Kecilnya Dunia, Besarnya Harapan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


"Kau buat sehabis baik, janganlah berharap kesukaan dunia akan bertambah kepadamu. Boleh saja itu jadi sebab untuk mereka mendengkimu, mencemburuimu bahkan menaruh dendam terhadapmu. Kerana itulah, aku selalu mengingatkan, bahawa apa yang orang perkatakan mengenaimu harus kau asingkan dari apa yang sebenarnya engkau mahu lakukan. Di sekolah ini, buatlah untuk Tuhan dan untuk budak-budakmu."

- Monolog Guru Muda, 201x

Dunia ini besar pada mata kepala, namun sangat kecil pada mata hati yang memerhati. Dunia ini dilitupi permaidani harapan bagi yang berjiwa tenteram akan tetapi ia juga berkelambukan kepura-puraan kepada yang berkesedaran. Saya pula entah di mana; akal asyik memutar-mutarkan dialog pedih itu, sukma memujuk supaya memaafkan si penuturnya. Tapi, semulia mana pun saya mahu jadi, sebaris ayat itu masih menoreh merah hati ini. "Sebelum bercakap pasal profesionalisme, cermin dulu diri". Robeknya.

Yang saya tuntut cumalah ketelusan dalam berorganisasi. Kalau hendak melantik, biarlah dibincangkan segala bebanan calon yang bertanding. Tidak boleh kita berdiri, menyebutkan satu nama, kemudian ketawa seolah-olah ia hal yang remeh. Pertama, ia menunjukkan profesionalisme yang rendah. Kedua, ia jelas menunjukkan pemangsaan yang bersifat memandang rendah. Ketiga, yang dilantik boleh saja berontak dan tidak melakukan apa yang ditugaskan kepadanya. Akhirnya, ini merbahaya kepada organisasi.

Timbul isu senioriti adalah alhasil akal tua. Jiwa yang lelah. Kalau ada yang berdiri berhujahkan asas senioriti, bermakna masa belum cukup mendidik jiwanya. Bukankah senioriti membawa kepada peneladanan? Bukannya menjadi pemain sentimen usia. Benar, mereka lebih mudah penat dan sebagainya (kamu bukan tua sangat pun, beza dua tahun pengalaman kerja saja), tapi, tidak bolehkah duduk mendengar dulu keluhan guru-guru yang terlantik? Kemudian, dari situ, membuat inisiatif memudahkan kerja mereka?

"Astagfirullahal azim, kenapa macam penuh dendam sangat, Cikgu Yassin?"


Dialog itu menjadi hantu siang-malam saya. Jiwa ini sikit pun tidak mahu mendendami sesiapa. Saya cuma mengasihani cikgu yang telah memegang beberapa jawatan besar, diberi lagi suatu jawatan besar, lalu diherdik apabila menolak, dikatakan cikgu baharu yang memandai-mandai. Bila kawan saya ini mengangkat tangan hendak menyatakan pendirian, dibisukan, keputusan disetujui tanpa sedikit pun ruang demokrasi. Kerana ini saya kerap berleter mengenai demokrasi, khususnya yang tidak disertai unsur keluhuran.

Percayalah, kalau perangai kita asyik bercakap secara terus tanpa tapis dan membuat keputusan tanpa mendalami kegetiran keputusan tersebut, maju kita hanya pada materi semata-mata. Percayalah, bila profesionalisme disandarkan kepada usia berada di lapangan, bukan didaktik, maka organisasi yang didukung adalah organisasi tua yang memijak-mijak saja golongan muda, sehingga mereka jadi lebih cepat lelah. Bukalah mata hati kalian. Saya tidak memandai, saya menuntut proses birokrasi yang lebih adil saja.

Inersia


Tegur seorang sahabat yang memahami, "Takkanlah kita mahu meneruskan legasi membuli guru muda?". Saya yang duduk di kerusi penumpan depan hanya mengangguk, sambil melihat hujan yang mengalir pada cermin hadapan kereta. Dari situ juga, di tengah jalan pulang dari makan malam sambutan hari lahir seorang teman, saya berazam tidak akan menjadi senior sedemikian. Saya tidak akan menyambung susur anti-didaktik dalam berorganisasi. Saya akan menjadi lebih profesional, melabur lebih banyak masa dalam mendedikasikan hidup kepada kerjaya ini. Saya, dan sahabat yang memahami tadi, berazam, tidak akan mewarisi inersia purba ini. Sekarang, menunggu mereka berundur.

Saya mahu membuktikan, saya profesional. Saya mahu menjadi jauh lebih baik. Dunia ini sememangnya luas pada jiwa yang sombong, kecil pada yang merelakan diri dibuli dan mewarisi kebobrokan, namun tidak kurang indah pada yang masih menatap potret pertiwi yang dicanting dengan harapan. Kelambu itu akan memberi laluan kepada cahaya, permaidani ini sentiasa akan dibersihkan secara berkala, dan kalian; manusia yang tua jiwanya, bolehlah perlahan-lahan pergi kalau tidak suka dengan gubahan baharu rumah ini. Ini rumah yang sudah tidak memandang ketuaan sebagai alasan lagi.

Kecilnya dunia, besarnya harapan, indahnya impian, syahdunya pendidikan.


Comments

Popular Posts