Semacam Bunga Api, Atau Salji Di Puncak Gunung Kinabalu

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Sebelum saya mendaki Gunung Kinabalu tempoh hari, seorang teman berkongsi pengalamannya menawan ikon Sabah itu, bukan sekali, namun dua kali. Dia juga bercerita tentang suatu masa salji melitupi puncak gunung itu, sempat menunjukkan beberapa buah gambar demi menyokong penceritaannya, dan saya terlongo melihat betapa indahnya kalau saya dapat merasai pengalaman yang serupa. Sekarang ini bilamana dibawa mendaki ke mana-mana, dia sudah tidak sanggup, badannya tidak memberi izin. Saya pula berharapan - semasa berada di Timpohon lagi - seandainya diberikan rezeki oleh Tuhan untuk menyentuh salji, meramasnya sehingga cair di titik tertinggi di Malaysia.

Tapi, saya tidaklah terlalu fokus kepada mahu menyentuh salji sehingga terlupa untuk menghargai masa saya berdiri di sana. Sejam berada mencelapaki puncak yang kasap lagi kasar itu serasa sesaat di syurga. Dapat dilihat beberapa daerah sejauh mana mata boleh memandang, sehingga darat larut di ufuk, bersatu dengan langit. Ia perasaan yang perenial. Maksudnya, siapapun yang berdiri dari mana saya berdiri ketika itu, pasti akan merasakan perasaan yang sama; terlalu agung pemandangan itu sehingga saya terlupa tentang isu salji yang dikhabarkan kawan. Mungkin begini juga patut kita melayar bahtera kehidupan.

Bahawa di sebalik caca-marba, kekeliruan, sengsara dan kewafatan diri yang laju berlumba-lumba dengan masa dan peluang, kita harus pandai mengutamakan yang azali berbanding yang tidak pasti. Yang tidak pasti sentiasa kedengaran lebih mempesona - bergantung kepada apa yang kaupotretkan sebagai ketidakpastian - namun yang azalilah yang paling memberi kepuasan. Di sini, kepuasan yang dimaksudkan bukan yang karnal, haiwani, sekular; namun yang transedental, manusiawi dan spiritual. Yang perenial.


Ah, iya! Semacam acara bunga api di malam Hari Kebangsaan. Beberapa tahun ini, tidak ada acara bunga api dilangsungkan di Tawau (apalagi Lahad Datu). Sambutan menjadi semu dan kusam. Yang ada cumalah jualan pukal di sana-sini - tahun ini apatah lagi, dengan merebaknya COVID19 seperti api liar yang dicetuskan manusia sendiri. Akan tetapi, manusia terlalu berfokus kepada sambutannya sehingga terlupa sebab ia harus disambut. Kalau konsep kemerdekaan ada logosnya sendiri, logos itu tidak wujud pada cahaya ekawarna bunga api, namun pada penghargaan dan usaha mempertahankan kemerdekaan itu.

Kenapa saya mengatakan itu semua? Untuk mengingatkan diri-sendiri (kemudian kamu juga) bahawa kita harus sentiasa peka pada setiap kemungkinan salji akan turun, atau kemungkinan bunga api akan meletus. Walau bagaimanapun, sepertimana makna berbanding kebahagiaan, kita tidak harus terlalu juling merenung langit serta puncak gunung demi mengharap kedua-dua itu berlaku, sehingga kita terlupa bahawa langit dan puncak gunung wujud. Sudah saya sebutkan, yang tidak pasti sentiasa kedengaran lebih mempesonakan, namun yang azalilah yang amat setia dan paling memberi kepuasan.

Sekiranya saya mahu ukur apa yang telah saya capai dalam hidup, berbanding penderitaan, saya kira saya termasuk dalam kalangan orang yang sangat bertuah.

Di dunia ini, tak banyak perkara yang saya labelkan sebagai perenial. Persahabatan ini, adalah satu contohnya. Kautak selalu duduk di kaki Gunung Kinabalu (yang diharapkan bersalji), sambil makan malam dan tertawa tentang telur dadar yang berkat. Hahahahaha.

Kau kena mencari orang, peristiwa dan perkara yang make you feel things. Yang bisa buat kau teruja, dihargai, merdeka, [lalu] matang dan membesar. Kau kena mencari itu yang membuatkan kau berusaha menghafal sifir makna dan tujuan hidup, meskipun kau masih gagap menutur angka. Kau mesti ada ia yang bisa kauhargai dan kenang sebagai erti sejati, tak kiralah betapa jauh jarak dan lama masa memisahkanmu daripadanya kelak. Saya kira, inilah satu-satunya cara hidup sebagai organisma yang memakai tanda nama 'manusia' dan saya ragu-ragu kalau ada cari selainnya. Atau kau yang lebih pintar boleh ajarkan saya?

Comments

Popular Posts