Permulaan Kenangan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Ya, minggu lepas saya berkunjung [sekali lagi] ke Melaka. Kali ini, dengan usual buddy dan beberapa orang budak senior PSV. Jangan ditanya bagaimana hal sedemikian boleh berlaku, aturan takdir itu kadangkala hanya boleh dinikmati, tidak pun ditatap. Tapi di penghujung kembaranya, ke"rencam"an takdir itulah pemuas jiwa yang suka mengimbau. Shhhh... (oh Tuhan, membesarlah Yassin!)









Di sini, menurut saya, adalah permulaan semuanya. Adat berbaju melayu dan adat berkeluarga bermula. Tanah tempat kaki ini menapak adalah tanah sama yang dipijak Tun Perak, Hang Tuah dan Sultan Muzaffar Syah yang bijaksana. Sungai yang mengalir tua itulah rahsia negara yang Si Kitul burai sehingga merah bumi bersimbah darah. Kapal-kapal Portugis kehausan kuasa, lalu melancarkan serangan pada 15 Ogos 1511, barangkali masih menghantui perairan wilayah ini.


Dan mungkin, cuma mungkin, di sinilah bermulanya sebuah percantuman dua jiwa yang selama ini sesat bertangisan saling mencari. Di sini kenangan pertama dibina, bakal dicerita lalu diperturunkan kepada anak cucu dan sanak-saudara. Di sini, apabila dilawati semula bersama pemilik tangan yang sudah halal dikucup dipegang, dua jiwa tadi mengimbas semula cerita yang telah dialami dan bakal dikisahkan di sini (kalau rajin). Waktu itu, kamu pasti tersenyum mengingati saya (hahaha).

Orang-orang yang tidak dikenali berlimpasan di kiri kanan, dengan warna kulit serta pertuturan pelbagai, segenapnya menghantarkan perasaan cintakan bumi nan dipijak, langit nan dijunjung. Bangunan merah, putih, biru, berkayu, berbatu dan berbagai-bagai bentuk binaan seolah-olah makam ruh diam, menanti gendang perang dipalu semula, lalu bangun merasuk perwira negara di perbatasan untuk tidak mengulangi pengalaman sedih dikalahkan. Memori yang terlupakan.




Lorong-lorong penuh meriah dengan bermacam jenis jualan, dipenuhi aroma bahulu, jagung bakar, sotong panggang dan kuih-muih baba nyonya bersilangan. Terlalu banyak yang hendak hati kecap, namun keterhadan kewangan menyabarkan diri. Simpankan sebahagiannya untuk hari muka, bila kembali ke sini, tidaklah kekok kehabisan tempat untuk diteroka. Simpankan sebahagiannya, wahai perindu sejarah, pencinta adat budaya bangsa. Biar jadi alasan untuk berkunjung semula.

Beca-beca berdering-dering, tayar berdecit mengupayakan menentang geseran jalan raya berbatu-bata merah. Keris Taming Sari yang terpacak tinggi lalu berubah menjadi pelantar tinjau, menjemput orang dari atas angin dan bawah angin mendagangkan sedikit duit demi sebuah pengalaman. Biar duduk letaknya berjauhan, saya dapat merasa perasaan kagum dan cinta yang terkongsikan. Hei, itu yang pencerita buat, kan! Jangan marah wahai jiwa yang mencintai adat budaya bangsa ;)





Barangkali kalau saya ceritakan bermula dari masuknya ke MITC sehingga ke turunnya dari London Bus, berjejer air mata sendiri mengenangkan mulia seorang sanggup mengorbankan detik usia yang tidak akan bisa didapatkan semula, bersama orang yang disayangi (saya tidak bercakap mengenai diri sendiri). Mahukah kamu melihat Melaka menangis lagi, merajuk lagi, hanya boleh dipujuk dengan kemerdekaan yang baharu, biarpun tangisan kebahagiaan? Saya tidak.

Melaka, bandar cinta dan kasih sayang, bandar sejarah dan titik ledakan tamadun gemilang adalah bandar yang selalu menjadi saksi permulaan. Alangkah indahnya bila seorang penulis dan saksi itu sendiri mencatat peristiwa yang kekal, seperti mana kekalnya adat budaya bangsa.

Comments

Popular Posts