Semporna (i)

ASSALAMU`ALAIKUM WARAHMATULLAH
Saya melihat keliling dengan mata insaf. Entah apa yang menggelodak dalam lubuk perasaan sehingga diri rasa sangat beruntung. Sangat beruntung berbanding mereka yang tinggal di sini. Ikhlas, saya tidak punya niat untuk membuat kenyataan provinsialistik, saya sekadar menceritakan apa yang saya lihat agar boleh direnung orang lain, atau diperturunkan secara bergenerasi untuk kebaikan semua. Fazakkir, innafa`ati zikraa. Tanam dalam-dalam dalam hati.

Keindahan tiada batas
Meskipun kedhaifan hidup tergantung antara air dan langit, mereka masih boleh tersenyum. Anak-anak mereka masih boleh berlari berkejaran pada  jambatan-jambatan terbuat dari kayu bakau dan papan terbuang tanpa rasa gusar atau risau terjatuh. Papan jambatan patah di merata-rata; kanak-kanak ini berlari seperti jemari si buta pada lembaran Braille, atau tangan pemain piano atas papan kekunci pianonya. Fasih dalam erti kata mereka.

Seperti air laut yang surut tidak menentu, begitulah kehidupan mereka. Kalau air tenang, merasalah makanan lebih seperti udang dan ayam. Kalau ribut taufan melanda menggoncang lautan, duduk berpeluk tubuhlah mereka menanti kemarahan cuaca reda. Mukmin yang terperangkap di tengah temasya gegak gempita laut bergelora hanya mampu berzikrullah, mengharapkan agar kalimahNya menenangkan lautan ini.

Para ibu tidak habis-habis dengan kerja di rumahnya. Terutamanya ketika raya seperti dalam keadaan kami yang berziarah atas dasar keluarga, walaupun jauh. Membancuh teh, menuang minuman ringan pada gelas para tamu, membuka penutup balang agar kelazatan kuihnya dicemburui dan mengacau masakan dalam kuali. Anak dara sunti selalu ikut. Lebih dari adat, ianya suatu keperluan.

Para teruna jarang ada di rumah. Rajin mengelintari kampung, mencari nelayan yang memerlukan khidmat menampal perahu dan bot mereka. Sebahagian mengambil upah membantu mendaratkan ikan, memikul tong gas dan gelen air bersih ke rumah-rumah. Saya seorang jejaka yang asyik duduk menghadap televisyen jadi tidak senang duduk kerananya.


Di sinilah, kebahagiaan jelas menampakkan dirinya sebagai lebih kepada suatu perasaan dan bukan pemilikan, lebih kepada suatu yang diusahakan yang bukan yang datang bergolek. Kalaulah boleh saya tunjukkan bagaimana kebahagiaan itu bersinar cemerlang pada wajah kanak-kanak ini yang terjun pada air laut yang berceranggah dengan teritip tajam dan batu karang yang melukakan.

Ah, mereka saudara laut. Mana mungkin ia melukakan mereka yang selama ini mendamba pelukan bayu dan dodoian lembut ombaknya.

Comments

Popular Posts