Khilaf(ah) di Dewata

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

"Slay, ke tengah sikit jo."

Slay patuh dengan permintaan saya selaku jurugambar tidak bertauliah. Setelah posisi dirasakan tepat, lensa telefon dihala ke arah ustaz kelahiran daerah Kota Belud itu. Perspektif fotografi dari Sungai Dewata--salah-satu tributari lembangan Lembah Danum--sangat majestik dan mempesona. Di bahagian latar terjauh gugusan bukit-bukau hijau yang dahinya setia dikucup awan. Hutan rimba yang kaya meriah dengan pokok-pokok tropikal tinggi, lebat melitupi pemandangan. Di sana ada ketenangan yang hanya bisa dijelaskan dengan menatapnya sendiri. Kau taiplah macam manapun, tidak sama feelingnya.

Hari ini, hampir 30 orang warga sekolah berkumpul di Sungai Dewata. Memandangkan cuti sekolah lagi dua minggu, tidak salah meluangkan masa hujung minggu beriadah sambil menikmati keindahan alam. Setibanya semua yang terlibat, riuh pikuk sungai tohor ini dibuatnya. Kawan-kawan yang membawa keluarga mereka sibuk mengusai  anak-anak. Yang berpasangan layan perasaan duduk berdua-duaan di gigi air, sambil bergurau dan bersuap-suapan ayam panggang. Yang bujang telan liur hahahaha. Maaf. Yang bujang, ya menikmati masa masing-masing dengan kebebasan status mereka. Bergurau senda. Bercanda.

Gwenchana.

Hahahaha.

Sambil mengetik kamera, mata saya tidak jemu merenung garis kanopi Lembah Danum. Sekejap-sekejap hujan, sekejap-sekejap mendung, kemudian cerah dan suam semula. Bilah-bilah sinar matahari menari di pucuk meranti dan cengal, belian dan merbau, mempersembahkan panggung alam yang tidak mampu ditiru bahkan oleh Martin Scorcese, Alan Kubrick dan Michael Bay. Di hutan ini jugalah terdapat pokok yang bernama Menara daripada spesis pokok damar hitam siput yang--dengan ketinggian 100.8 meter--merupakan pokok tropika tertinggi di dunia. Kredit kepada Jamaluddin bin Jami yang telah memanjat demi mengesahkan ukurannya. Macam mana dia tidak gayat; 100 meter tu gila.

Merenung fakta itu, membawa saya ke fakta lain; yang bahawa hutan ini sudah ada di sini jauh sebelum ada peradaban manusia di Borneo. Belum ada nenek moyang kita pun yang menapak kaki di tanah bertuah subur ini. Melacak ke tahun 2024, harta semulajadi ini sudah lompang sebahagiannya, ditukar menjadi kuari. Hijau menjadi kelabu. Bertahan berpuluh juta tahun, manusia tiba dengan jentera dan buruh murah, rosak lima dekad cuma. Itulah kekuatan khalifah. "Telah berlaku kerosakan di darat dan air..." ya begitulah ceritanya.

Jadi, bilaman air mengeruh gara-gara hujan semakin gemuruh, kami bergegas mengemas dan membersihkan semua bekas perkelahan. Arang dimatikan baranya. Gelas polisterin, tongkol jagung dan pembungkus keropok disatukan dalam plastik yang sama dengan tulang-tulang ayam. Hujan makin lebat, saya dan kawan-kawan yang basah-kuyup makin tangkas melipat khemah, memikul kanopi. PdP in situ tamat. Lembah Danum suruh pulang.

"Kirin, bawakan," saya menyerahkan baki barang--bekas perapan ayam--dan melangkah semula ke gigi air. "Saya mahu berendam buat kali terakhir."

Menyelam dalam sungai tropikal dengan hujan lebat lain feelingnya. Surreal. Kau rasa inilah tempat tinggalmu, kampungmu. Rasanya seperti dalam rahim ibu semula. Adem. Selesa. Fitrah. Inilah barangkali yang gajah pigmi Borneo dan badak sumbu Sumatera rasa hari-hari. Kalau demikian alangkah seronoknya jadi haiwan dan malangnya menjadi khalifah. Hari-hari healing. Kami, cikgu-cikgu, hari Isnin rasa kocak bersambung semula. Hahahaha.

Panjang lagi sebenarnya mahu ulas. Tapi, kita simpan separuh untuk lawatan berikutnya.

Bha, baiklah, itu ja. Di bawah foto-foto Jangan tanya mana saya: kitonyo introvert. Hahaha ndabha.




Comments

Popular Posts