Bermimpi Akan Anton Yelchin

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Kau bangun, sebuah kipas siling berpusing ligat enam kaki di atas mukamu. Angin hujung minggu di luar rumah menyebabkan hujung dedaunan semak dan pucuk-pucuk pokok bertepuk tangan. Tempias matahari menembusi tingkap kamarmu yang separa terbuka, yang mana turut menjemput masuk kicauan burung ria. Kaumahu bangkit untuk mendapatkan segelas susu segar dalam kotak yang kaubeli semalam, namun selimut dan bantal empukmu mengulit lebih erat, enggan mengizinkan kau untuk bergerak lebih awal. Ia pagi yang sangat indah. Ia permulaan nian sekali. Mustahil hari ini tidak berjalan lancar.

Setelah puas memujuk ranjangmu untuk membenarkan engkau bangun dan menggeliat, kaupasangkan lagu-lagu ceria seperti '93 Million Miles' oleh Jason Mraz, atau 'Try, Try, Try' oleh penyanyi yang sama. Sambil lirik lagunya membawamu jauh kepada imbasan tentang mimpi indah semalam, tanganmu dengan sopan melipat selimut yang menemanimu tujuh jam lepas. Terkadang, ada antara anekdot beberapa hari lepas membuatkan kau tersenyum sendirian, dan dedaunan di luar masih bertepuk tangan, seperti ia sitkom peribadi yang kalian nikmati bersama. Sesudah itu, lipatan selimut kauletakkan di atas bantal-bantal yang sudah disusun, lalu kau bangun dan menuju ke bilik air. Mencuci muka dan memberus gigi; air pili yang dingin menggigit kulitmu, meningkatkan lagi takat kesedaranmu.

Sempurna

Sambil kau menikmati segelas susu segar sejuk di depan meja kerjamu, barulah kau faham bahawa idea tentang kesempurnaan boleh jadi musuh kepada kebahagiaan. Timbunan kerjamu yang hampir saja memenuhi segenap ruang meja mengingatkan kau kepada dirimu pada hari Isnin sehingga Jumaat; insan yang cuba menjadikan semuanya sempurna, tiada cacat-cela, tiada butiran tertinggal atau terlebih. Kerana itulah ada orang berkata, "Jadikan hari bekerja parodi untukmu menikmati hari-hari bercuti". Kepada longgokan kertas yang perlu disemak, kaulemparkan senyuman sinis. "Esok-- esok, aku selesaikan kau," ujarmu.

Idea tentang kesempurnaan telah menyebabkan kita semua menderita. Manusia kira fikir mereka ada kekuasaan sepenuhnya kepada perjalanan hidup sendiri -- iya, dalam suatu cara, mereka memang berkuasa -- tapi berapa peratus saja? Justeru, mereka bekerja siang-malam tanpa henti, sehingga gagal mencuri pandang pada pipit yang hinggap di tepi tingkap, atau tidak dapat mendengar konserto unggas yang disambut tepukan gemuruh daun-daun riang. Mereka bekerja gigih, waktu cuti terpakai untuk kerja, hanya supaya boleh mengisi perut agar bertenaga semula, seraya tenaga itu digunakan untuk bekerja jua.

Anton Yelchin; mudanya, dan berpotensinya untuk mati. Tapi, ajal bukan aturan siapa-siapa selain Tuhan.

Dua kesalahan manusia dalam hal ini: pertama, kautidak boleh menjamin masa depanmu. Lihat saja pelakon berpotensi dan segak, Anton Yelchin yang membintangi filem 'Hearts In Atlantis' dan 'Star Trek'. Bukankah kenderaan mewahnya -- Jeep Grand Cherokee -- yang membunuhnya? Adakah kematiannya itu sesuatu yang dia rancang? Sudah pastilah tidak. Lantas, bertitik-tolak dari situ, kenapa kita tidak mahu mengambil pengajaran dengan mulai berhati-hati dengan harapan. Kata seorang kenalan, "Harapan adalah lapisan ais nipis pada sebuah permukaan tasik yang ingin kau bina istana di tengah-tengahnya".

Kedua, sebaik saja kau menganut kepercayaan bahawa semua kejadian tentang engkau adalah bergantung kepada keputusanmu saja, sebenarnya kaumeletakkan dirimu dalam suatu situasi yang amat sukar. Bagaimana kalau sesuatu yang buruk menimpa, sesuatu yang tidak kauduga, seperti kematian calon isteri yang kaucintai atau keguguran bakal anakmu? Adakah kau perlu memukul-mukul dada sambil memekikkkan "Aku sepatutnya begini dan begitu...!"?. Sekali-sekala, kau perlu menyerahkan keadaan diri kepada Kuasa Lebih Besar. Bukan supaya kau tidak bertanggungjawab, namun supaya kau bertanggungjawab dengan betul. Selain itu, kau perlu menghormati batasan dirimu, dan hak tubuhmu untuk berehat.

Sambung bercuti

Maka, kau pun meletakkan gelas kacamu ke sinki. Perlahan-lahan, kau kembali ke tilam, melabuhkan seluruh tubuhmu. Kau memandang ke atas, ke arah bilah-bilah kipas yang pantas bergerak pada orbit masing-masing. Pandanganmu terlekat pada titik tengah objek elektrik ini. Dengan perlahan, sedikit demi sedikit, diiringi siulan bayu yang amat menenangkan, kautenggelam semula ke dimensi mimpimu, di mana kau duduk di kerusi belakang kereta Jeep Grand Cherokee putih yang dipandu oleh Anton Yelchin, sambil dia tersenyum bangga dan ceria. "Kaumahu tengok set penggambaran Star Trek?" soalnya.


Kau senyum, mengiyakan.

P/S:

Jadi, saya berfikir untuk menulis semula di blog ini. Selain untuk mengelakkan saya daripada meluangkan masa dengan hal-hal remeh (penulisan ini bukan remeh, ini self-discovery) dan sia-sia, ia juga membantu mempertajam semula kejituan saya menulis. Belakangan ini, di samping bacaan yang SANGAT kurang, kemahiran menaip pun semakin hilang. Biasanya, begitulah. Oleh sebab itulah Faizal Tehrani dan A. Samad Said menyuruh membaca empat kali untuk menulis sekali. Maaf, baru bertatih semula ini.

Comments

Popular Posts