Dunia Yang Lebih Baik

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Di dunia ini, di mana kau letakkan perasaan? Salahkah kalau kau biarkan ia berjemur di tengah padang, di bawah pancaran terik matahari? Salahkah kalau ia kau hanyutkan ke sungai-sungai kampung halaman? Atau adakah kau baja ia dalam dada sampai ia merimbun seperti kebun subur? Aku, aku gantungkan dalam rongga tubuh kurusku.

Untuk membahagiakan dunia, cara kita berperasaan sangat memberi kesan, atau sekurang-kurangnya dunia orang yang engkau cintai. Kau paparkan ia dalam pelbagai cara dan bentuk. Ada menggantung ia di pintu depan rumah, meraikan yang datang sebagai pembawa rahmat Tuhan. Ada mengadun ia menjadi biskut rangup, menjemput sesiapapun untuk sama merasa. Ada mengandungkan ia sembilan bulan dalam perut.

Dunia yang lebih baik ertinya merimbunkan lebih banyak peluang kepada kesejahteraan. Kerana inilah, meskipun dengan kebebasan maksima, mereka di Barat seolah-olah masih tercari-cari maksud moral dan identiti. Tidak semua berpeluang mengecap kesejahteraan, dek pelbagai stigma dan penakut-nakutan. Menghukum jadi kerja nombor dua, semua tidak lagi dipandang atas dasar cinta, prihatin, risau, namun iri benci.

Dunia lebih baik


Dunia lebih baik adalah yang melepasi darjat dan garis wilayah negara. Di dalam dunia ini, warganya saling menyayangi meskipun tidak saling mengenali, kerana fakta bahawa mereka dari Bapa yang sama saja sudah cukup mengharmonikan. Tidak mereka kepingin kepada alasan untuk bertelagah, bahkan hal ini mereka diamkan saja. Dunia seindah ini, meskipun agak mustahil, tidak salah untuk diimpi dan dilaburkan dengan sehabis usaha.

Bukanlah dunia yang lebih baik jika kekayaan buminya semakin banyak ditemukan. Tidak semestinya suatu dunia itu lebih mulia andai kemajuan mampu membawa manusia lebih jauh ke tengah-tengah kegelapan cakerawala. Bangunan yang tinggi-tinggi, pengangkutan yang moden dan taraf pendidikan yang melonjak mutu hanya minimal jika hendak dibandingkan dengan nilai kemanusiaan. Kekayaan sebenar adalah sebanyak mana kita memberi. Kerana inilah berani saya mengatakan, dunia kini semakin miskin.

Peperangan dunia yang seterusnya semakin jelas di depan mata. Liberalisme telah menjambatani fitnah dan propaganda, lantas mengapikan permusuhan dan penstigmaan. Harapan sains tak berTuhan agar mengetepikan nurani telah mengeringkan sumur kebaikan kita. Semuanya dipandang objektif dan halal, asal saja ada penjelasan saintifik. Etika adalah perihal lampau. Sekarang ini, kerana etika sahaja, perang dunia semakin tidak mustahil. Pesalahnya liberalisme buta yang memandang suram peranan perasaan.

Perasaan? Nanti tidak objektiflah penilaian!

Saya hairan kenapa puak Barat belum perasan, wujud suatu korelasi antara sentimen anti-agama dan kebobrokan struktur sosiobudaya mereka. Bukanlah saya mengatakan pihak ekstremis sedang melakukan peranan yang penting, yang saya katakan, pasti ada hubungkait non-substantif antara sentimen anti-agama mereka dengan derita paranoia yang perlu mereka lalui saban hari. Misalnya: tidakkah sikap sedemikian membentuk polarisasi inter-massa yang akhirnya membentuk landskap ideal dalam membunuh kepercayaan dua-dua kutub? Dua monyet bergaduh, tandan pisang dibawa lari mawas.

Bila kita menilai dengan pertimbangan perasaan, kita akan lebih cenderung untuk bersikap terbuka. Untuk percaya para penganut Agama X tidaklah sama semuanya. Untuk kita tidak bersikap memilih dalam mengasihani dan mendoakan semua mangsa perang. Supaya mata ini menangis untuk Syrian sebagaimana ia menangis untuk korban tragedi Nice, Perancis. Kalau kita menggunakan akal sepenuhnya, akal akan membuat pertimbangan gopoh walaupun kekurangan maklumat. Ditambah lagi dengan teknologi yang semakin berkembang pesat, apa-apa saja harus dianalisis, bukan dibuat pertimbangan untuk simpan atau siar. Kerana itulah, di mata milenial semuanya salah.

Jum, kita mulai memakai perasaan dalam membuat pertimbangan. Dari perasaan timbul simpati, terhapus prejudisme, terbit kasih-sayang. Bukan dikatakan harus diketepikan akal sepenuhnya, namun adalah lebih baik jika akal dan perasaan duduk semeja. Kan?

Comments

Popular Posts