Kesusahteraan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


'Kesusahteraan' adalah terma yang saya wujudkan sendiri, yang membawa maksud 'keadaan berminat kepada penulisan, namun tidak mempunyai keupayaan menghasilkan penulisan yang diinginkan'. Saya dalam dilema itu, khususnya dalam perihal masa lapang untuk menyelesaikan separuh baki novel pertama saya *tampar pipi, kiri-kanan, kiri-kanan*

Sebenarnya, saya ada tiga novel tertangguh. Dua daripada itu, saya masih simpan plotnya. Satu lagi, saya nyaris lupa bagaimana hendak menyambung. Semuanya saya tulis sewaktu belajar di maktab; saya tangguhkan kerana minda kolot ini fikir, kalau sudah kerja ada banyak masa lapang untuk menulis. Rupanya... rupanya realiti itu suatu suasana yang sibuk.

Jadi, sementara menunggu masa lapang itu tiba, saya muntahkan kesusahteraan saya pada akaun-akaun internet. Iya, kedengaran sangat menyebalkan, kan? Saya jua manusia.

Kill Bill

Saya jarang minat pada wayang-wayang aksi. Wayang 'Transformer - Dark Side of Moon' tempoh hari, penat saya tonton. 'Real Steel', bagi saya, lebih drama berbanding aksi, semacam wayang 'Southpaw', 'Whiplash' dan 'Chronicles'. Tetapi, saya buat pengecualian kepada wayang dilogi 'Kill Bill'. Jalan cerita, sinematografi, skrip, watak, kesan khas dan lain-lain, saya kira, amat berpatutan. Dengan skor 8.0 oleh IMDB, tidak hairanlah ia antara wayang mesti-tonton buat penggila wayang dan action freaks. Carilah, ada di laman web Ganool.

Uma Thurman adalah seorang badass.

Kembali kepada topik

Uhm. Sebenarnya, antara kemahiran sastera yang saya mahu pertingkatkan adalah membuat kesinambungan antara dua segmen plot, atau antara dua baris kata-kata dalam puisi. Saya seperti kehilangan arah, selalu terpesong dengan persekitaran, tidak menumpu dan berlengahan. Saya perasan, puisi saya juga semakin tidak berjiwa, tidak menarik. Kamu tahu kan, suatu penulisan yang baik dan berkesan mempunyai suatu curling effect?

Saya sudah tidak merasakan itu pada karya saya. Saya makin tidak seefektif Q. Tarantino sewaktu mengarahkan filem 'Kill Bill'. Malah, terkadang, tumbuh rasa jijik pada puisi sendiri.

Cubalah...

Hujan turun lebat di luar tidak mengerti dendam ini. Dendam yang disangkutkan pada setiap pemautan realiti; pada harapan, pada cinta, pada keghairahan. Dendam yang cuba ditanam, hanya menumbuhkan khuldi nan beracun namun terus saja dimamah dan dicerna. Hujan di luar tidak mampu mengerti, dendam ini tidak subur kerananya, namun kerana kurangnya latihan sastera (menyahaktifkan akaun Facebook bukan perkara bermanfaat, rupanya). Ugh.

Kan?

Comments

Popular Posts