Terlajak Jalan - Hari 2 (2)

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Buat pengetahuan kalian, wayang 'The Boy' tidaklah sesuram yang disangka. Paling menang, plot twistnya yang membuatkan saya terkedu. Keseluruhan penceritaan filem menjadi logik apabila budak lelaki yang kononnya sudah mati dalam kemalangan kebakaran keluar merangkak dari dinding. Hahahaha. Spoiler alert. Secara keseluruhannya, ia adalah wayang yang harus ditonton (siap meletak hukum lagi). Pun begitu, pengalaman menonton di 'Growball' memang ekskuisit; seperti sebuah home teater yang besar. Kawan-kawan tidak percaya yang Si Penulis hanya pernah sekali ke 'CenterPoint' sepanjang belajar di MRSM.

Sebelum keluar dari pusat beli-belah legenda tersebut, kami membelikan Sahabat Karismatik empat potong kek (maaf Sahabat Zagazig, belum bayar lagi :P Lupa). Kami turut mengemis meminta enam batang lili kek harijadi. Kakak penjaga 'Secret Recipe' yang melayan kami, menyerahkannya dengan hati senang. Bisik Si Penulis kepada Sahabat Zagazig, kalau yang ditujukan kek ini tidak menitiskan air mata terharu, memang dia yang terkilan. Sahabat Berkereta Hitam menonong di belakang menatap telefon pintarnya.

Lelah tercari-cari jalan keluar, kami temukan pintu esbok* tersebut di sebelah sebuah lot arked. Sahabat Berkereta Hitam membayar parkir, kawan-kawannya menuju ke keretanya yang telah dia bukakan. Di dalam kereta, kami mengambil hampir lima belas minit membahaskan tujuan kami seterusnya. Mula-mula Sahabat Karismatik menyatakan kesibukannya dengan tugasan kumpulan. Namun, kami  meminta alamat institutnya, memecut ke sana. Tidak usahlah diceritakan kepeningan mencari universitinya, itu hal kami.

Tahu-tahu, dia di tempat lain. Alamesra. Pun, ini suatu kepayahan. Mencari beliau di setiap ceruk lot dan perkedaian, bukan hal mudah. Segala macam teknik pemanduan si Sahabat Berkereta Hitam lakukan, berpandukan kepada petunjuk gambar yang senget, sebelum menjumpai beliau sedang menghadap chick ayam penyet dan sejag air kelapa. Semuanya berdolak-dalik untuk menuruni kereta, untuk mententangi mata Sahabat Karismatik tersebut. Saya beralah membuka pintu, langit sudah jadi biru kelam, mungkin kerana mendung.

Suatu kelegaan yang tidak terkata melihat lelaki berbaju hitam ini. Bila berkumpul tiga sahabat yang sangat mempengaruhi kedewasaan, hati rasa penuh. Dan Sahabat Karismatik, petah bicaranya masih sama dan mesra, masih diselangi ketawa dan puji-pujian. Dia tatap setiap kami lama-lama, dalam-dalam, sambil mencongak kelamaan tidak berjumpa. Segala puji buatNya yang meluluskan pertemuan ini. Seperti biasa, kami membuat pesanan air, pisang keju, berdagang kisah masing-masing, menanyakan berita sesama. Berkenalan semula.

Masa di MRSM, dia selalu duduk di saff depan sementara menunggu iqamah. Sahabat yang mengajak saya ikut debat semasa di MRSM namun saya tolak (ahh, menyesal). Yang sukar menyembunyikan karismanya (hence, his nickname: Sahabat Karismatik).

Pun, orang hebat. Sudah saya ceritakan dahulu: di sini, kemudian sini. Bacalah.

Marhaen (maaf, Zat!)

Si Sahabat Karismatik yang pada awalnya menyebut-nyebut tentang urusan projek institut yang belum selesai, mengizini rakan sekelasnya untuk beredar dahulu. Maka, beredarlah dia dengan senyuman semanis teh tarik yang telah dihirup separuh. Kami pula, masih dengan perancangan, menghasut beliau untuk berlama-lama dengan kami - "uish, dari jauh kami datang". Meskipun seorang pendebat, dia kalah dengan kami, dengan rasa diri yang masih menatap kami lama-lama, dan dalam-dalam, mengesani sebarang perubahan.

Kami singgah di sebuah restoran untuk memberi ruang kepada dua orang daripada kami yang tidak dibolehkan merukhsah solat, bagi menunaikan fardhu 'Asar. Solat diusai, sekali lagi dalam kemelut destinasi. Adapun hal tersebut teresolusi segera, kami menuju ke UiTM tempat pengajian Sahabat Karismatik. Dia barangkali ternampak kotak kek yang disandarkan di tempat duduk belakang, namun dia buat tidak tahu. Hanya dengan panduan beliau, menjadi jelaslah jalan ke institutnya. Ya, tidak semoden IPT lain, namun tetap gah.

Kami selesaikan solat Maghrib di surau blok kediaman sang tuan rumah, duduk bersantai memandang diri-sendiri dalam diri setiap kami, serta keadaan bilik si sahabat yang menampakkan kebujangannya. Kami mendengar cerita Sahabat Karismatik tentang dirinya yang masih bergelut dengan kehidupan dan pelbagai cabaran yang selayaknya diiktibari, dan tentang rakan sebiliknya. buka kotak kek satu-persatu, menyusun semua serapat mungkin di atas lantai beralas kotak kek. Si Sahabat Karismatik tersenyum, dan terprovokasi.

"Pul, kau tahu tahun neh, tahun apa, kan?"

Dan dia berderai ketawa. Mungkin juga menahan rasa.


Lebih kurang pukul tujuh sebelas minit malam, berlangsunglah majlis hari jadi paling rare lagi paling sederhana (sederhana apa, kek 'Secret Recipe'). Wujud keraian dan kesyukuran. Wujud ucapan demi ucapan tahniah kepada si sahabat, kerana telah mencapai umur enam tahun. Haha. Enam tahun yang menjadi naib johan pertandingan debat varsiti Sabah. Mudah-mudahan kau panjang umur, lancar pengajianmu, dipertemukan jodohmu, dan diramaikan generasimu. Ahaha. Perlu kau tahu, ada yang masih menyanjungmu selaku pemimpinnya.

Biasa-biasa saja~

Selesai solat Isyak, ada lagilah perkara yang kami luahkan. Ada juga sesi berkongsi rasa, yang saya tidak pandai gunakan sebaiknya, sebaliknya menempelak diri-sendiri kerana tidak pandai menggunakan masa tersebut. Kerana - ini jujur dan ikhlas - ketimbang kalian, saya rasa kerdil. Saya yang perlu belajar daripada kalian, bukan sebaliknya. Kalian telah dewasa dan matang, saya masih tercari-cari letak diri sebenar. Kerana ini barangkali saya terkedu.

Setelah beberapa lama, kami memutuskan untuk keluar. Sahabat Karismatik yang tidak dapat keluar; dia - seperti biasa - sibuk dengan urusan kepimpinannya. Dan kami mengerti keadaannya itu. Maka, setelah menghantarnya ke dewan untuk latihan watikah, kami keluar pula mencari tempat duduk makan. Sahabat Zagazig kelaparan. Sebuah restoran mamak disinggahi, dengan pelayannya berasal daripada Tawau. Legend gila dia jawab soalan Sahabat Berkereta Hitam mengenai keenakan mi tuaran: "Kakak pun nda pernah rasa."

Selesai makan malam (berapa kali makan haha), kami pulang ke kediaman sementara. Sahabat Zagazig berjaya dipujuk untuk tidur bersama kami (barangkali mahu menghidupkan semula aura ASPURA MRSM KOKI). Kami sampai, membersihkan diri, menyambut kedatangan Sahabat Asy-Syakirin, kemudian menyambungkan perbualan. Man, five years is too much to be covered. Sampai ke cerita konspirasi farmakologi virus Zika dan cara menaikkan berat badan konversasi kami. Bayangkan. Pukul dua pagi, semuanya kelenaan.

Ya, hari ini, kami tidak hanya berjalan-jalan sekitar Kota Kinabalu; kami terlajak jalan ke kenangan, dan peringatan, dan kesuburan daerah lampau yang tidak tercetak dan tercatat.

P/S: Pos ditulis agak kelam-kabut, abang cyber cafe sudah mundar-mandir.

Comments

Popular Posts