Rantai Emas Kita :)

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Manusia dan kesosialannya tidak dapat dipisah. Bahkan ia antara arketipe suruhan Tuhan; untuk menjadi hambaNya yang syumul, hubungan sesama perlu luhur. Dengan ibu bapa, perlu taat. Dengan adik-beradik perlu rapat. Dengan kawan-kawan, saling hormat. Dengan jiran, dilarang jahat. Bahkan dengan murid, perlu sopan, jangan bengis sangat. Kesosialan ini mengambil banyak bentuk, difahamkan dalam banyak cara, diamalkan melalui bermacam wahana. Justeru itu lebih penting faham diri sebagai anggota masyarakat berbanding individu yang bebas demi pilihan-pilihan sendiri. Dalam pendidikan, ini harus ditekankan.
 

Kerana itu ada pakar menyatakan, sekiranya Timur dan Barat berperang sehabis-habisnya, Timur mungkin lebih kalah namun lebih lekas pulih. Kita kalah pada teknologi, ya. Tapi dari sudut mentaliti, sentimen kemasyarakatan dan ya--metafiziknya selaku makhluk sosial--kita unggul di depan. Pernah dibuat suatu tinjauan berkenaan nasionalisme brutal (kesanggupan mati demi negara), 51-74% rakyat Malaysia sanggup mati demi tanah air ini. Sebagai perbandingan, dalam tinjauan yang sama, hanya 26-50% rakyat Malaysia sanggup berkorban demi negara mereka. Ini merupakan trend Barat versus Timur yang betul-betul.

Hahaha. Berhenti mengarut.

Ayuh ke inti bicara (tulisan).

Kadang-kadang bilamana kita rasa tidak lengkap dalam kehidupan, kan--entah dibantai pikiran-pikiran mengenai hutang atau hubungan yang berantakan, atau paling aslinya oleh kekosongan makna hidup--ketidaklengkapan itu sebenarnya boleh diisi oleh (atau sebetulnya puzzle itu ada pada) orang sekeliling. Saya selaku cikgu kan, kalau stres, kau tahu ke budak-budak saya lari. Membawa mereka berbual pasal mimpi-mimpi mereka. Membuka cerita tentang masa lalu saya supaya mereka dapat hadam dan jadikan pengajaran. Saya suka melihat mata mereka bercahaya tiapkali saya berkisah. Mulut kecil mereka yang menganga kagum atau menanya soalan susulan, buat saya segar. Nah, itu maksudnya sosial.

Mungkin Rousseau benar, manusia makhluk bebas yang dirantai kontrak sosial (beserta segala keterikatan-keterikatannya yang leceh), namun barangkali itulah yang membuatkan kita spesis yang degil sekali untuk pupus. Tali yang mengikat kita rupanya matanya emas Ilahiah, sambungan-sambungan yang mengharamkan kita daripada terbang terlalu dekat dengan matahari kebebasan. Kita tidak mati sendiri sebab kita tidak mahu mati sama-sama.


Oh iya, semalam seorang murid saya datang mengadu kepada saya pasal kawannya yang demam dan mahu pulang. Saya yang ketika itu sedang duduk di ambang pintu surau, menyarung stokin usai solat Zuhur, bergegas ke kelasnya kerana dia agak rapat dengan saya. Di tempat duduknya, dia kelihatan pucat, matanya berair. Saya tuam tangan ke dahi dan lehernya--ya, agak suam. Saya tanya sekiranya dia mahu pulang. Mengangguk lemah.

"Pack your bag, sayang," saya memujuk sambil membantunya menggalas beg. "I'll ring your father."

Nombor si ayah dicari, dideringkan.

"Ya, saya datang ambil. Terima kasih, cikgu," si ayah menjawab di hujung talian.

Budak ini, kalau bersedih, ketara betul emosinya. Apalagi kalau jatuh sakit, mukanya putih melepak, bertukar merah semena-mena. Setelah menghantarnya ke bilik guru, saya menuju ke kelas berikutnya. Sambil kaki melangkah, fikiran turut berjalan. Sudah besar nanti bagaimanalah dirinya--masihkah ingat akan saya, manusia yang pernah dia terikat selamanya dua tahun lebih? Atau adakah dia akan bertemu kewajaran yang lebih besar, lalu menjadi angkasawan seperti yang selalu dia khabarkan ke saya? Entahlah, pedulikan dulu masa depan, kan? Marilah terjerat pada masa kini sama-sama. Jalan sama-sama, bagus.


Jangan bengis sangat, ya Yassin.

Comments

Popular Posts