Samseng

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Jadi, tanpa pendahuluan sepanjang macam buat kajian tindakan, terus kepada cerita sedih. Huhaa. Minggu lepas, saya diajak untuk menjadi sukarelawan dalam marathon terbuka Reebok One Challenge. Memikirkan elaun yang agak meriah dan makan minum percuma, saya memaksa diri bangkit dari katil untuk mandi dan bersiap. Pukul tiga pagi lebih, bruuh. Sampai dalam pukul empat di Putrajaya Presint 4 (atau 3) dengan semangat waja. Kemudian, BAMM!

Kuota sudah cukup.

Kami ada empat orang, hanya tiga orang lagi diperlukan. Memandangkan saya aksesori kepada rombongan, saya menyudikan diri menjadi penonton. Saya ke surau merapu sendirian (boleh tengok di IG: yassin_yunus), baring-baring sekejap dengan niat iktikaf sebelum disuruh baring di tempat berjubin tidak berkarpet. Saya relakan tulang dan daging digigit kedinginan. Tidak lama kemudian, seorang abang penuh muafakat membangunkan untuk fardhu subuh.


Sesudah itu, menyarung kasut untuk ke tapak permulaan perlumbaan. Sebelum itu, mengeluarkan dompet untuk membeli air Vegeta perisa durian belanda (serius, jenama ini wujud). Memasukkan semula dompet ke dalam beg, mengutip air tin yang berdentangan jatuh dari vending machine. WuHuu! Dengan sebungkus wafer Apollo, saya bersarapan. Singgah di dinding dedikasi MH17, menulis: 'Tuhan tidak membiarkan kematian mereka tanpa pembelaan'.

Berjalan macam pelancong, saya duduk sebentar di suatu kerusi tiada sandaran. Saya bermain telefon pintar, menggunakan wireless Putrajaya yang sangat "laju" (oh, teka di depan bangunan jabatan apa). Hujan gerimis bertukar lebat. saya ke sana-ke mari mencari tempat berlindung. Sempat meninjau keadaan tapak permulaan yang sudah lengang. Peserta marathon sudah berlari dalam lima belas minit. Matahari, seperti sang kekasih nan setia, terbit jua biar ribut.

Tengah hari itu, saya lapar. Tengok gerai makanan yang menghidangkan mee goreng, kentang, keropok, air dan nuget, saya kilas beg dan letak ia di atas meja. Tidak semena-mena, saya perasan beg saya sudah terbuka. Berdetak laju jantung, ya Tuhan, jangan hilang dompetku. Saya selongkar, macam sampai hendak robek beg itu dibuatnya. Ya, dompet hilang. Hahaha. Yassin Yunus yang klasik. Tapi, mesej entri ini bukan pasal kehilangan dompet saya.

Polis

"Bang, apa tujuan polis di sini?"

Ya, itu soalan saya kepada seorang lelaki dan rakan-rakannya yang beruniform biru gelap yang duduk bergurau-senda di dalam van polis (stesen polis bergerak, mungkin?). Abang ini terkejut macam nampak hantu gundorowo. Dia menanyakan semula saya untuk memastikan saya menanyakan itu. Saya balas, sebab saya telah kehilangan dompet. Mungkin sekali diseluk saku. Kak polis dari Sabah seorang ini sibuk dengan soalan, "Kau orang Sabah, kah?"

Saya keluar dari van dengan jiwa remuk namun reda. Paradoks (??). Saya mengiyakan kehilangan tersebut, dengan prinsip dikafarrahkan atas dosa-dosa. Kau mana tahu bila Tuhan hendak mengirimkan keampunan dengan sejumlah kafarrah. Saya mengelintar tanpa hala tuju, menanti rakan-rakan lain yang seronok melihat paha untuk menamatkan tugas mereka. Tahu-tahu sudah di kereta menunggu saya. Alasan mencari dompet diterima.

Moral cerita


Saya buat laporan di IPD Sepang sebab "internet down" di IPD Putrajaya. Pegawai polis itu tengok saya, buat temu duga sedikit - gugup woi, macam pengintip KGB rasanya - dan cetakkan surat laporan. Sempat menelefon IPD Putrajaya untuk rujukan pihak yang berkenaan. Mengeluh. Saya balik ke kereta dengan jiwa gembira, biarlah hilang dompet asal sudah ada surat laporan untuk buat IC baharu secara percuma. Senyum engkau, Yassin!

Di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), saya disapa dengan ramah sekali. Silap, "ramah sekali". Sebelum ke IPD Putrajaya, kami ke situ. Ingin mengesahkan andai benar boleh buat MyKad tanpa laporan polis. Sebelum ke IPD Sepang pula, kami berhenti makan di Alamanda (amboi, dompet hilang sempat berjoli). Lepas dapat surat laporan polis IPD Sepang, kami terus balik ke maktab. Semuanya tidur dalam kereta. Saya sedar merenung nasib.

Baiklah, moralnya: jangan bawa duit banyak-banyak dalam dompet kalau hendak ke acara sukarelawan. Saya asalnya bawa duit kerana mengingat untuk berpesta selepas bersukarela. Dua-dua melepas. Kedua, sila tulis dedikasi MH17 kalau ada nampak dinding berkenaan. Ia beri kau semangat hidup. Kau baru hilang dompet merengek. Ketiga, kalau jadi penjawat awam, senyum dan mesra. Abang Meja 7 JPN Seremban adalah penjawat awam terbaik.

Itu sahajalah untuk kali ini. Adios!

Comments

Anonymous said…
Kesian, tepa tu. Teruskan kehidupan, teruskan menulis dan teruskan mencari pasal kepada semua yang dikenali.

Honestly, I dunno if I could do the same kalau sy d spot ko. Tapi sy bukan d spot ko, jadi sy boleh la cakap n nasihat2 sikit. Everything happen for a reason, jadi sabar2 jaa aa. :)

Tapi sy mau marah juga. Lain kali pg tempat ramai org, jangan sibuk2 main phone ja! Kalau malas tgk2 bag, sangkut d depan, jangan galas d belakang! Ada faham??? Paranoid sikit d tmpat2 macam tu tepa. Dunia sekarang... tch3.
hetty said…
Hahahhaaa kenapa saya ketawa baca entri ni? Adoi. Duit macam air. Kalau tak habis dicuri mungkin habis ke tempat lagha yang mematikan hati (perghhhh gua cakap camni? Bagi cermin sikit hahahahaa). Sekurang-kurangnya habis macam ni mengingatkan diri hakikat rezeki kan. :P
Sven Medyona said…
Nadiah: Saya cari pasal dengan kau, nanti. Hahaha. Sudahlah lagi tua. No offense, Hetty.

Hetty: :D Boleh masuk Raja Lawak lah saya neh, kan? ;) Yelah. Cuma, saya ada fikiran pelik, kalau esok mati, tak dibawa matinya duit tuu. Baik habiskan.

(Padahal boleh jaa, sedekah kah. Haha)

Popular Posts