Hal Yang Harus Direnung Sedalam-dalamnya

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Seorang lelaki sesat di tengah gurun. Bagaimana dia sesat tidak usahlah disoal-soal lagi, pertanyaan itu tidak relevan dengan cerita ini. Maka, langit bertukar terang-gelap, berbintang-bersuria, namun di kelilingnya hanyalah horizon ketandusan berwarna perang yang sepertinya tanpa penghujung. Tapi, tetap jua diteruskannya perjalanan tidak bermakna itu.

Sedang dia mendaki sebuah gumuk pasir, kakinya tersadung pada sesuatu yang keras. Dia bangkit, mengipas-ngipas pepasiran yang melekat pada tubuhnya. Kemudian, dia kembali kepada objek yang menyebabkan dia terjatuh. Berkemilau. Tanpa berfikir panjang, dia mengeluarkan objek itu dari jasad kering gumuk pasir tersebut. Ianya sebuah lampu ajaib!


Dia pernah terbaca akan hal ini sewaktu dia berusia tujuh tahun. Kalau tidak silap, akan keluarkan kepulan asap yang menjadi seekor jin jika dia menggosok bahagian tepi lampu tersebut. Matanya bersinar seterang matahari yang baru tergelincir dari zenith langit. Pelbagai hajat dia kandung dalam kepala, sebelum dia menarik nafas dan menggosok lampu tersebut.

POOF!

Ternyata, legenda yang didengarnya dari televisyen benar. Seekor jin berwarna biru berbadan sasa dan bergelang emas kelihatan memenuhi angkasa. Jin itu kelihatan tenang, dengan tangan bersilang. Terpaksa si lelaki mendongak dan si jin memandang ke bawah, demi membolehkan pertentangan mata. Mula-mula si lelaki terbungkam takut, terkeletar, namun mengingatkan segala hajatnya, segala rasa tidak baik itu hilang bersama angin gurun.



"Wahai manusia yang membangunkan aku, kukira kau telah pernah mendengar kisah mengenaiku, bahkan, aku rasa, legenda itulah yang menyebabkan engkau sesat di padang pasir ini," gumam jin tersebut, tenang, namun bergema.

"Iya," balas si lelaki, "untaku telah mati setelah berjalan agak jauh. Semata-mata untuk menjumpai lampu ajaib ini. Menjumpaimu."

"Baiklah, pengorbananmu berbalas. Sekarang," soal jin "beritahu aku apa hajat yang kausimpan di dalam dadamu?"

"Apa saja?"

Tiba-tiba, si jin tertawa. "Apa saja!? Apa engkau bercanda, wahai anak Adam?"

"Aku mendengar cerita, kau boleh menunaikan apapun hajat..."

"Bahlul saja yang percaya hal demikian. Bagaimana jika manusia yang menjumpaiku menghajatkan agar Tuhan turun ke bumi? Apakah hal demikian mungkin?"

"Tidak, wahai jin..."

Senyap. Dekahan sang jin masih bersisa. Sesudah itu, si lelaki membuka mulut.

"Kalau begitu, beritahu aku apa syarat penunaian hajat yang kau tetapkan?"

"Bukan aku yang menetapkan, melainkan Tuhan gurun ini, yakni," si jin merendahkan dirinya. Ia bertukar menjadi seorang lelaki sasa, namun tetap saja berwarna biru dan bersuara parau. "Pertama, hajat yang engkau minta tidak boleh berlaku kepadamu baik secara langsung mahupun tidak langsung-"

"AHH!?" bentak sang pemuda.

"-kedua, kau hanya ada dua hajat. Apa-apa saja hajat, baik atau buruk."


Maka, berfikirlah lelaki sesat ini berjam-jam lamanya. Semua titik-peluh dan komitmennya, berbalas kesia-siaan. Kalaupun hajatnya tertunai, kehidupannya tetap akan musnah, kerana dia tidak boleh meminta sebarang hajat yang bertujuan untuk menyelamatkan  dirinya. Apalah maknanya, tatkala kematian jelas di depan mata, segala hajat di dunia jadi semu.

Teringat pula dia dendamnya kepada Abid yang pernah mengejek keghairahannya mencari lampu ajaib demikian, sehingga seluruh kota turut memperkecilkannya. Namun, kisah itu kisah dari bibir ayahnya, mana mungkin si ayah berdusta. Bisik nuraninya, boleh saja dia menghajati agar Abid dan seluruh negerinya dihempas meteor besar. Matinya pun aman.

"Kalau kau tidak mampu meraih kebaikan dari orang lain, mintalah kebaikan untuk orang lain," pesanan ibunya menjelma tiba-tiba. Orang tua itu jugalah yang melarangnya dari mengejar-ngejar legenda lampu ajaib yang dia dengar sejak kecil. Alasan ibunya, hidupnya adalah suatu hajat orang lain. Bersyukurlah apa adanya. Kerinduan mengetuk bilik hati si lelaki.

"Baiklah," bisik si lelaki, tersenyum.

Si jin keluar semula setelah lampu tersebut lelaki tadi gosok. Sebentar tadi, dia memohon izin masuk semula ke rumahnya, hanya untuk diseru semula setelah dua buah hajat berjaya difikirkan. Dalam gaya yang klasik, dia berkepul-kepul, bangkit dari rengkuhan asap yang perlahan-lahan berubah menjadi juzuknya. Kali ini, dia kelihatan ceria.

"Baik, apa dua hajatmu, wahai lelaki?" soal jin tadi.

Pemuda itu menguntum senyum lagi.


"Pertama, berikan ibuku kesenangan dalam bentuk wang, rumah dan pakaian.. Kalau itu membuatkan dia mengingatiku, maka hilangkan memorinya mengenai diriku. Kedua, kembalikan keamanan ke negeriku, kerana sebelum aku ke sini, sememangnya ia telah huru-hara. Dan kalau itu menyebabkan mereka mencari aku, maka hilangkan aku dari dalam ingatan mereka."

"Mudah. Bismillah... selesai!"

"Begitu saja?"

"Iya, begitu saja."

"Bagaimana dengan engkau?" soal pemuda berkenaan.

"Aku akan kembali ke kediamanku, dan aku akan terpelanting jauh dari sini."

"Bagaimana dengan aku pula?"

"Bagaimana dengan engkau, anak Adam?" soal jin kembali.

"Ohh... kalau begitu, aku akan terus berjalan dan menunggu kematian mengangkatku."

"Hmm... kalau begitu, aku pergi dulu!"

Pemuda itu mati di tengah padang pasir. Tiada siapa mengingati kewujudannya. Apabila temulangnya ditemukan, semua tertanya-tanya siapa pemilik tinggalan kalsium itu. Ibunya pula hidup sejahtera sampailah kematian menjemputnya jua. Negeri mereka aman tenteram, tiada ancaman dalam mahupun luar. Sehinggalah suatu hari, sebutir bintang jatuh di tengah-tengah kota. Ia bertukar menjadi seorang pemuda, berwarna biru, bergelang emas. Penduduk kampung berkeliling kawah hempasan bintang berkenaan.

"Wahai penduduk kota, sesungguhnya asbab keamanan negerimu adalah kerana seorang pemuda. Dia telah menghajati sesuatu yang tidak menguntungkan dirinya, sedangkan dia boleh memilih kemusnahan kalian atas kezaliman yang kalian timpakan kepadanya. Maka, berusahalah menjadi sepertinya."

"Bagaimana?"

"Jadilah pendidik!" Kemudian, pemuda tersebut ghaib dalam gelapnya malam.

Pengajaran


Mendapat kerjaya guru seperti mendapat lampu ajaib. Perjalanannya perih, jauh, sukar dan beronak. Apabila kau sampai ke destinasi, kau ingat boleh kau beli apa kau mahu, pergi ke mana kau suka. Rupanya tidak. Kau terbelenggu pada komitmen yang tidak kau minta, yang orang tidak sebut pun satu-persatu sebagai jasamu. Tapi, kerana tiada undur, mengingat pesanan ibunda, kau teruskan jua, sampaikan usia pencen (atau kematian) mendatangimu. Boleh saja, kau mengerang sendirian dari rumah sewa kecilmu.

Persoalannya: adakah ia berbaloi?

Pada apa kita sandarkan maksud 'berbaloi'? Kalau kita sandarkan pada diri, bukankah ianya fana dan akhirnya lupus dalam pasir masa? Kalau saya, saya sandarkan pada niat dan prinsip. Dua perkara itu hal tanpa pergantungan, Tuhan sendiri pelihara ia dalam lipat meta-dimensi dunia. Kematian pemuda tadi bukanlah kehilangan, ianya nisan kepada sebuah pemberian. Begitu jua dengan kerjaya guru. Boleh saja kau ajarkan perkara salah, dek kerana ibu murid yang ini tempoh hari menggugatmu di depan khalayak, di mesyuarat persatuan ibu bapa dan guru. Tapi, dendam itu kau anggap selaku tulisan kapur, kau kesat dengan fabrik niat-prinsip.

Ada atau tiada jin penunai hajat, kau harus hidup penuh cita-cita, prinsip-niat, tidak minta disanjung. Kalau hal sedemikian seperti separuh sirna, tataplah wajah anak didikmu. Mujarab.

Comments

Popular Posts