Terlajak Jalan -- Hari 1

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Dua minggu sebelum tanggal dua Februari, saya menyuarakan keinginan kepada seorang kawan untuk menziarahinya (sebenarnya, dia yang memulakan cadangan berjumpa, jauh lebih awal). Atas dasar cinta dan kasih-sayang, saya aturkan pertemuan berkenaan. Dua orang saudara lain saya jemput sekali, dan mereka bersetuju. Kami berbual panjang tentang idea ini, terkadang rasa tidak akan terjadi, atas alasan-alasan benar. Tapi syukur, ia terjadi.

Sepanjang menunggu dua minggu tersebut, saya berdoa pelbagai cara agar ia diluluskan Tuhan. Maksud saya, macam-macam boleh berlaku. Mungkin jatuh dari tangga lalu patah leher. Mungkin peperangan yang menghalang. Mungkin perancangan yang bertembung. Benar. Macam-macam cara saya berdoa. Saya rindukan tiga orang manusia yang saya janji untuk jumpa. Segala puji kepada Tuhan Sekalian Alam yang meredhakan perancangan ini.

Saya bertolak sehari sebelum pertemuan yang dirancang, kerana antara keempat-empat kami, sayalah yang terpaling jauh (hampir lima ratus kilometer jauhnya). Sepanjang berada di dalam bas, seperti biasa; tertidur dan terbangun, mengunyah, menangkap gambar landskap yang sentiasa berdesup, melayani segala lagu yang diputarkan telefon bimbit. Saya beritahu kamu, ia bukan perjalanan yang menghiburkan. Tapi, demi saudara, kan? #brothermaterial

Sesampainya saya (dalam pukul lima setengah petang), pak cik saya menyambut dan menghantar ke 1Borneo, di mana saya dan seorang kawan berkereta hitam ini bersetuju untuk berjumpa. Pak cik dan saya bertukar-tukar berita terkini mengenai keluarga masing-masing di atas motornya, sambil meredah trafik yang menyesak, sebelum kami tiba di pusat beli-belah yang dituju. Saya serahkan helmetnya, lalu mencium penuh hormat tangannya.

Telefon bimbit bergetar. Si sahabat. Disuruhnya saya mengelintar dahulu sekitar 1Borneo, sementara dia mencari tempat meletak kereta. Saya seperti biasa menuju ke bahagian pakaian, mengagumi tekstil itu dan ini, dengan usaha menahan diri untuk tidak membeli apa-apa (hampir terkalah). Penat berjalan, saya melabuhkan diri pada sebuah sofa awam, melayari laman sosial yang entah bila akan habis. Saya jalan lagi, menanti penuh debaran.

Berjumpa, kami langsung membeli tiket 'Ola Bola' yang saya begi markah 10/10 dari segala segi, dari perspektif wayang-wayang Malaysia. Oh wayang ini penuh dengan nilai kebudayaan yang Hollywood dan Bollywood hanya mampu cemburui tanpa mampu miliki. Budaya bangsa ini adalah aset perfileman yang sangat mahal harganya. 'Ola Bola' adalah lebih baik berbanding mana-mana filem lain yang pernah saya saksikan. Bayangkan.

Habis saja filem itu, kami terus bersetuju untuk mencari tempat makan. Mula-mula keliru sama ada untuk makan di dalam 1Borneo atau di luar. Tapi perkiraan dalam diam mendorong kami untuk memecut ke Alamesra, kerana di situ kata si sahabat ada restoran yang istimewa. Saya turut (yalah, penumpang saja, kan). Habis seluruh kompleks komersial itu kami pusing. Terdapat sebuah restoran besar bernama 'Sinario', dan di situlah kami duduk bersadai.

Makanan yang dipesan alahailah mewahnya (haha). Banyak perkara yang kami kongsi (kebanyakan masa, saya memilih untuk mendengar). Dia bercerita tentang perniagaan jersinya yang pada saya agak lumayan. Saya teliti ceritanya, saya kira dia boleh jadi peniaga berjaya. Kerana apa? Kerana dia self-taught entrepreneur. Biasanya, usahawan begini paling maju, baik dari segi ekonomi mahupun psikologi. Termangu saya seketika. Menilai diri.

Sahabat berkereta hitam ini sudah saya kenali selama lapan tahun. Banyak pos saya telah tuliskan yang bercerita mengenai beliau. Ringkasnya, saya menganggap beliau salah-seorang yang mengajar saya banyak perkara tentang kehidupan, baik dari segi percakapan mahupun perbuatan. Beliau menghidupi kehidupan ideal yang boleh kautumpahkan ghitbah ke atasnya. Pengaruhnya kepada saya sukar untuk digambarkan, sukar untuk dijelaskan.

Sambil menghadap lamb chop dan mi mamak beserta sayap ayam barbeku, kami melanjutkan penceritaan mengenai suasana sastera, mengkhusus kepada genre berontak. Pasal penulisan saya yang mudah-mudahan Tuhan luluskan, sebagaimana Dia meluluskan pertemuan ini. Saya sebenarnya sukar berkongsi mengenai apa yang saya buat, kerana itu sajalah yang saya mampu -- menjual perkataan -- tapi dengan dia saya terbuka.

Setelah habis hidangan yang dipesan dan dibayar, kami berniat untuk pulang (maksudnya, ke rumahnya). Ini pula satu hal. Berlegar-legar kami selama beberapa puluh minit, mencari jalan masuk ke kompaun kediaman 'University Prime Condominium' (UPC). Melintasi UMS yang sunyi, 1Borneo yang semakin malap ditutup. Sesudah letih bertelagah mengenai koordinat rumahnya, akhirnya ia dijumpai. Nampak kontemporari dan minimalis.

Saya tersandar kepenatan (padahal yang memandu orang lain). Setelah letih beransur-ansur hilang, kami mengatur diri di rumah tersebut. Berbual lagi, walaupun kepenatan tidak membenarkan kami untuk berbual lebih panjang. Dia bentangkan karpet dan keluarkan segala macam bentuk bantal. Saya membersihkan diri. Saya solat sekejap (solat diringankan, yeay!), sebelum meletakkan kepala pada bantal dan sekali lagi, melayani laman sosial yang tiada habisnya. Tidak lama kemudian, saya tertidur. Lena sungguh.

Haha. Sekadar gambar hiasan bha.

Comments

Popular Posts