Kau Theseus, Aku Kerbau Marathon, Dan Antara Kita Beza Masa Yang Infiniti

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Aku hari ini dipenuhi dengan amarah dan geram. Aku selalu buntu, tentang dari mana api radang ini datang. Aku tak pasti sama ada ia datang dari masa silam atau dari masa depan. Aku benci bila ia menyelubungiku, memakaikanku dengan ayunan 'mood' yang akhirnya membuatkan orang lain terasa dan tidak selesa. Aku malu bilamana berakhir begitu.

Kau tahukah, apa yang paling nikmat, senikmat, nikmatnya? Adalah dapat mendengar dua orang kawan membacakan kepadaku firman Tuhan; seorang akan membacanya secara tadarus, seorang lagi akan membaca terjemahannya. Lalu kami akan hanyut dalam selautan tafsiran dan refleksi ayat-ayat berkenaan kepada kehidupan kami masing-masing.

Kau tahukah apa yang lebih unggul berbanding seks, secawan kopi di San Francisco Coffee, di keramaian pengunjung Menara Berkembar Petronas? Dapat memejamkan mata pada alunan temanmu yang menukar huruf bertulis menjadi suara merdu, lalu kau teringat pada dirimu yang lepas, yang paling lepas, yang pertama, yang tak ternoda nafsu serakah.


Aku tak tahu tentang kamu, tetapi aku mudah lalai. Impianku semuanya terbengkalai, ibadahku semua lunglai. Buat macam tak mahu buat. Doa macam tak mahu doa. Percaya macam tak mahu percaya. Jadi, kau tahu apa aku buat? Aku lari ke permainan video, atau melayari internet sampai pungguk pun pulang ke sarang untuk tidur, makan, bersenam untuk menegapkan badan. Sesekali, bilamana setan dalam tubuhku sedikit soleh, dia membenarkan aku membaca buku. 'Heroes' oleh Stephen Fry adalah bacaan berkualiti.

Kerana itu aku perlu selalu diingatkan. Jiwaku perlu sentiasa dihambat dengan ayat Tuhan. Tingkahku harus selalu ditegur, percakapanku disekat dan didiamkan. Aku perlu ditambat sebagaimana Theseus menundukkan Kerbau Marathon yang memusnahkan kebun-kebun dan ladang-ladang di Marathon. Dulu sewaktu kemuncak krisis jiwaku sekitar tahun 2019, aku benar-benar berharap temanku menumbuk mukaku, memulangkan sedarku.


Aku merindukan saat-saat lantunan Surah al-Kahfi mengetuk gegendang telinga dan memberi salam kepada hati. Aku merindukan detik ungkapan terjemahan, dari seorang teman yang membacanya dengan air wudhuk masih membasahi muka, menampar egoku yang jarang dapat dicalar orang. Aku rasa, sepanjang aku hidup, itulah saat paling aku hidup. Terkadang, bila aku tutup mata, aku berharap bila membukanya, aku kembali ke masa itu.

Heh.

Aku tak hampa masa tak boleh undur. Aku cuma terkilan, masa itu takkan berulang.

Hari ini, wahai blog yang sudah lapan tahun usia, aku dipenuhi amarah dan dendam.

Dan tak ke mana-mana lagi boleh aku lari, melainkan ke dakapan masa yang tak kembali.

Aku Kerbau Marathon, atau Kerbau Crete; kau Theseus, atau Heracles. Kau takkan dapat menyentuh tandukku lagi, menggustiku ke tanah. Aku akan terus merosakkan ladang tubuh yang kering dan tepu penyesalan ini. Aku harap, bila masa Tuhan memanggil kita semua, kita boleh jadi sama darjat. Tak apalah. I fucking miss you. Dariku, akan selalu, layangan doa.

Selamat malam :)

Comments

Popular Posts