Tujuh Warna Kebahagiaan (feat. Laskar Pelangi)

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Merah, kau perlu membuka matamu pada perkara lebih besar dari sekadar tugasan dan pekerjaan yang engkau lakukan sehari-hari. Engkau perlu cermat dalam meneliti bagaimana indahnya matahari terbit dan terbenam, betapa anehnya manusia sanggup tersekat di tengah-tengah sungai kenderaan dan motorsikal, dan tentang awan yang berarak perlahan di dada langit.

Jingga, kau mesti belajar menyukai sebanyak mungkin benda yang datang dan pergi dalam hidupmu. Meskipun ianya lalat yang sesat di dalam keretamu, atau cicak yang meloncat dari lipatan kain bajumu, atau hujan yang dibawa bersamanya rintik-rintik yang setelah kau lelah mengutip jemuran yang masih basah, berhenti menitis lalu berlalu mentertawakanmu.

Kuning, kau harus menganggap semua hari yang kau lalui sebagai hari yang kau tunggu-tunggu setelah sekian (masukkan umur) tahun kau hidup di dunia. Berjanjilah pada diri kau akan berbahagia, tidak kiralah sejelas manapun kematian bertenggek pada pohon usia di penghujung hari itu. Jangan biarkan kematian menyebabkan kau putus harapan terhadap Tuhan.

Hijau, hadiahkan senyuman kepada orang-orang yang kau rasa menjengkelkan. Senyuman yang dimaksudkan bukan senyuman mencabar bertumbuk tendang, sepak terajang, tetapi senyuman ikhlas yang mengajak kepada perdamaian, tidak kira sudah berapapun kamu bermusuhan. Kalau ia tidak menerima ajakanmu, kamu semakin tahu sebab kamu dua (atau tiga?) bermusuhan.

Biru, infakkanlah hartamu. Kebanyakan kesedihan di dunia adalah apabila mereka melihat dompet mereka semakin nipis. Tanpa mereka sedari duit itu cuma kepingan kertas dengan huruf, angka, ilustrasi serta gambar Raja tercetak di kedua belahnya. Apabila kau mengetahui kau boleh melepaskan ia dengan senyuman, kau akan terasa sangat bebas dan gembira. Percayalah.

Indigo, rapatkan dirimu pada Tuhan dan orang-orang sekelilingmu. Kalau sehari seinci rapat pun sudah boleh tahan. Kau tidak mahu usiamu terus-terusan terbuang tanpa meraikan manusia yang pergi dan datang ke dalamnya; jemputlah mereka masuk, tunjukkan mereka keindahannya, dan serulah mereka untuk berkunjung sentiasa. Kau akan mendapati kau lebih menyayangi dirimu.


Ungu, buang semua kebencian dalam hatimu. Tarik nafas dalam-dalam, dan luahkanlah ia dalam bentuk perkataan, kau memaafkan seluruh manusia yang pernah melakukan kesalahan ke atasmu. Takkan menunggu Aidilfitri baru mahu mencabut rumput kerenggangan yang tumbuh subur di dalam hati? Kami mendapati ini cara bahagia yang sangat berkesan.

Comments

Popular Posts