Pasal Valerie, Adam dan Privathi

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Sambutan tahunan

Rasa macam memerli diri-sendiri meletak poster ini di sini.

Hari ini adalah hari teristimewa buat mana-mana insan yang bergelar guru, khasnya yang berada di lapangan sistem pendidikan formal kebangsaan. 16 Mei adalah tarikh yang dimengerti di negara ini sebagai Hari Guru. Pun begitu, keraian ini seharusnya diperluas dan tidak dipersempit; makna kata, sesiapa saja yang pernah, sedang dan akan mengajarkan sesuatu yang bermanfaat dan bererti kepada manusia lain dalam suatu tempoh tertentu, perlukan dimasukkan sekali ke dalam subjek 16 Mei ini.

Setiap guru punya sebab, tujuan dan jalan cerita tertentu dalam menjadi pendidik. Ada yang termotivasi oleh duit dan prospek pencen, ada yang menyukai kanak-kanak, ada yang menjadikan ia sebagai batu loncatan ke arah profesion lebih megah dan tinggi. Semua ini tidaklah ada salah satupun darinya. Namun, satu tujuan yang paling jumhur dalam kalangan pendidik, yang saya dapati adalah, kerana mereka beranggapan ia cita-cita yang penting dan mulia di sisi Tuhan. Entahlah, setidaknya itulah yang saya dapat simpulkan.

Bagaimana saya jadi guru?

Antara kebanggaan terbesar saya dalam hidup... Zurhamkah, pemidato berkualiti. Selepas dia naik tingkatan, saya sudah hilang 'rasa' mahu melatih lagi. Macam sudah jumpa apa yang saya cari-cari.

Menjelang 25 Julai ini, sudah empat tahun saya bergelar seorang cikgu. Pun begitu, cabaran, kegusaran dan keresahannya tidak pernah kurang daripada sama. Iya, mungkin dengan insentif ekonomi (gaji yang semakin tinggi) membuatkan saya lebih selesa, namun setiap kali masuk ke bilik darjah, gemuruh dan kesangsian selalu saja menempati setiap derap langkah. Bak kata seseorang: "Kalau kau sudah tidak dirisaukan oleh sesuatu, barangkali ia tidak akan dapat mengajarmu apa-apa lagi". Jadi, saya anggap itu suatu hal yang baik juga.

Seperti yang saya ujarkan di atas, setiap orang punya jalan cerita sendiri tentang sebab dan tujuannya menjadi guru. Walaupun sebab/tujuan ini boleh didapatkan di kuliah-kuliah dan buku-buku pedagogi, saya percaya pengalamanlah yang menjadi pengaruh terbesar jalan cerita ini. Untuk itu, bersempena hari yang amat istimewa ini, saya mahu berkongsi tiga anekdot/insiden yang membentuk persepsi saya dalam menjadi guru. Ia akan jadi sebuah pos yang panjang. Atau, kalau tidak mampu, saya akan tulis secara bersiri.

1. SBE 1, SK St Anthony, 4 Mei 2012

Muka-muka gementar. Abah kawan saya ni sempat tanya depan sarapan mi goreng telur mata: kamu takut, kah?

Saya masih ingat nombor kerusi penerbangan balik ke Sabah haritu itu: 27D. Saya masih ingat wajah Aizat yang gemuruh, kereta kancil yang dipandunya, kabus yang meliputi perbukitan Tenom. Saya masih ingat Orland yang mahu menjadi ahli bomba dan Beckley si pemalu yang akhirnya sudi duduk di pangkuan. Kemudian, saya mengingati Valerie. Ketiga-tiga murid ini amat membekaskan, namun Valerie duduk di atas oleh kerana suatu insiden.

Beckley

Orland

Ketika itu, saya ditugaskan untuk mengambil alih sebuah kelas yang gurunya punya urusan lain. Ia kelas Pendidikan Seni Visual atau Bahasa Melayu, saya kurang pasti. Sebaik saja menerima slip berkenaan, saya mengajak Aizat mengawal kelas terbabit dengan selembar kertas kosong dijinjing paras pinggang. Melangkah masuk, saya perasan semua mata tertumpu kepada kami berdua. Saya tanpa berlengah mengedarkan sehelai kertas per murid, dibantu Aizat. Sambil melakukan itu, saya mengeluarkan arahan:
"Setiap murid hanya boleh melukis satu benda yang kamu rasa indah!"
Mereka mengeluarkan pensel dan warna, mengangguk faham sembari melakukan itu. Kelas yang tadinya gamat bertukar senyap dan khusyuk. Kami berkeliling dalam kelas yang agak kecil itu, melilau memantau kerja setiap murid. Antara lukisan murid-murid tahun satu itu, lukisan Valerie mencuri tumpuan. Dia sepertinya tidak faham pada kertasnya ada lebih daripada satu objek; ada pokok kelapa, rumah, ayam dan anak-anaknya yang gebu, anjing, air terjun, bukit-bukau dan matahari yang terapit di tengah kedua-duanya. Saya mendekatinya, menegur untuk memilih satu saja untuk dilukis. Kemudian, dia berseloroh:
"Ini satulah itu. Satu pemandangan".
Yang berbaju pinafore itu Valerie... kalau saya tidak silap. Ahh, saya tak ambil gambarnya! Sebelah kanan Aizat, si Beckley yang comel dan hiper aktif. Semoga kalian semua beroleh jaya, nak.

Dalam pedagogi, tidak silap ini dipanggil pendidikan gestalt oleh Kohler, Koffka dan Wertheimer, di mana pengetahuan digarap melalui keseluruhan konteks (wholeness of context). Butir kecil suatu objek tak menceritakan kebenaran. Ia hanyalah komponen kepada kebenaran itu sendiri. Lalu, di sini Valerie, secara tanpa sedar memerli kesempitan pemikiran guru pengganti yang angkuh ini. Saya terbungkam di situ. Nyatalah, jiwa yang dewasa dan terformal sudah membekukan imaginasi kita, sehingga suatu ayat difahami secara keras dan beku jua. Saya balik sekolah dengan perasaan bebas dan puas. Oh, Valerie.

2. SBE 3, SK Tanjung Minyak, 14/03/2013

Lima geng praktikum 2 SK Tanjung Minyak. Oh, rambut itu. Rambut idola. Hahahaha.

Ini adalah insiden yang agak pendek, namun turut menginspirasikan, juga. SBE ketiga ini dimulai kepahitan; ditegur kerana berambut panjang dan tidak memakai tanda nama. Lewat datang ke mesyuarat yang seharusnya kami guru SBE tidak perlu hadiri. Menyaksikan depan mata guru membakul-sampahkan kertas kerja gurunya sendiri depan kami, guru pelatih. Kalau SBE itu benar  pengalaman berasaskan sekolah, SBE 3 adalah pengalaman yang pahit sekali. Dilema, politik dan keruwetan orang dewasa benar-benar menyebalkan.

Inikah, geng Adam? Saya rasa bukan. Adam tinggi satu darjah. Ini darjah empat, Adam darjah lima.

Kemudian, kami menemui Adam, seorang murid Tahun 5 sekolah tersebut. Kalau tidak silap, Adam duduk di kelas kedua corot. Dia seorang yang berperwatakan gengster, tetapi bukan jenis yang destruktif; dia jenis yang disruptif - selalu menyakat kawan, suka menjerit-jerit, kerap berkeliaran dengan kumpulannya sendiri. Bilamana mereka bergerak berpapasan, kelihatan seperti sebuah band indie yang bahasa moden istilah sebagai "baru nak up". Hahaha. Tapi iya, terkadang tingkah-laku mereka memeningkan kepala juga.

Kenaifan kanak-kanak..

Sehinggalah suatu hari saya dan Zulfadhli tanpa sengaja menjumpai sisinya yang amat positif: dia berpengaruh. Ketika itu beberapa kelas tahun enam hiruk-pikuk (kami berlima disuruh mengawal tiga kelas). Biarpun berlima seperti Hang Tuah bersaudara, kami tidak menang tangan melarang satu demi satu murid yang bising dan ke sana-ke sini. Adam kebetulan limpas. Entah siapa daripada kami yang mengujarkan suatu cabaran, supaya Adam menyenyapkan semua kelas. Adam bawa kawan dia yang berlima. Adam dan kawan-kawan membentak kelas-kelas berkenaan. Suasana langsung sunyi. Hanya ada bunyi kipas.

Guru yang terciduk oleh Adam

Rupanya, yang Hang Tuah bersaudara itu Adam dan kawan-kawan, manakala kamilah guru-guru muda yang tercengang band indie yang baru nak up. Pengajaran: yang popular dan disruptif itulah punya potensi jadi pemimpin sebaya. Ini, sampai kini saya pegang. Kompas moral mereka mudah dimulur. Budak baik ini mudah dimanipulasi kebaikan mereka oleh rakan sebaya. Jadi, Hang Adam, cikgu harap Tuhan membalasimu setimpal-timpalnya.

3. Praktikum 2, SK KLIA, 16 Julai 2014

Kalau dua di atas mengenal pedagogi, yang ini berlainan pula latarnya. Ia antara fasa praktikum yang saya tidak berapa minati (sebahagian besarnya kerana saya kedapatan menggunakan telefon bimbit dalam kelas oleh guru besar)(padahal, ada urusan penting dengan pensyarah). Depan Debra dan Farahida saya ditegur. Sepertinya malas ke sekolah keesokan harinya. Sepertinya mahu ke Klinik Raudhah untuk mendapatkan slip pelepasan kesihatan bawah meja. Mujur kawan praktikum saya seronok dan menghiburkan hati.

Selalu dalam keadaan gemuruh semasa berpraktikum di sini.

Jadi, dalam fasa praktikum ini, saya diminta untuk membuat sesi uji suara persembahan mendeklamasi sajak. Saya menyenarai pendek beberapa orang murid ketiga lima, kemudian tiga, kemudian dua dan akhirnya satu. Aisyah namanya, kalau tidak silap. Aisyah membuat persembahan yang bagus, rakan sepraktikum memuji kelantangan suaranya. Akan tetapi ini bukan pasal Aisyah. Ini pasal Pravitha (atau lebih kurang begitulah namanya). Seorang budak berbangsa Tamil yang meneladankan sikap kewarganegaraan buat semua.

Perhimpunan pertama selepas mendaftar diri.

Hari itu, sesi latihan sedang berlangsung di bilik rehat tempat guru-guru praktikum bekerja. Selain deklamasi sajak, terdapat juga latihan bercerita. Ada sebilangan murid pula di situ untuk menyiapkan tugasan. Pravitha, seorang pengawas sedikit berisi dan memakai pinafore yang lengkap, turut ada di situ dengan kawan-kawannya. Mereka sama-sama menghadap buku aktiviti di sebuah meja panjang, sampailah siap latihan berkenaan.
"Ala, Pravitha, saya belum siap latihan Bahasa Arab!"
Salah seorang kawan Pravitha yang berbangsa Melayu mengeluh kepadanya. Sambil dia mengeluh itu, jemarinya masih lincah menyiapkan baki tugasan yang diberikan. Tinggal mereka berdua, yang lain sudah balik ke kelas. Pun, Pravitha menunggu kawannya yang seorang ini. Bila saja dia mendengar kesah temannya yang belum menyiapkan tugasan  Bahasa Arab, dia menjawap dengan loghat Tamilnya:
"Takpe, takpe.. kamu siapkan itu dulu, nanti saya ajar Bahasa Arab tu ye."
Di luar sana, kita dimuakkan dengan berbagai-bagai konflik dan isu mengenai pendidikan tulisan jawi. Orang dewasa sanggup bertumpah darah dan berdemonstrasi berkilometer panjang menentangnya. Namun di sini, kita ada Pravitha, dibesarkan Tamil dan beragama Hindu, namun menguasai Bahasa Arab. Dia tidak kelihatan 'kurang Tamil'. Dia masih Pravitha dengan loghatnya yang sangat manis bagi saya. Malah, dari tempat saya duduk, dilatari bacaan sajak patriotik Aisyah, dia kelihatan teramat Malaysia.


Saya tidak pasti kalau saya seorang saja yang mendengar dialog ringkas itu, atau kenapa saya tidak tergerak untuk menyimpan memori insiden itu dalam bentuk video/gambar. Namun sungguh, ayat Pravitha itu menjentikkan sesuatu yang suci dalam diri. Perpaduan itu adalah kompromi. Maksud saya, bukanlah saya mengalu-alukan Arabisasi sebagai pembuktian perpaduan. Sikap mengambil positif sesuatu itu adalah hal yang seharusnya lebih dirayakan oleh semua. Kudos buat ibu bapa Pravitha yang membesarkannya.

Kesimpulan

Kalau murid saya begini, saya, hummphh... Tidak bha. Sama ada tidak layan atau perbetulkan dengn setitis sindiran.

Sudah tentulah, terlalu banyak lagi insiden yang membantu saya membentuk citra sebagai seorang cikgu. Apatah lagi sepanjang empat tahun meladen hidup selaku pendidik, memang bermacam-macam anekdot telah membantu saya membina sikap yang paling bersesuaian dengan saya selaku pendidik. Daripada isu kewarganegaraan, isu terpengaruh dengan dadah, isu kewangan keluarga murid yang menghimpit, perkahwinan luar nikah dan banyak lagi. Kesemua ini - seperti Valerie ingatkan - adalah satu pemandangan introspektif saya mengenai profesion ini. Sebuah gestalt, dalam heteroglossia pendidikan yang beraneka.

Semua orang pasti telah punya ada guru yang kepadanya setiap kita memperoleh ilmu dan lantas, keberkatan hidup. Kemudian, sebilangan daripada kita pula, menjadi guru kepada orang lain pula. Mengajar, berdiri di depan kelas enam jam sehari, 273 hari setahun, berbagai-bagai matapelajaran, berbagai-bagai topik dan tajuk dengan berbagai-bagai gaya serta pendekatan. Namun dalam memperakukan itu, janganlah kita lupa, bahawa proses pembelajaran sebagai seorang guru pun tidak ada titik berhenti. Pasti ada yang baharu.

Dalam redaksi berbeza, murid lebih mengingati SIAPA guru dan bukan APA yang guru ajarkan.

Untuk itu, saya mahu melakukan sesuatu yang baharu tahun ini. Iya, ucapan 'Selamat Hari Guru' tetap pergi kepada guru-guru di seluruh negara dan seantero dunia. Baik yang akan datang, sekarang atau yang telah pergi. Baik lelaki mahupun perempuan, yang berkhidmat di bandar ataupun di pedalaman. Namun tahun ini, demi mengenang iktibar yang telah titiskan kepada (pen)diri(an) saya selaku seorang guru, ini saya mahu ucapkan:
"Valerie, Adam dan Pravitha: Selamat Hari Guru"

Comments

Popular Posts