Swa-Umpatan a.k.a Refleksi (?)

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

1. Jenis-jenis umpatan


a. Kita terhadap orang lain, dengan orang lain: adalah dilakukan untuk membongkarkan kejahatan orang lain yang kita rasakan merbahaya kepada orang ramai. Ini bukanlah tindakan proaktif sebenarnya. Katakan kita pula melakukan kejahatan: kita mahu diumpat atau ditegur? Lalu, kalau kita terlalu semu untuk menerima teguran, apalagi umpatan?

b. Kita terhadap orang lain, dengan kita sendiri: adalah dilakukan kerana kita mahu menilai sebetulnya di mana kita berdiri dari mata khalayak. Pada suatu sisi, ini boleh membawa kita kepada introspeksi diri dan bermuara dari itu kita sentiasa memperbetulkan diri. Pada sisi lainnya, ia bisa membuatkan kita menyisih diri, terasing dan sukar dibawa berhubung.

c. Kita terhadap diri-sendiri, dengan diri-sendiri: adalah dilakukan kerana mungkin depresi atau perasaan gusar. Dari jenis ini kita meragui nilai dan jati diri; ke mana ia harus pergi dan/atau apa harus ia lakukan. Isolasi diri ini amat berbahaya, kerana kalau kita sendiri sudah tidak dapat menampak yang baik pada diri, apalah makna hidup di dunia?

d. Orang lain terhadap kita, dengan kita sendiri: adalah dilakukan demi memperakui kejahatan diri yang sebenarnya tidak betul, pun. Hampir semua orang pernah mengutuk diri di depan orang lain, namun sanubari percaya, kita tidaklah seburuk itu, pun. Jahat-jahat jerung, takkan menggigit terumbu; jahat-jahat orang, takkan mencucuh sumbu.

e. Orang lain terhadap kita, dengan orang lain: adalah perkara biasa. Dikerjakan melalui lisan itu hal biasa; selagi manusia berlidah selagi itulah mereka saling bercakap belakang. Janganlah terlalu melabur masa memikirkan apa yang bercolang-caling tentang kita di belakang kita, fokuslah ke depan, atau ke dalam diri, mudahan kita bahagia dan tenteram.

2. Punca kekuatan

Matthew Philleo, 'Victory in Surrender'

Kebelakangan ini saya diinspirasikan oleh beberapa orang kawan yang telah berjaya melepasi fasa bertatih dengan wawasan mereka. Mulanya mereka tidak keruan, pusing, dihujani kritikan dan pesimisme. Namun, berkat kesungguhan mereka meraih habuan yang sangat memuaskan, meskipun sesuap, atau secubit. Dari situ mereka berjaya mencelapak keraguan dan bagi saya, mereka mercu keistimewaan spesis manusia.

Pada skala sejarah, atau skala global, bukan besar sangat pun apa yang mereka perolehi. Ramai orang di luar sana mendapat kejayaan yang jauh lebih besar dan memberangsangkan. Akan tetapi ini bukan pasal merubah dunia - bak kata slogan Lazada - ini pasal merubah dunia sendiri. Sikap sendiri. Zaaba kata kejayaan berakar daripada perangai. Kawan-kawan saya ini, bukan sekadar menggenggam kemenangan, tapi sikap yang perlu dicemburui.

Saya sampai sekarang masih keliru, tentang daripada mana mereka mendapat kekuatan untuk memulai, mengerjakan seterusnya menjayakan sesuatu. Pesan Norfazlie - kawan sejawatan, di suatu tengahari panas yang  mendesakkami memesan minuman berais - harus ada passion. Dari passion pasti akan ada way, kata guru saya pula. 'He who has a why to live can bear almost anyhow,' pesan Nietszche. Tapi, passion itu dari mana pula?

Haha. Mungkin di lain episod, di foyer kolej kediaman, hal ini bisa kita rungkai bersama.

Kembali ke umpatan jenis c.

Comments

Popular Posts