Semester Ke-6

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH

Jangan tanya pointer, kerana pointer saya teruk dan merudum. Tapi saya boleh beritahu, saya sangat bersyukur kepada Illahi. Saya menjangkakan kegagalan, atas dua rasional; kerja kursus banyak tak cemerlang (bahkan, tak baik pun) dan bermalas-malasan sewaktu belajar. Sasaran hendak menjadi baik terkubur. Semangat tuu macam perajurit di medan perang tanpa apa-apa perisai - rebah ditembak bertalu-talu sistematisme.

Baiklah... kamu menang, sistem.

Tapi kalau kamu tanya apa yang saya perbuat sepanjang cuti, maka saya dengan bangga sebesar separuh dunia mengatakan: tiada apa-apa. Duduk di rumah. Tidur, bangun, makan, minum, berkumuh dan tidur semula. Ada jugalah menghabiskan lima, enam naskah buku (yang sampai sekarang saya masih bingung isinya). Tetapi, bukankah itu seluruh maksud percutian? Berhenti daripada rutin-rutin memenatkan dan duduk bertafakur.

Setiap orang ada caranya bercuti. Saya tidak mahu membuat pertimbangan cara mana lebih baik dan menaruh kesempatan gembira. Itu tidak adil bagi yang suka melangut depan televisyen, menghabisi masa menonton bola sepak. Hah kan, ter-kritik. Maaf.

Kamu bangun pagi dengar suara adik-adik kamu. Dari dapur kamu dengan ibu berperang dengan tepung, inti ubi kari potong dadu dan pencitak karipap. Ayah di luar duduk menghadap laman sosial. Matahari di langit dunia bersinar tembus kaca tingkap, langsung ke lantai menghasilkan jalur-jalur cahaya. Ini senario saya sewaktu percutian.

Ada orang mencari kebahagiaan dengan jalan yang berbelit-belit, yang orang konservatif seperti saya tidak berapa menggemari. Ada melalui kepuasan kerjaya, gaji yang sampai lima angka. Ada dengan isteri yang baru dinikahi, anak-anak yang baru beberapa minggu melihat dunia. Ada ke kelab-kelab malam, pub-pub istimewa untuk melayan rasa.

Secara kemanusiannya, pada sudut paling saksama, saya tiada hak untuk mengatakan cara saya paling baik dan cara dia ini kurang munasabah. Setiap orang kenal dirinya lebih baik, serta faham kehendak-kehendak yang perlu dipenuhi supaya dada bisa penuh dengan rasa puas. Terpulanglah bagaimana pentafsiran kebahagiaan dan cara kamu mencapainya.

Bahkan, sami-sami di pergunungan, mustahil kita boleh sepenuh yakin menyatakan mereka tidak bahagia.

P/S: Semoga semester enam, hidup lebih bahagia.

Comments

Popular Posts