Jejaka Beralamatkan Masa Lalu

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Saya fikir, tiada salahnya kalau kita hidup pada zaman kini, namun beralamatkan masa lalu. Masa kini adalah suatu tempat dan keadaan yang melelahkan, menuntut kepada pelbagai tuntutan, ada yang sukar, ada yang mustahil, namun jarang yang mudah. Yang mudah, direndah-nilaikan, dibakul-sampahkan, digadai-murahkan. Yang mudah, adalah yang viseral, superfisial, temporal, teramat fana dan tersangat hina. Hina, bukan pada yang mudah itu, namun pada bagaimana manusia moden mengambilnya dan memanipulasinya. Batu hanyalah batu; akan tetapi yang menghempas kepala Habil adalah batu yang hina.

Maksud saya di sini kan, hidup beralamatkan masa lalu samalah objektifnya dengan bermain video konsol. Untuk apa main? Untuk lepaskan stres. Untuk apa lepaskan stres? Supaya tidak tertekan sehingga melakukan yang bukan-bukan. Eskapisme. Ia juga memberikan kita sensai pencapaian/kejayaan yang palsu, merembes hormon endorfin dan adrenalin ke dalam darah supaya kita dalam meraih ketenteraman, sepalsu manapun ia. Lebih dalam lagi, kita bermain video konsol untuk membebaskan diri daripada kegusaran eksistensial yang bernaka-naka menggelengser ke dalam hati yang berlohong ini.


Tetapi kini wahana menjadi maqasid. Means becomes the end. Kita tidak bermain video konsol kerana kita stres, namun kerana kita tidak punya apa-apa untuk dibuat. Kemodenan telah melangsaikan banyak punca stres manusia, sehingga ia kekok berdepan soalan fundamental yang selama ini tersembunyi di balik rutin bermain video konsol untuk menghapuskan stres. Kini, kita berbogel, memegang kayu ria, menatap pantulan diri pada skrin yang sedang memuat ulang babak permainan berikutnya. Hina, kan?

Dalam halnya hidup beralamatkan masa lalu, iya, kita mengikhtiarkan suatu eskapisme. Kita cuba memalingkan padangan daripada merenung kegusaran yang berdiri tegak betul-betul di depan muka. Kita selak muka surat ke belakang, kerana merasa tidak pantas membaca halaman kini apalagi yang terkemudian. Masa lalu menjanjikan urusan yang lebih mudah; tidak perlu merancang, tidak perlu buat apa-apa. Semuanya sudah tersedia.

Bilamana masa lepas adalah butir surat-menyurat, tak ada apa yang perlu disesalkan mengenai kekinian. Apabila ianya terlalu membebankan, kita cuma perlu menempah tiket pulang (mimpi, angan-angan atau karya seni) dan mendiami daerah yang amat kita familiar itu. Duduk di sebelah Van Gogh yang sedang khusyuk menyiapkan lukisan bunga mataharinya. Atau berteleku dengan Ibrahim ibn Adham r.h, mendalami tasauf.

Comments

Popular Posts