan saya. Sebagai seorang humanis setahun jagung, ianya pencapaian yang besar.

"Nushruna, kamu minat apa?"

"Sains"

"Oh... kamu ganti cikgulah nanti, boleh? Jadi cikgu sains,"

"Ndatau!"

"Eh, kamu minat sains, kan?"

Anggukannya entah yang keberapa. Adakah dia faham kesan tindakannya terhadap pemahaman saya, atau dia buat begitu untuk mengelirukan saya, atau benda itu memang fitrah--manusia suka mengangguk--saya tidak tahu. Sambung bertanya,

"Kamu minat sains, kan?"

"Saya mahu jadi doktor!"

"Ohh..."

"...." (sedang merenung tangannya sendiri yang diregang-regangnya)

"Dr Nushruna. Hmmmm... Nushruna, nda kisahlah kamu mahu jadi apa, jadilah. Yang penting baik-baik. Kalau kamu minat jadi saintis, maka jadi saintis. Jangan dengar apa orang lain kata. Kalau kawan kamu suruh kamu jadi model, kamu nda minat; jangan jadi! Jadi saintis, boleh?"

Kalaulah saya boleh kepilkan betapa bersinarnya wajah dia selepas itu. Harapnya nasihat itu masuk.

Comments

Popular Posts