Terlajak Jalan - Hari 2 (1)

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Sebelum tertidur, sememangnya telah disimpan niat untuk bangun awal pagi, agar dengan begitu bolehlah kami bergerak awal, mengelakkan kesesakan trafik  yang sudah tentu, menjadi sebahagian rupa bandar sebesar Kota Kinabalu. Malangnya, niat itu terkalah oleh kesedapan melayan rasa mengantuk, sehingga ke pukul sembilan pagi kami terlajak lena. Jangan risau, solat Subuh tetap terjaga atas kasih-sayangNya (tapi, kelewatan sikitlah :P).

Bangun saja, menyesali sebentar kegagalan melawan pojokan bantal dan comforter, sebelum bertransisi ke fasa memulakan persiapan. Saya mandi terlebih dahulu, diikuti Sahabat Berkereta Hitam. Sesudah habis mandi, bersiap-siap dan mengemas bekas tidur. Apabila beliau sudah siap berpakaian, kami bergelut menggunakan pemanas air elektrik. Mi segera direndam, diperencahkan dan ditunggu kembang, air pracampur dibancuh si sahabat.


Sebelum pulang semalam, kami sempat menyinggahi sebuah kedai serbaneka yang terletak betiul-betul di sebelah kiri restoran tempat kami makan malam. Turut dibeli adalah ubat gigi, gel rambut serta minuman buah perah berfiber (konon, bagus untuk penghadaman). Sekonyong-konyong (purbakalanya) mi segera tersebut masak, ditelan saja ia bersama kepanasannya. Sambil itu, merenung sarapan masing-masing, mengantisipasikan hari ini.

Sahabat Zagazig memberitahu, sekitar pukul sembilan empat puluh tujuh pagi, dia sedang bersiap-siap untuk menuju ke 'CenterPoint', tempat kami bersetuju untuk jumpa. Kami yang masih menikmati sarapan berlekas meninggalkan kediaman sementara UPC, memecut di sepanjang pantai Tanjung Lipat. Keadaan trafik tidaklah teruk, namun mengkali itu sudah conditio sine qua non sebuah kotaraya, maka tetaplah terjadi kesesakan jalannya.


Selepas lima belas minit di atas jalanraya di dalam kereta dengan lagu Inggeris retro berpasang, barulah disedari bahawa kami sesat. Sesat mencari 'CenterPoint' sangat jauh, sehingga bulatan Tanjung Aru berkubah yang terkenal kelihatan, bahkan kami membuat pusingan U melaluinya, sebelum beralih ke jalanraya KKIA. Mulai dari situ, perjalanan lebih lancar dan bangunan yang dituju ditemukan. Masalah letak kereta juga diselesaikan cepat.

Berdasarkan panduan relatif Sahabat Zagazig, kami menjumpainya melayani laman sosial yang tiada habisnya sambil bersandar pada birai koridor berdekatan 'Palm Square'. Bajunya kemeja lengan pendek biru gelap. Sebuah beg 'Quiksilver' terkepit di bawah lengan. Wajahnya masih sama, senyumannya saat menyambut salam pun serupa, sebagaimana enam tahun dahulu. Bahkan suaranya persis Mohd Ikhwan bin Chacho yang saya kenali.


Bertukar-tukar ayat prihatin -- yalah, separuh dekad tidak bertemu, mestilah! -- sebelum kami sepakat menuju ke 'Sushi King' untuk mengalas perut (padahal, sarapan "mewah"). Kami duduk di sebuah meja, membelek buku menu tebal yang dipenuhi senarai menu bergrafik. Si Sahabat Zagazig menjanjikan minuman untuk dia belanja. Saya memesan air sakura bergas. Pesanan minuman mereka saya tidak ingat. Makanan kami layan diri. Mentaati conveyor belt.

Sambil menunggu pelayan berbusana Jepun menghantar minuman kami, terus pelbagai topik kami bentangkan di atas meja bersaiz lebih kurang satu perpuluhan kosong lima meter persegi. Bermula dari pembentangan perancangan sepanjang hari, kepada keadaan diri dan pelajaran, kepada kawan-kawan lain yang juga telah lama tidak ditemui. Demi Tuhan, saya menghargai perbualan kami. Melihat sahabat sihat sudah cukup mengenyangkan jiwa saya.

Tapi bukan perut.

Perut saya menelan bermacam-macam jenis sushi. Dahulu, saya tidak menggemari kulinari tersebut, namun Sahabat Berkereta Hitam mengubah persepsi saya (dia siap boleh hasut saya buat kad keahlian). Sambil menulis ini pun, saya kepingin menjamah sepotong dua sushi ayam dan kurita. Perbualan kami berterusan hampir sejam lamanya. Bila perut kenyang dan minuman "eksotik" habis disedut, kami melangsai bil dan menggegas surau untuk Zuhur.

Zuhur selesai kami berkira-kira pula untuk menonton wayang, memandangkan masa untuk bertemu Sahabat Karismatik berbaki tiga jam setengah. Konflik memilih wayang berlaku; memandangkan keputusan kabur, saya berlagak ketua kafilah memilih 'The Boy'. Sahabat Zagazig membeli bertih jagung dan minuman bergas, manakala Sahabat Berkereta Hitam membelikan dirinya sosej dan teh. Kami tidak menunggu lama untuk memasuki panggung.

Si Penulis

Si Sahabat Zagazig

Si Sahabat Berkereta Hitam

Comments

Popular Posts