Seorang Lelaki Bersiar-siar Di Sandakan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Baru pulang dari Sandakan. Perjalanan dari sana ke sini - Felda Sahabat 7, Cenderawasih - mengambil masa selama lebih kurang lapan jam. Kalau jenis jalan terus tanpa singgah-singgah, pastilah lima jam sudah mencukupi. Tapi, kami jalan berkawan-kawan, maka di sepanjang perjalanan, berhenti minum serta mendapatkan kelegaan dari gerai makanan tepi jalan bukan hal abnormal. Kami berlapan, disertai beberapa orang kenalan lain yang kebetulan berada di sana. Pos ini bukan tentang tentatif sepanjang kami di sana.

Berjalan kerana haus


Sebetulnya, sebelum ke sana, ibu bertanya apa saya balik ke Tawau atau tidak. Saya nyatakan hasrat untuk menyertai rakan serumah (dan setugas) ke Sandakan. Ibu memberi izin. Tiada apa-apa hasrat khusus yang saya pasang sebelum perjalanan bermula, hanya cuma saya berharap agar dapatlah sedikit daripada kehausan kepada pengembaraan terhapus. Yang nyata, apapun jemputan berjalan-jalan saya akan terima kala ini, kerana saya adalah lelaki yang mencari keping-keping dirinya di merata-rata.


Di sana, saya berasa amat canggung. Pertama, saya lupa membawa jurnal kembara saya. Biasanya, kalau malam mengantuk tidak datang, jurnal berkulit tebal itulah tempat menulis perasaan. Kedua, tidak banyak sangat yang boleh dibuat daerah tersebut, melainkan menonton wayang dan membeli-belah (dengan senarai kedai tekstil yang amat pendek). Saya iyakan komen seorang kawan; tiada apa yang seronok di sana.

Sampailah ilham berkunjung


Antara kalangan pengembara SK Cenderawasih adalah dua orang lepasan IPG Tawau. Kebetulan kawan-kawan se-IPG dekat dan sudi turut serta, maka mereka berkumpul sama-sama. Kemuncaknya di Pasar Malam Sim-Sim, di mana saya menikmati antara air batu campur (ABC) paling sedap pernah saya rasa. Di sana, mereka berkongsi cerita yang lama disimpan sendirian. Dekahan mereka tidak pernah putus, bersambung-sambung seperti rezeki Laut Sulawesi kepada Sandakan. Saya hanya boleh tumpang ketawa.

Dan dari situ saya sedar, sebenarnya, ini bukanlah bandar hiburan. Melihat perkumpulan semula mereka, saya membuat kesimpulan bahawa di sini adalah bandar untuk menautkan apa yang telah putus. Iya, ini adalah Bandar Persahabatan. Bermula dari kesedaran itu mata saya menjadi terang semula; keluarga yang menikmati makan semeja, rakan-rakan segenre (punk, rock, emo) yang duduk berbincang hal-hal negara, kawan sejawatan yang berbual dengan rokok di hujung jari... semuanya menjadi seterang siang.


Saya, seorang lelaki bersiar-siar di Sandakan, yang tidak mengharapkan apa-apa, dinampakkan perkara itu, pantas saya berasa sunyi dan suram pula. Baru sepuluh bulan bekerja, perhubungan dengan kawan-kawan semaktab sudah lerai amat pantas. Saya tidak pandai menjaga rukun itu, dan sepi di Sandakan - Bandar Persahabatan - adalah harga mahal yang terpaksa dibayar. Yang saya terkilan, tidak membawa jurnal catatan.

Comments

Popular Posts