Mimpi 'Steampunk', Tandanya Apa, Ya?

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH


Jadi, dua hari lepas saya mengalami sedikit demam dan selsema, di samping perut yang memulas dan pencernaan yang sedikit memedihkan. Di permulaan gejala, saya risau memikirkan bukan-bukan mengenainya, kalau-kalau ia berkait dengan wabak COVID19 yang masih belum pulih (dan mencatatkan 70,000+ pesakit baharu di Amerika). Saya hanya mampu keluar untuk membuat imbasan jari bagi kehadiran di sekolah dan membeli makanan. Selebihnya, saya luangkan masa berkemul dalam selimut, terlantar atas tilam dengan suam suhu yang membuatkan badan tidak selesa. Tapi, sakit itukan penghapus dosa; mudahan semakin panas badan, semakin banyaklah pula dosa saya yang hangus.

Sebab gangguan kesihatan yang saya sebutkan, itu saya tidak pasti. Tapi, saya mulai perasan apabila: 1) saya tidak mengambil nasi pada waktu malam, sehari sebelum sakit, b) saya kekurangan tidur kerana terjaga, melayan video di internet, dan c) saya menelan puluhan butir gula-gula pudina dalam satu hari. Dari situ, perut memulas. Namun ia melarat kepada selesema ringan, kemudian demam, pening, sebelum memberat kepada demam kuat, selesema dan sembelit. Walau bagaimanapun, penyebab utama - syak saya - adalah musim hujan dengan cuaca yang tidak punya corak tentu. Terkadang hujan ringan di pagi hari, terkadang malam ribut melanda. Jadinya, tubuh ini tidak dapat mendepaninya dengan baik.


Pun begitu, pada hari kedua demam, saya didatangi suatu mimpi yang agak aneh. Seperti malam sebelumnya, saya memaksa diri untuk tidur lebih awal, setelah menyantap sedikit nasi ayam penyet (tidak habis, kerana selera manusia kan pudar bersama hilangan deria bau) menelan dua butir paracetamol  dan menekapkan Koolfever pada dahi. Saya tutup badan dengan comforter tebal, bertujuan untuk memerangkap haba badan, sekali gus menggalakkan homeostasis suhu tubuh. Iya, saya mahu saja merengek sangkin tidak selesanya menutup mata dengan keadaan badan yang amat tidak selesa. Saya paksakan saja.

Di sinilah mimpi yang saya maksudkan berlaku. Setiap kali ia berlaku, saya akan terjaga dengan badan lenjun berpeluh (saya janji, ianya bukan mimpi hantu atau apa-apa mimpi ngeri). Saya didatangi suatu suara yang seolah-olah mengemudi tubuh saya. Pemilik suara itu tanpa tubuh, tapi saya melihat tubuh saya sendiri dari perspektifnya. Seperti kau bermain permainan konsol video. Dalam mimpi itu, saya ditunjukkan pelbagai teknologi antromorfisme yang boleh menambahbaik taraf fizikal manusia. Saya diberi kebenaran untuk menguji apa saya teknologi: kebanyakannya untuk mempertingkat kelajuan.


Mulanya saya seronok, dapat meluncur laju di darat, terbang tinggi, berlari sepantas bunyi. Namun, resah dan bahang tubuh saya menyelinap masuk ke dalam mimpi. Tanpa saya sedari, kesedaran saya turut 'bocor' dan saya rasa terperangkap dalam tubuh yang penuh pepasangan meka-elektronik. Keseronokan tadi bertukar menjadi semacam perangkap. Tidak lama kemudian, suara tadi menyuruh saya memilih, untuk bertahan dalam kesakitan dan mendapat salah-satu keupayaan dalam mimpi tadi, atau mendapat kesihatan. Saya pilih kesihatan. Selesai memilih saya terbangun. Perkara ini berlaku berulang-ulang: pada pukul 12 tengah malam, pukul 1 pagi, pukul 3 pagi dan pukul 4 pagi. Saya terjaga setiap kalinya.

Untuk setiap kali soalan saya diajukan, saya serta-merta memilih kesihatan. Dalam benak [kesedaran] saya, apalah guna mendapat kelajuan kalau tubuh menggigil seperti disapa Izrail? "Adakah kau pasti?" soal suara itu lagi, buat kali terakhir. Pada pukul 6 pagi itu, saya bangun dengan perspirasi membasahkan baju tidur yang saya pakai. Mimpi itu saya ulang-ulang agar melekat dalam kepala (dikatakan, manusia hanya dapat mengingat 10% mimpi yang dialaminya), kerana pada saya ia penting. Kautahu? Esoknya saya beransur-ansur sembuh dan pulih sepenuhnya pada waktu petang, hari yang sama. Saya pun kekagetan, lah.


Saya sampai hari ini masih termangu - kalau saya pilih kelajuan, apakah ia boleh berlaku? Atau pilihan itu sebenarnya sudah tersurat dalam minda bawah sedar saya (bukan pilihan sedar). Dapatlah saya terbang di langit, meluncur di darat dan berenang dalam air? Atau adakah itu semua tayangan semata-mata, berkenaan realiti bawah sedar yang sebenarnya saya tidak buat apa-apa keputusan, pun? Poin lebih penting, tatkala saya membuat keputusan itu, ia serasa computerized, serasa dalam lohong kranium ini ada daging saraf yang termaktub kepada algoritma penentuan yang tepat. Ia sangat realistik dan organik.

Mimpi sebenarnya adalah produk sampingan (residue) sistem saraf manusia dalam memproses maklumat hari ini untuk diinkorporasikan ke storan maklumat dalam otak sedia ada. Kalau begitu, apa mimpi 'steampunk' yang saya alami boleh beritahu saya? Yang saya sentiasa berasa tidak selesa dengan tubuh sendiri? Hal ini saya serahkan kepada Tuhan. Mahu hurai berlebihan, jadi khurafat pula nanti. Semoga Allah melindungi kita semua.


Kalau kau, kau pilih apa/siapa?

Comments

Popular Posts