Mengambil Ajar

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Terkadang saya menyesal, tidak menetapkan sikap sewaktu berada di MRSM dahulu. Tidak mengambil ajar segala macam hikmah dan pelajaran yang Tuhan kurniakan melalui guru mahupun kawan-kawan. Tidak cukup berusaha sehingga boleh layak belajar ke luar negara. Iya, saya akui bahawa saya masih memendam penyesalan tersebut.

Kerana tengoklah kawan-kawan lama saya. Besar panjang. Lurus matang. Hebat. Sungguh saya mengagumi mereka dengan sepenuh hati, dan menyayangi mereka pula dengan jiwa kecil ini. Mereka dengan pencapaian masing-masing yang besar dan merata-rata. Kalau pun habis istilah dalam kamus untuk menerangkan keunggulan mereka, belum cukup barangkali.

Dari kiri: Saiful Amri (ekonomis), Mohd Ikhwan (doktor), Aizat Akram (cikgu Matematik), Yassin (cikgu Sains)



Saya tidak percaya mereka boleh sampai kepada kematangan yang mereka telah miliki sekarang ini. Ada yang mengeluh hidup mereka tidak menarik, bahkan ditimpa pelbagai ujian; ada yang seakan-akan meragui haluan yang telah mereka pilih, ada yang berinisiatif sampai telah nampak berjaya dia dan inisiatifnya. Dan saya, masih dengan ketegaran menaip.

Sukar untuk tidak memandang tinggi apabila kau dipertemukan dengan manusia-manusia yang selama ini (lima tahun lalu) gila-gila, kini berfikiran beberapa langkah di hadapan berbanding kau. Seolah-olah mahu saja kau melukuti ilmu kehidupan dengan mereka. Sukar untuk tidak merendah diri biarpun selama ini bakul engkau sahaja yang kauangkat.

Itulah peranan sahabat, kalau pun mereka tidak menasihatimu selalu, kau boleh belajar melalui sikap dan perwatakan mereka. Ishh, I still cannot get over my admiration to them. Saya masih berharap saya akan menemukan momen itu, momen di mana saya berhenti membandingkan diri dengan mereka dan mulai melihat hidup secara matang serta dewasa.

Barangkali di situlah baru kami setahap.

Comments

Popular Posts