Apabila Belum Baik, Jangan Berhenti.

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


"Cikgu, mesti lukis, kah?" soal Vicky. Aku mahu menyeringai, tapi segera tenang.

"Iya, Vicky. Mesti lukis," jawabku. Dia terdiam seketika, kemudian memandang skrin putih yang terpapar slaid digital padanya. "Tapi, saya tidak pandai lukis, cikgu."

Aku mendengus. Ini bukan "berontak" pertamanya, dan Vicky bukanlah satu-satunya yang suka memberontak apabila disuruh melukis sesuatu sebagai latihan pengukuhan. Kemahiran saintifik melakar bukan perkara sambalewa yang boleh dilangkau; ia perlu dikuasai, biarlah secara minima.

"Iyalah, kalau kamu tidak mula belajar sekarang, sampai bila kamu pandai melukis?" aku memujuk.

Dia kembali ke tempat duduknya dengan langkah yang berat. Suasana hiruk-pikuk keadaan kelas di mana masing-masing sibuk dengan kertas lukisan, pensel dan warna mereka kembali menuntut perhatian yang aku tumpukan kepada Vicky sebentar tadi.

Di situ aku berfikir, bukanlah manusia baik yang menghasilkan kebaikan, namun perbuatan baiklah yang menghasilkan manusia baik. Tidak layak seseorang dipanggil baik jika yang dilakukannya hanyalah kejahatan (dalam senario sedemikian barangkali kita boleh menjadi Vicky: mempersoalkan). Dari anekdot ini juga kita harus faham bahawa kebaikan boleh jadi suatu kemahiran jiwa -- ia perlukan amalan dan pembelajaran.

Dalam usaha kita memperjuangkan kebaikan, pastilah banyak cabaran. Ujian dari kenalan, rakan sekerja dan "kawan-kawan" mungkin sekali antara yang paling getir. Kita dikatakan, "tidak ikhlas", atau "bermuka-muka", diejek "belum cukup baik" dan "tidak pandai cermin diri". Darihal ini kita harus memujuk diri secara yakin dan sabar, sememangnya kita ini banyak keburukan, dan semua perbuatan baik kita demi menebus keburukan itulah.

Jadi, biarkan tiada orang mampu memberhentikan kita dari berbuat. Fikir kesan buruk kepada orang yang bergantung pada kebaikan kita. Lihatlah saudaraku Abdullah Bacho, berapa jiwa telah dia sentuh. Biarpun di permulaannya kami semua sama, kemahiran jiwanya sudah terasah jauh lebih luhur. Semoga Tuhan merahmati segala usaha dan pengorbanannya. Apapun, sebagai kesimpulan, yakinlah kita tidak boleh menjadi baik sepenuhnya. Maka, apabila belum baik, jangan berhenti.

Comments

Popular Posts