Bintang Berlayar Mencari Jalan Pulang

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Kita ini adalah pelayar yang berpeleseran di langit. Bilamana kapal ini karam, kita akan tenggelam dalam lautan bintang. Jasad kita akan gugur menjadi tahi bintang, namun impian kita tetap akan terapung bersama nebula. Jemari kita tak akan terbatas oleh kulit dan kuku lagi, ia akan memanjang sehingga ke hujung semesta. Ruh kita akan menggenapi kegelapan kosmik ini, memori kita alunan yang menggetarkan ketiadaan menjadi atom, lalu jirim. Seraya itu, jirim itu berlakur menjadi setitik cahaya sejuta kali lebih terang berbanding lampu meja, sejuta kali lebih hangat berbanding bahang matahari pada musim panas.

Kita menjadi bintang.


Bagaimana jika sebenarnya setiap bintang yang boleh ditatap di langit adalah jiwa yang pernah wujud, dan sekarang ia memerhatikan kesan kehidupannya di bumi; yang menyesali dan meratap runtuh menjadi lohong hitam. Yang berbangga dan berterima kasih meletus menjadi supernova, berkembang kepada cahaya di syurga pula. Dan selagi masih ada kehitaman di langit, selagi itu manusia akan terus wujud, sampailah pupus segala kegelapan samawi; bintang-bintang yang kelihatan seperti lubang yang ditebuk para malaikat, menjadi siang yang tak berpenghujung? Adakah kita kan menatap setiap buruj sama seperti dahulu?

Sejauh manakah telah kita berlayar di keluasan semesta ini? Sedalam manakah telah kita hulurkan sauh kesedaran, supaya tak kita tersesat berlalu jauh sehingga melanggar dindingnya? Setinggi dan selebar manakah telah kita tegakkan tiang layar, supaya pelayaran kita lancar? Seerat manakah genggaman kita pada roda kemudi, mudahan dengannya dalam kita elak lohong hitam dan bintang neutron yang pasti bisa membakar kain layar kita? Ataukah kita duduk termangu saja di dek, merenung cahayaNya namun tidak mahu ke situ?


Kita adalah anak kepada harapan.

Ada perkara dalam hidup ini yang tak akan dapat kita bunuh walau dengan apa cara sekalipun. Cahaya Tuhan yang bertempat dalam dada adalah kemuncak kepada hal ini. Kau buat sejahat manapun, kau menjadi agnostik yang paling handal dalam menundukkan keimanan orang lain, kau sendiri - dalam kesendirianmu - pasti tidak dapat menyangkal hal ini. Cahaya itu akan terus membakar, bersinar terang, kerana Yang Meletakkannya di situ adalah Yang Baqa, Yang Qadim dan Yang Azali. Selagi Dia wujud, cahaya itu akan terus terpelihara. Ia akan terus menyala, mencabar betapa sejuk serta kelamnya cakrawala.

Pasal kenapa aku beragama Islam dan kau tidak, itu sentiasa aku serahkan kepada Dia. Pasal aku tidak punya rupa dan harta, dan kau punya segalanya, itu aku selalu minta Dia jawabkan di akhirat sana. Tapi aku tahu, semua keberadaan di atas muka bumi ini, maqamnya tak sampaipun setinggi buku lali, jika dibandingkan dengan apa manusia (dan kemanusiaan) itu sebenarnya. Yang aku tahu, pelayaran kita jauh dari selesai, pelabuhan syurga masih jauh dan berbalam. Di antara kita dan inderaloka, ada lohong hitam dendam, ada kekejian yang berpusar pada paksi benci dan haloba. Kemudimu, sauhmu, layarmulah yang akan teruji.


Selamat malam, pelayar.

Comments

Popular Posts