Alasan

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Inilah syurga di dunia :O

Kasih sayang itu adalah keadaan jiwa yang sukar ditafsir, dikawal apatah lagi diramal. Memang benar punca-puncanya banyak telah diketahui, namun sejauh yang manusia telah berjaya selongkar, kasih sayang masih terlalu subjektif untuk dipinkan pada suatu kefahaman yang sempurna. Ia jadi apabila ia mahu, dan begitu juga sebaliknya.

Terkadang apabila kita berjalan kaki pulang ke kuliah, tiba-tiba hati jadi ringan dan senang. Kita tersenyum pada langit dan bumi, menyahut kicau burung dengan hembusan nafas penuh kesyukuran. Titik punca kebahagiaan itu entah dari mana dan berakhir ke mana, tetapi kita hargai detik fana itu semahunya.

Ataupun, tatkala kita sedang bergembira dengan kawan-kawan, kesalahan lampau tidak semena-mena mengaburi mata. Teringat wajah mereka yang menjadi mangsa dan teringat bagaimana jiwa kita tunduk kalah pada kemahuan yang mencetus perbuatan salah tersebut. Orang ketawa, kita termenung kedukaan.

Sebagaimana rambang ia terjadi, begitu jugalah rambang ia menuntut tindakan kalian. Apabila kamu mahu menatap wajah orang yang disayangi, kepala – tanpa diarah – pantas memformulasikan alasan beserta jujukan percakapan atau perbuatan yang hendak dipersembahkan di depannya. Malangnya, apabila berdepan, tubuhmu kaku.

Alasan kalian boleh banyak; dari mahu berbincang mengenai organisasi yang kalian berdua sertai, menunjukkan video muzik yang kamu baru muat turun dari internet, menceritakan keadaan terkini dirimu, ke meminjam buku atau pisau, sehinggalah boleh ke alasan yang aneh seperti mahu bertanya keadaan imannya. Ganjil, kan?

Kasih sayang adalah keadaan jiwa yang muncul saat yang disayangi kelihatan di depan mata. Tapi kadang-kadang, bila dua orang saling berkasih sayang, kehadirannya pun (tanpa melihat atau mendengar) sudah cukup untuk perasaan menyenangkan itu hadir. Ini pula namanya kasih sayang telepatik (indahnya kalau memiliki).

Selamat berkasih sayang J

Comments

Popular Posts